Insan & Komuniti 10 Jul, 2024

Lembu disembelih gara-gara rosakkan tanaman kebun durian! Daging diagihkan kepada penduduk kampung!

@amran mulup
Bekas wartawan Utusan Malaysia yang kini bermastautin di Melaka. Boleh dihubungi melalui emel [email protected]

Share this

Kepala lembu yang ditemukan pemiliknya di sebuah kebun durian di Kampung Orang Asli Kubang Badak, Tebong di Alor Gajah, Melaka pada Jumaat 5 Julai 2024 lalu. 
Seorang wanita warga emas bersama menantu rakannya bertindak menyembelih seekor lembu bukan miliknya dan mengagih-agihkan daging haiwan itu kepada penduduk di Kampung Orang Asli Kubang Badak, Tebong, Alor Gajah, Melaka pada Jumaat,  5 Julai 2024 lalu.  Wanita berusia 69 tahun itu bertindak demikian bersama menantu kawannya, seorang lelaki warga Indonesia kerana berang selepas lembu itu telah merosakkan tanaman di kebun durian miliknya.

Supretendan Ashari Abu Samah


Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Supretendan Ashari Abu Samah berkata, perbuatan suspek terbongkar apabila pemilik lembu berkenaan menemukan kepala lembu yang sudah disembelih di kebun durian milik wanita warga emas itu.

Menurutnya, polis menerima laporan berhubung kejadian tersebut yang dibuat oleh pemilik haiwan itu berusia 38 tahun kira-kira pukul 8.54 malam Jumaat.Beliau berkata, pengadu mendakwa seekor daripada 84 ekor lembu ternakannya tidak pulang ke kandang disyaki berlaku kira-kira jam 5.30 petang 4 Julai lalu."Pengadu menyedari lembu betina miliknya hilang kira-kira pukul 6.30 petang kejadian, namun dia terkejut apabila menemukan kepala haiwan itu, yang disahkan miliknya berdasarkan nombor siri Jabatan Veterinar, berada di kebun durian."Sewaktu bertemu dengan seorang wanita warga emas iaitu pemilik kebun itu, dia mengakui telah menyembelih lembu dengan dibantu oleh menantu rakannya kerana haiwan itu telah merosakkan kebun duriannya."Suspek dipercayai telah melarikan lembu dan setelah disembelih, kepala lembu berkenaan ditinggalkan di tempat kejadian," ujarnya di Alor Gajah pada 10 Julai 2024.

Lokasi lembu disembelih oleh dua suspek di Kampung Orang Asli Kubang Badak, Tebong di Alor Gajah, Melaka 


Ashari berkata, pengadu yang tidak berpuas hati dengan pengakuan wanita itu dan menyebabkannya kerugian kira-kira RM3,000 telah membuat laporan di Balai Polis Tebong.Menurutnya, sejurus menerima laporan itu, polis menahan warga emas itu dan lelaki warga Indonesia di rumahnya kira-kira pukul 7.30 malam pada Sabtu, 6 Julai 2024 lalu.Jelasnya, hasil siasatan ke atas kedua-dua suspek itu, mereka mengaku menangkap dan menyembelih haiwan tersebut, manakala dagingnya telah diagih-agihkan kepada penduduk kampung."Kedua-dua suspek telah ditahan reman selama empat hari sehingga 12 Julai (2024) ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379/428 Kanun Keseksaan," ujarnya. - KitaReporters

6
8
0
13
0
You will be interested