Insan & Komuniti 12 Jul, 2025

Jom ramai-ramai ke Karnival Kesenian Islam dan Malam Mahabbah Madani! Parlimen Tambun, 13 Julai 2025!

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke kita.reporters@gmail.com atau editor.kitareporters@gmail.com

Share this


Parlimen Tambun akan menganjurkan Karnival Kesenian Islam dan Malam Mahabbah Madani sempena sambutan Maal Hijrah 1447H, yang bertemakan ‘Hijrah Membina Ummah Madani’ bertempat di pekarangan Masjid Jamek Al-Amin, Kampung Lata, Ipoh, Perak pada Ahad, 13 Julai 2025 bermula jam 5.30 pagi hingga 11.00 malam. 

Program ini dianjurkan dengan kerjasama strategik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sebagai usaha memperkasakan peranan agensi dalam menyemarakkan aktiviti Islamik dan kerohanian dalam komuniti, di samping memupuk semangat hijrah dalam diri serta masyarakat setempat. 

Selain itu, ia merupakan platform terbaik untuk memperkukuh hubungan antara pemimpin dan rakyat melalui penghayatan makna hijrah dalam konteks pembangunan rohani serta transformasi diri berlandaskan ajaran Islam. 

Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Tambun turut menyokong dan memberi galakan agar program seperti ini dapat diteruskan, seterusnya diadakan di sekolah-sekolah dalam Parlimen Tambun melalui kelulusan sumbangan tunai kepada seluruh sekolah rendah dan sekolah di peringkat Parlimen Tambun. 

Pelbagai pengisian dan aktiviti menarik atas pentas serta kawasan sekitar masjid disediakan pihak penganjur kepada pengunjung termasuk demonstrasi khat, penyalinan dan percetakan Al-Quran dan persembahan nasyid daripada kumpulan popular seperti UNIC, Raihan dan Mirwana. 

Selain itu, turut diadakan ilah pertandingan nasyid sekolah dalam kawasan Parlimen Tambun dan Forum Hijrah bersama selebriti dan ilmuwan yang menampilkan panel seperti PU Riz dan isterinya, Neelofa bersama moderator Kamil Munim. 

Pengunjung juga berpeluang untuk bertemu mata dengan selebriti lain seperti Nabil Ahmad yang akan menyertai kempen 'Solat Subuh Macam Jumaat’ bersama rakan selebriti lain Angah Raja Lawak, Qawiyaro, Shamsul Ghau Ghau. 



Malam Mahabbah Madani pula menyajikan persembahan qasidah, bacaan doa, penyerahan sumbangan dan selawat beramai-ramai.

Bagi aktiviti di luar pentas atau sekitar masjid, pengunjung boleh menyertai program seperti street soccer, gusti lengan, larian amal, pertandingan memasak serta kenduri rakyat. 

Malah karnival itu turut memberi peluang kepada pengunjung bertemu dengan Ustaz Don atau nama sebenarnya Don Daniyal Don Biyajid, figura dakwah yang dikenali ramai menerusi tazkirah yang menyentuh hati dan sarat dengan mesej kasih sayang, keinsafan serta penghayatan nilai-nilai Islam. 

Program lain yang turut dilakukan adalah konvoi motosikal belia, gotong royong membersih kubur, Jualan Rahmah, pameran agensi, jualan usahawan, pemeriksaan kesihatan, program penukaran minyak hitam dan gunting rambut percuma, cabutan bertuah serta pameran bas perkhidmatan. 

Program ini turut mengangkat aspirasi Malaysia Madani dengan memastikan seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira usia atau latar belakang untuk hadir dan berhimpun dalam satu acara yang mengukuhkan nilai perpaduan, kasih sayang serta keharmonian, selari dengan misi kerajaan untuk membina sebuah negara yang inklusif dan sejahtera untuk semua. - KitaReporters/Kenyataan Media

15
12
0
6
0
You will be interested