"Orang Cina main mercun halau hantu. Orang Melayu main serupa hantu."
Tu kata-kata tagline yang sedang viral sekarang. Dalam masa seminggu lebih ni, sana sini boleh dengar orang letupkan mercun. Ada masa nasib baik dan banyak juga masanya kita dengar orang buta, putus jari malah nyawa turut 'terbang' sekali.
Apa yang sedang berlaku sekarang. Orang mengadu tak de duit tapi boleh pula berhabisan ratusan ringgit beli segala bentuk mercun. Dulu main bunga api aje. Sekarang bunyi dentuman mercun binggit, nak tidur dah kena ganggu.
Yang ada anak kecil atau masih dalam pantang, geger gegoklah dok tahan telinga.
Malah dalam satu kes terbaharu ada satu rumah itu, diserang begitu banyak mercun, berapi-api macam tengah perang, sampai ada penghuni yang cedera. Dah tak pasal-pasal-pasal, jadi kes polis, beraya kamu dalam lokaplah.
Ada kawan Opah mengadu, kat taman perumahannya, saiz gerai jual mercun bukan kecik anak. Tapak gerai dah macam tempat orang berniaga baju dan pakaian raya. Dalam banyak gerai yang dia singgah, kalu 10 gerai hanya tiga gerai yang jual kuih muih.
Kalau dulu jual bahan mercun ni selalu secara sembunyi-sembunyi. Sekarang dah macam pesta jual bunga api. Mana pihak berkuasa ni kak?
Orang Melayu ni sangat kreatif. Zaman Opah kecil-kecil dulu, orang kampung buat mercun kabaid.
Masukkan bahan yang digunakan untuk mengawet buah-buahan supaya cepat masak itu, ke dalam buluh. Cucuk bagi sendat-senducuk api, booommm meletup satu kampung boleh dengar gegaran.
Kalau ada yang sakit jantung masa ni, berkilo-kilolah kena maki sebab asyik terkejut-kejut bunyi dentuman itu. Kemudian bila mercun berbahaya dibawa masuk, mulanya untuk meneruskan tradisi orang Cina beraya.
Tertiba berjangkit pula pada 'jiran' Melayu dan India. Tak heranlah setiap kali tiba perayaan. Masing-masing 'berlagak' juara. Kalu boleh mahu letupkan mercun yang paling kuat dah macam balas dendam kejadiannya.
Orang lain bakar mercun, orang lain jadi mangsa. - Kredit gambar polis Pendang Kedah dari WhatsAap Orang Kubang Kerian
Ni lagi satu, ada kes terbaharu di Pendang Kedah. Mak ayah asyik menonton televisyen jam 10.30 malam. Kecoh di luar rumah mereka. Anak-anak yang tengah leka pasang mercun, api boleh merebak dan bakar budak berumur 4 tahun 10 bulan.
Tak pasal-pasal 'kena bakar'. Katanya 46 peratus tahap cedera itu.
Kes ini memang aksiden paling malanglah. Bapa yang dah panik masuk bilik air, bawa sebaldi, terus jirus anaknya yang sedang mengelumpur kesakitan. Nak tak nak, terus dikejar anak itu ke Hospital Tengku Bahyiah, Alor Star. Keadaan budak itu teruk, tapi dilaporkan stabil dan perlukan rawatan lanjut.
Kejadian berlaku pada 11 April 2023, apabila mangsa dikatakan menemani abang-abangnya, berumur 10 dan tujuh tahun sedang bermain bunga api di halaman rumah. Kejadian itu memberi pengajaran buruk kerana dikatakan adik abangnya menjadi trauma.
Ramai ibu bapa merunggut barang mahal, wang tidak cukup hendak membeli pakaian anak-anak tapi boleh pula guna duit untuk beli mercun. Dah macam 'bakar duitlah' pula sebab rasa seronok itu sekejap saja.
Mercun itu bukan mudah kalau yang memancar-mancar bagai bunga api gergasi itu mahunya bermula dengan harga RM100 ke atas.
Sebabnya Opah pot pet kat anak jantan bujang bila mereka beli mercun sekotak hampir RM200. Kalu tahu Opah suruh dia beli kuih-muih raya saja. Boleh mengunyah sambil menonton TV.
Bermain mercun itu bukan budaya kita. Membazir duit itu juga tidak disukai oleh agama.
Mana faedahnya kita sambut raya selepas sebulan berpuasa, tiba-tiba boleh pula gi bazir dan mengaibkan agama dengan membakar 'duit' menghalau syaitan yang sudah pun diikat sepanjang Ramadan. - KitaReporters
Ini mercun orang Cina raikan Tahun Baharu Cina. - Kredit gambar: Goggle.