Insan & Komuniti 07 Sep, 2023

Syabas KRT Kasturisari! Program Santai Sambutan Ambang Malam Kemerdekaan hindari remaja berpeleseran!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this


PROGRAM Santai Sambutan Ambang Malam Kemerdekaan Ke-66 anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kasturisari, Precint 14, Bandar Sungai Buaya, Hulu Selangor berjaya mengekang budaya berpelesiran remaja menyambut peristiwa bersejarah itu.

Kegiatan merempit atau membuat bising di tempat awam pada malam keramat menyambut kemerdekaan negara  sering menjadi rungutan komuniti seolah-olah menjadi budaya buruk dalam kalangan remaja.

Menyedari masalah itu KRT Kasturisari menjadikannya satu ikhtibar dengan mengadakan program santai bersama-sama ahli keluarga di Pusat Komuniti KRT berkenaan bermula malam 30 Ogos 2023 dan berakhir selepas melaungkan merdeka sebaik sahaja jam berdetik tepat pukul 12 malam.


Ibu bapa daripada pelbagai kaum bersama-sama anak menjamu selera sementara menunggu detik jam 12 malam untuk melaungkan merdeka.


Pengerusi KRT berkenaan, Mahmod Mat Ali, berkata dia bersama-sama ahli jawatankuasa KRT mengadakan perbincangan terlebih dahulu bagi merangka suatu kegiatan yang bermanfaat untuk semua komuniti pelbagai kaum di precint itu pada malam sambutan kemerdekaan negara. 

Menurutnya, apabila cadangan supaya diadakan program berkumpul dengan membawa ahli keluarga bersama-sama di satu kawasan secara santai dan disulami jamuan ringan serta beriadah membabitkankegiatan bersesuaian akhirnya dipersetujui.

Tambahnya, selepas diuar-uarkan dalam kumpulan Whatsapp hampir setiap keluarga di komuniti berkenaan bersetuju pula untuk memberi sumbangan makanan serta minuman bagi dinikmati bersama-sama pada malam berkenaan.


Komuniti  KRT Kasturisari, Precint 14, Bandar Sungai Buaya di Hulu Selangor memeriahkan Program Santai Sambutan Ambang Malam Kemerdekaan Negara Ke-66 anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kasturisari, 30 Ogos 2023.


“Saya tidak menyangka sama sekali apabila pelbagai makanan seperti kuih-muih dan minuman dapat dikumpul untuk dihidangkan sebagai menu jamuan sementara menunggu detik jam 12 malam di kawasan lapang sekitar pusat komuniti ini.

“Penyediaan makanan secara ‘potluck’  dan bergotong-royong mengadakan ‘BBQ’ secara tidak langsung menonjolkan budaya kerjasama serta kesepakatan komuniti dalam menjayakan program yang membawa manfaat untuk semua,” ujarnya.


Sebahagian remaja hadir bersama-sama ibu bapa bagi memeriahkan Program Santai Sambutan Ambang Malam Kemerdekaan Negara ke 66 itu.


Mahmod berkata, walaupun tiada pertunjukan istimewa seperti persembahan artis namun kesediaan ahli Persatuan Seni Silat Gayong Serantau dari Masjid As Salam Bukit Sentosa sudah cukup memeriahkan program santai malam itu.

Jelas beliau, paling penting program santai itu berjaya mengundang hampir semua ahli keluarga komuniti untuk hadir bersama-sama yang membuka peluang merapatkan hubungan muhibah yang terjalin sekian lama.


BBQ mendapat sambutan ramai pada Program Santai Sambutan Ambang Malam Kemerdekaan.


Menurutnya, pada malam itu juga KRT berjaya mengekang sebilangan remaja daripada keluar berpelesiran tanpa tujuan dan terbabit dalam kegiatan tidak bermoral seperti merempit atau membuat bising di tempat awam.

“Mereka hadir bersama ahli keluarga dengan duduk berkumpul di kawasan lapang dan menjamu selera menikmati pelbagai kuih-muih serta makan ringan lain sebelum berdiri bersorak gembira sambil melaungkan merdeka disamping melihat pertunjukkan bunga api.

“Pada program santai ini juga membuka idea kepada KRT untuk membuka cawangan persatuan silat berkenaan supaya menjadi antara sukan riadah remaja di komuniti Precint 14,” katanya. - KitaReporters


Persembahan silat oleh ahli Persatuan Seni Silat Gayong Serantau dari Masjid As Salam Bukit Sentosa menarik perhatian mereka yang hadir.

17
10
0
10
0
You will be interested