Insan & Komuniti 03 Oct, 2022

Video| Masih terabai! Perjuangan bela nasib lebih 1,500 bekas pekerja Utusan Melayu (Malaysia) Bhd

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: kita.reporters@gmail.com atau editor.kitareporters@gmail.com

Share this


LEBIH 150 orang bekas kakitangan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad (UMMB) hadir dalam majlis perjumpaan semula sempena memperingati 'kematian' syarikat  akhbar Melayu tertua itu di hadapan bekas bangunan ibu pejabatnya di Kuala Lumpur pada 1 Oktober 2022. 

Perjumpaan yang diadakan sempena memperingati ulang tahun ketiga penutupan syarikat UMMB  itu mencatat sejarahnya tersendiri kerana dihadiri wakil hampir semua bekas pekerja tanpa mengira status dan kali pertama pernah diadakan. 

Perjumpaan tersebut melambangkan soladiriti tertinggi bekas kakitangan Utusan kerana disertai bekas pekerja tanpa mengira pangkat dan status berhenti, sama ada hilang pekerjaan selepas syarikat digulung, peserta Skim Pemisahan Sukarela (VSS), serta kakitangan bersara wajib atau berhenti


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Utusan Melayu


Pengerusi jawatankuasa penganjur perhimpunan tersebut, Saifol Bakhtiar Hamik berkata, tujuan utama perhimpunan itu adalah untuk mengumpulkan semula semua bekas pekerja Utusan dan menjalin silaturahim sesama mereka. 

"Walaupun syarikat Utusan Melayu telah tiada, namun sejarah, semangat dan jasa institusi  itu tetap mengalir dalam diri setiap bekas pekerjanya," kata Saifol Bakhtiar yang juga  merupakan Yang Dipertua Badan Keluarga Utusan Melayu (BKUM) pada majlis tersebut yang diadakan di Jalan Utusan, Jalan Chan Sow Lin, di Kuala Lumpur. 

Selain itu, katanya, perhimpunan berkenaan juga ingin memberi mesej kepada orang ramai dan pemimpin negara, terutama dalam UMNO yang merupakan bekas pemilik syarikat itu bahawa nasib dan kebajikan lebih 1,500 bekas kakitangan Utusan yang hilang pekerjaan dan yang mengambil VSS masih terabai selepas syarikat ditutup pada 9 Oktober 2019

"Sehingga kini, seramai 13 orang telah meninggal dunia tanpa mendapat bayaran satu sen pun pampasan atau tunggakan baki VSS dengan 23 orang lagi bekas kakitangan dalam  keadaan daif kerana mengidap pelbagai penyakit selepas syarikat ditutup," katanya lagi. 

Sehubungan itu, perhimpunan tersebut juga bertujuan mendesak pihak pelikuidator UHY Malaysia (yang mengambil alih urusan pelikuidari aset Utusan) agar segera membuat bayaran wajib/statutori (mengikut Akta Syarikat dan Akta Pekerja), pampasan dan juga tunggakan  VSS yang telah tergantung sejak tiga tahun lepas. 

"Seperti yang kita dapat lihat, papan tanda logo Utusan Melayu telah diturunkan dari bangunan bekas ibu pejabat syarikat akhbar itu dan dari kilangnya di Bangi baru-baru ini dan ini menunjukkan sudah tentu bangunan-bangunan bernilai lebih RM150 juta itu telah terjual," kata Saiful Bakhtiar. 

Selain itu, tinjauan terhadap aset dan bangunan-bangunan milik Utusan Melayu yang  bernilai ratusan ribu ringgit di seluruh negara juga telah berpindah milik kerana bangunan atau pejabat-pejabat itu telah diruntuhkan dan sedang dibina semula oleh pemilik baharu .

Beliau berkata, sehubungan itu alasan UHY yang menyatakan banyak aset Utusan masih tidak boleh dijual kerana COVID-19 dan syarikat tiada wang untuk membayar bekas kakitangan serta tunggakan VSS adalah tidak logik. 

Katanya, perhimpunan itu juga mencadangkan agar kepimpinan negara ini yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk campur tangan dalam membela nasib bekas-bekas kakitangan Utusan yang pernah berkhidmat dengan akhbar yang sekian lama menjadi penyokong perjuangan orang-orang Melayu dan Islam di negara ini. 

"Semua kita tahu, Datuk Seri Ismail Sabri sudah tolong selesaikan isu tuntutan pampasan bekas pekerja Perwaja sebelum ini, dan kini kami berharap Datuk Seri dapat pula bantu kami bekas kakitangan Utusan," kata Saifol Bakhiar. 

Katanya, antara yang boleh dilakukan oleh Perdana Menteri adalah dengan memanggil pihak UHY dan wakil-wakil bekas pekerja untuk duduk berbincang mencari jalan bagaimana menyelesaikan isu tuntutan tersebut dan seterusnya menyelesaikan kes tuntutan di mahk mah. 

"Kami juga berharap agar pihak Mahkamah Tinggi dapat mempercepatkan proses perbicaraan yang sedang berlangsung dan dijalankan dengan pertimbangan yang paling adil berpandukan prinsip pembelaan pekerja-pekerja yang ditindas," tambahnya. 

Hasil daripada pertemuan tersebut juga memutuskan satu jawatankuasa pasukan bertindak  ditubuhkan dengan mempunyai wakil dari semua pihak kumpulan pekerja dan bersetuju  untuk menubuhkan satu kelab alumni yang mewakili semua bekas kakitangan. 

Untuk itu, ujarnya, satu memorandum akan diserahkan kepada pihak UHY bagi menyelesaikan segala tuntutan dan hal-hal berkaitan, di samping satu memorandum lagi pula akan dihantar  kepada Perdana Menteri selepas ini. 

Selain itu, bekas kakitangan juga akan mengunjungi pejabat Kementerian Sumber Manusia  dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi meminta agensi-agensi itu  menyiasat jika terdapat sebarang salah laku pengurusan ketika proses penutupan syarikat  Utusan Melayu, penjualan permit akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! kepada pemilik  baharu, proses penjualan aset Utusan dan kelewatan pelikuidasi melakukan pembayaran  yang sepatutnya kepada bekas kakitangan. - KitaReporters


15
10
0
15
3
You will be interested