Insan & Komuniti 23 Jun, 2024

Sembang-Sembang| Siapa kita lawan takdir? Jodoh rahsia Allah! Dibuang keluarga tapi tetap bahagia!

@normala hamzah
NORMALA HAMZAH penerima Anugerah Wanita Inspirasiku 2015. Bekas Pengarang Kanan meja Keluarga Utusan Malaysia dan majalah Wanita. Penulis buku Permaisuri, Ibu Halimah dan Odyssey Dari Lembah ke Puncak. Kini aktif dalam Projek Wakaf Telekung Siti Aishah. Emel >> [email protected]

Share this


Yakin dengan takdir Allah. Dibuang keluarga kerana suami. Mereka lupa manusia boleh berubah. 
Bukan niat melawan ibu bapa. Jauh sekali menderhaka. Nawaitu ingin hidup bersama. Mengejar impian hidup bahagia. Bersama insan yang dicinta. 
Perancangan Allah tak pernah salah. Sudah takdir jodohnya hanya seorang kerani biasa. Walaupun ada ijazah, bukan penghalang untuknya bahagia dengan lelaki pilihan yang seadanya.
Biar ibu bapa pandang hina, tetapi dia sangat istimewa, luah Zeti (bukan nama sebenar) tentang kisah cinta dan rumah tangganya.
Kata Zeti, ibu bapanya menghalang cintanya dengan Zaki (bukan nama sebenar), sejak mereka dibangku sekolah lagi. Alasannya dia sudah ada calon menantu yang dia berkenan.
Tapi  mereka nekad melawan ujian yang datang demi cinta mereka. 


Nasib tidak menyebelahi Zaki apabila dia  gagal melanjutkan pelajaran ke universiti selepas keputusan SPM diumumkan. Zeti pula diterima masuk universiti. Namun hubungan mereka tak pernah putus.
Zaki mendapat kerja di sebuah bank. Dia bekerja keras untuk mengumpul duit bagi melamar buah hatinya itu setelah Zeti tamat belajar. Sayangnya dua kali pinangannya ditolak atas alasan tidak setaraf.
Pelbagai cara dibuat namun semua buntu. Pada hal keluarga Zeti bukan ternama pun, biasa sahaja, entah kenapa mereka tak suka Zaki. Dan Zeti perasan keadaan ini sejak dari awal lagi. Sehingga tamat belajar ibu bapanya tetap tidak menerima Zaki. 
Jalan lain tidak ada, kes dirujuk ke pejabat agama. Beberapa kali bapanya dipanggil tetapi dia tidak hadir, akhirnya Zeti bernikah juga dengan lelaki pilihannya. 
Allah bantu permudahkan nawaitu mereka. Alhamdulillah. 
Syukur keluarga Zaki menerima Zeti dengan baik. Dilayan bagai anak sendiri. Bahagianya sampai kini dengan dua orang cahayamata. 
Keluarga Zeti? Sampai sekarang tak berubah. Sudah 12 tahun kisah berlaku. Mereka tetap tak boleh terima Zaki. Mereka lupa masa berlalu, manusia berubah. 
Menantu yang mereka benci itu sekarang seorang pegawai bank yang terlatih. Zaki sambung belajar untuk membuktikan kepada keluarga Zeti yang dia juga boleh berjaya. 
Yang tak berubah ibu bapa mentuanya. Semoga Allah buka hati mereka untuk menerima Zeti dan Zaki serta cucu mereka. 


Iktibar daripada kisah ini:

Siapalah kita untuk melawan kehendak Allah. Soal jodoh adalah rahsia Dia. Reda dan restulah. Perkara baik, jangan persulit. 
Anak-anak berhak menentukan masa hadapan mereka sendiri. Kita sebagai ibu bapa doakan yang terbaik untuk mereka. Tidak salah memilih menantu. Tapi jangan keterlaluan dan mengaibkan orang.  
Ketepikan pangkat dan darjat. Ia bukan jaminan bahagia. Yang penting, keikhlasan hati. Sepatutnya bersyukur kerana ada orang sayang anak kita. 
Buang ego. Jangan perlekeh orang. Buang sikap negatif, ingat nasib kita, anak cucu kita Allah yang tentukan! 
Jangan rosakkan impian anak-anak kerana ego kita sebagai ibu bapa... sempurnakan tanggungjawab untuk bahagiakan mereka di dunia dan akhirat. 
Ingat  jodoh pertemuan dan maut bukan kerja kita tetapi urusan Allah. Dia penentu apa terbaik untuk hamba-Nya. Siapa kita melawan takdir. - KitaReporters

13
11
0
12
0
You will be interested