Insan & Komuniti 24 Oct, 2023

Terbaiklah Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia Hulu Langat! 40 tahun terus taburkan bakti!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

Azman Rasman (kanan) menyampaikan taklimat ringkas operasi PJMM dan sejarah penubuhan kepada ahli LKPIM.


WALAUPUN budi baik dan jasa tidak disanjung, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia (LKPIM) Daerah Hulu Langat, Selangor, tetap terus aktif dalam kerja amal kebajikan sejak 40 tahun lalu.

Ia selaras dengan visi NGO berkenaan yang ingin membela nasib masyarakat setakat termampu tanpa mengira bangsa dan agama supaya mereka ditimpa musibah tidak berasa  terbiar atau tersisih tanpa pembelaan daripada mana-mana pihak.

Pengerusinya, Salmiah Acheh, berkata selepas dilantik memegang jawatan itu dia bersama-sama ahli jawatankuasa yang dipilih daripada 300 ahli berazam untuk terus menyantuni masyarakat di daerah berkenaan bagi menghulurkan bantuan diperlukan.

Menurutnya, inilah sahaja usaha murni dan sukarela LKPIM dapat hulurkan yang sebahagian besar darpada kami adalah bekas kakitangan kerajaan atau swasta dan suri rumah sepenuh masa untuk terus menabur bakti kepada masyarakat.


Ahli LKPIM memberi tumpuan kepada penerangan Azman mengenai warga emas terlantar kerana keuzuran yang disantuni seperti dalam hospital.


Jelas beliau, apabila hendak menggerakkan bantuan amal kebajikan dan sebagainya, ahli akan diuar-uarkan untuk menginfak sumbangan mereka sama ada kewangan atau barangan keperluan yang difikirkan sesuai bagi disalurkan kepada mereka terbabit. 

Tambahnya, LKPIM akan lebih mengutamakan infak atau sumbangan daripada ahli sebagai tanda sokongan sebelum cuba berikhtiar mendapat bantuan daripada pelbagai pihak lain untuk sama-sama membantu meringankan bebanan mereka yang timpa bencana atau musibah.

“Setakat ini LKPIM tidak berhenti untuk menyalurkan bantuan kepada rumah anak yatim, keluarga miskin, pusat tahfiz dan juga pusat jagaan warga emas terutama yang beroperasi tanpa mengenakan sebarang bayaran.

“Bagi kami sebagai NGO adalah menjadi tanggungjawab bagi membantu mereka ini apabila menerima maklumat atau laporan daripada ahli untuk turun padang bagi berkongsi rezeki dan berharap menjadi contoh kepada pelbagai badan sukarela lain,” ujarnya ketika ditemui selepas menghulurkan sumbangan kewangan dan barangan makanan keperluan asas kepada Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih, Selangor, pada 21 Oktober 2023 lalu.


Azman menerima sumbangan kewangan daripada LKPIM.


Turut hadir pada majlis itu Pengerusi PJMM, Azman Razman; Setiausaha PJMM, Muhammad Syafiq Mohiadin; dan Penasihat 1 PJMM, Mohiadin Bahado.

Seorang ahli jawatankuasa LKPIM, Wan Rafidah Meor Osman yang ditemui berkata, walaupun sudah lama bergelar pesara tetapi dia berasa seronok dapat terus aktif untuk membantu masyarakat menerusi NGO berkenaan.

Jelasnya, dia yang menyertai pelbagai NGO sebagai sukarelawan menganggap masa bersara tidak hanya duduk berehat semata-mata malah amat wajar juga jika dapat turun padang membantu mereka yang memerlukan bantuan mungkin sebelum itu tidak dapat dilakukan kerana sibuk bekerja.

“Bersama LKPIM ini bukan setakat membantu atau menyantuni mereka memerlukan perhatian serta bantuan juga dapat mengikuti kelas agama dan mengaji al-Quran bersama-sama rakan yang dianjurkan di Surau Sungai Kantan, Kajang, Selangor,” katanya.


Ahli Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia (LKPIM) Daerah Hulu Langat, Selangor (berdiri kanan belakang) merakamkan kenangan bersama sebahagian warga emas di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM) selepas menghulurkan sumbangan kewangan dan barangan makanan keperluan asas pada 21 Oktober 2023. 


Sementara itu, Azman berkata, sejak berlakunya kenaikan harga pelbagai barangan mentah terutama beras pihak pengurusan PJMM amat terasa kerana kos operasi meningkat menyebabkan terpaksa menguar-uarkan keperluan bantuan menerusi media sosial.

Menurutnya, PJMM, yang beroperasi tanpa mengenakan sebarang bayaran kepada penghuni iaitu dalam kalangan warga emas tersisih, tanpa waris atau sebatang kara serta mualaf, sentiasa berusaha mencari sumbangan atau infak daripada orang ramai dan juga badan korporat.

Katanya, sebagai usaha terkini, PJMM mempelawa dan membuka peluang kepada orang ramai, NGO dan sebagainya untuk berkongsi rezeki pada hari Jumaat yang penuh keberkatan setiap minggu untuk menaja atau menyediakan sarapan pagi kepada penghuni.

“Bukan setakat ini sahaja jika ada pihak yang ingin menaja makan tengah hari, minum petang atau makan malam, PJMM sentiasa mengalu-alukan kerana usaha itu sedikit sebanyak meringankan bebanan kos operasi,” jelasnya.

Kepada orang ramai atau pelbagai pihak yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkara itu atau menyumbangkan bantuan dan sebagainya boleh menghubungi Azman menerusi nombor telefon 019-977 7419, Muhammad Syafiq (017-378 6804) dan Mohiadin (017-394 3216). - KitaReporters


Ahli-ahli LKPIM menunjukkan buku kisah benar penghuni bertajuk 'Terkulai Di Senja Hari' yang menjadi antara sumber dana PJMM.

23
10
0
11
0
You will be interested