Insan & Komuniti 20 Oct, 2023

Opah Ngomel| Video| Allah pilih saya untuk dia - Sabri! Dia lelaki terbaik, pujaan saya - Angeline!

@kartini mohd noor
Pernah berkhidmat sebagai 1. Stringer Berita Harian 2. Wartawan Berita Harian 3 . Penyunting Harian Metro 4. Grup Editor Majalah IBUBAPA

Share this


SATU Malaysia sudah beri restu bila dua bekas pelakon Pi Mai Pi Mai Tang Tu, Sabri Yunus (Wan Ismail Golok) dan Angeline Tan (Lucy) berkahwin. Peminat bukan saja terkejut tetapi terharu dan sangat gembira kerana pernikahan mereka ibarat kata orang, happy ending cerita penduduk Flat Seri Wangi.

Sabri memilih Ardini Angeline Tan Abdullah sebab "'Allah pilih saya untuk dia; keduanya, isteri saya bersetuju untuk hidup bersama dan ektiga, kami sangat-sangat tahu satu sama lain."

Manakala Angeline pula berkata, Sabri adalah kawan terbaik, pujaan hatinya dan sebab Allah bagi kepadanya. Memang kena pada masanya untuk menamatkan persahabatan lebih 30 tahun mereka.



Perkahwinan itu adalah penamat sebenar kisah pendandan rambut dalam siri itu, Lucy dan Wan Ismail Golok yang saling melantunkan cinta mereka secara "olok-olok" dan mungkin juga "didoakan" oleh sebahagian peminatnya semasa menonton. 

Tetapi tidak kurang juga ada yang menyindir sudah tua-tua masih "kuat" lagi ke? Kubur sudah panggil dan patut mereka mendekatkan diri mendalami agama. 

Tapi orang tak tahu bahawa jodoh, rezeki dan ajal maut itu sudah tercipta di Luh Mahfuz dah itu. Orang tak tahu juga dengan ikatan halal itu, Sabri-Angeline sudah boleh buat semuanya termasuk mendalami agama kerana isterinya, saudara baharu kita.

Bila ada yang menyindir begitu, Opah rasa perlulah anak-anak ini kena ambil tahu soal mati, rezeki dan takdir hidup itu tiada siapa boleh pelan kerana sebaik-baik perancang adalah Allah SWT. 



Siapa sangkakan? Pada hujung usia, Sabri, 62, dan Angeline, 56, yang hanya bermula sebagai pelakon dan masing-masing sudah ada rumah tangga. Takdir jodoh yang indah berlaku pada 14 Oktober 2023 selepas Sabri yang menjadi duda 16 tahun selepas isterinya meninggal dunia akibat barah pada 2007 dan Angeline pula menjanda, ia bertukar menjadi sahabat akrab. 

Sebagai orang Islam, Sabri sudah mengambil jalan terbaik menghalalkan hubungan sesorang lelaki dan wanita. Paling bertuah yang kita sering terlupa, Sabri berjaya mendorong seorang wanita kembali kepada hidayah kerana Angeline sebelum ini tidak percaya kepada semua agama.



Bila orang berusia mengambil keputusan berkahwin baharu, ramai yang tidak tahu kita ini asalnya dilahirkan di dunia ini berpasang-pasangan kecuali ditakdirkan membujang seumur hidup. 

Atau ada yang memilih membujang terutama golongan profesional kerana tidak mahu kerjaya mereka terjejas - masa untuk berkerja dan rumahtangga sehingga beranak-pinak. 

Membiarkan ibu atau bapa tunggal sendirian sebenarnya atas pilihan juga. Ada wanita sangat selesa menjadi balu dan janda.

Tetapi ada ibu/bapa yang memilih untuk berkahwin pada usia ini kerana ada lelaki/wanita yang mencintai dan melamarnya dengan janji akan tanggungjawab menjaga kebajikannya.

Ada wanita/lelaki yang mahu bersuami/beristeri kerana ingin menghabiskan masa berdua-duaan ke masjid, melancong, melawat sahabat handai tanpa menyusahkan anak-anak. Macam Sabri dan Angeline, mereka aktif menerbitkan drama dan berlakon.



Larilah sejauh manapun kalau sudah jodoh terukir. Pasangan ini selalunya jatuh cinta dan berkahwin dengan orang selalu rapat dengannya. Mudah buat kerja bersama-sama, minat yang sama dan boleh bertolak ansur. Mana tahu kan, orang yang selama ini  suka mengusik kita, saling bekerjasama dan lama-lama boleh jatuh cinta.

Jika keadaan begitu tidak manis dipandang, baiklah mereka menjadi suami isteri.

Soal seks itu naluri manusia yang normal, kedudukan kewangan dan kasih sayang ketika tua sebenarnya sangat manis dan indah sekali. Jumpa orang baharu, pengalaman baharu, cinta baharu dan saling membelai perasaan dengan lebih baik kerana sudah ada pengalaman suka duka mengharungi rumah tangga.

Malah jika ada mereka sudah ada rumah sendiri, hutang pun tiada lagi, fikiran mereka sangat tenang berbanding masa muda kerana sibuk fikirkan soal bayar pinjaman kereta dan rumah, pelajaran anak-anak, kesejahteraan keluarga dan saudara mara.



Orang yang paling gembira ialah rakan pelakon siri itu, Datin Marlia Musa (watak Ana) yang juga isteri Datuk M Nasir, komposer terkenal, menyifatkan pernikahan mereka macam Allah makbulkan doanya. 

Marlia berkata dia antara orang yang berdebar-debar dan M Nasir, pula melafazkan "Alhamdulillah." selepas mengetahui rancangan perkahwinan Sabri-Angeline. 

Ketika itu, Sabri dan Angeline dalam perjalanan ke Perlis bagi majlis akad nikah yang berlangsung di Musalla Teduhan Doa, Kangar oleh Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin pada  disaksikan oleh sebahagian  kawan-kawan akrabnya.

Opah mintalah anak-anak berikan restui jika ibu atau bapa mereka mahu menikah lagi kerana selepas anak-anak sudah dewasa dan ketua keluarga atau pasangannya meninggal dunia, ada ketikanya balu ini perlukan seseorang untuk menjaga emosi mereka.

Pasangan sebagai "kawan" menjaga, membimbing dan bagilah mereka menikmati sedikit momen bahagia pada usia tua.



Anak-anak mungkin bimbang ibu bapa mereka diperguna macam ada satu kes dilalui kawan saya apabila ayahnya pencen dan ibunya sudah meninggal dunia. 

Anak-anak mulanya membenarkan ayahnya berkahwin dengan janda dengan beberapa anak. Malangnya janda itu itu hanya mahukan pencen ayahnya, kereta dan rumah milik ayahnya.

Ketika ayahnya jatuh sakit, ditinggalkan ayah keseorangan di hospital dan bila anak-anaknya minta kad pencen dan kereta, janda itu enggan memberikannya sehingga ayahnya terpaksa melafazkan talak bercerai. Dan akhirnya, salah seorang anak perempuan mengambil keputusan berhenti kerja menguruskan ayah dia yang diserang strok dan lumpuh.

Pilihlah calon yang baik. Anak-anak boleh temu duga dan berikan ujian kepada bakal ibu/bapa baharu kerana dulu anak-anak minta restui ibu bapa untuk berkahwin. 

Kini bila ibu/bapa ada keinginan untuk berpasangan, jangan sindir dengan ayat-ayat melukakan perasaan. Siapapun pilihan, doakan mereka dapat calon yang mencintai ibu/bapa kerana Allah SWT. - KitaReporters


14
11
0
9
0
You will be interested