Insan & Komuniti 20 Jun, 2025

Bosan! Kesepian! Murung! Pusat Aktiviti Warga Emas di Sungai Tua dah dibuka! Pelbagai aktiviti ada!

@rodly fadly
Memulakan kerjaya kewartawanan bersama Mingguan Perdana dan Harian Nasional pada 1983. Pada 1984-1991 menyertai Kumpulan Karangkraf sebagai Pengarang Arena Bolasepak dan Mingguan Sukan sebelum ke Berita Harian (1991-1997). Pemenang Anugerah Penulis Sukan Terbaik Malaysia 1986. Kini penulis bebas.

Share this

 

PUSAT Aktiviti Warga Emas Sungai Tua sudah beroperasi.


MENITI kehidupan pada usia emas adalah satu fasa mencabar yang mana jika tidak ditangani dengan bijak boleh membuatkan seseorang kecundang.

Selain masalah kesihatan yang sudah menjadi fitrah bagi kebanyakan warga emas, juga faktor kewangan (jika tidak mempunyai simpanan persaraan yang mencukupi), sindrom kurang kasih sayang serta perhatian adalah antara isu yang kerap membelenggu golongan ini.

Kita kerap mendengar rintihan dan keluhan ibu bapa yang dikesampingkan oleh anak-anak yang sibuk dengan kerjaya serta keluarga masing-masing sehingga insan yang membesarkan mereka berasa terabai, tersisih dan kesepian.

Faktor kurang kasih sayang serta perhatian kerap mendorong warga emas bersedih, akhirnya mengalami kemurungan apatah lagi jika pasangan (suami atau isteri) sudah meninggal dunia dan mereka hidup bersendirian.


WARGA emas kini boleh melakukan pelbagai aktiviti di PAWE @ Sungai Tua. - Kredit foto: JPMMPS


Namun keprihatinan kerajaan terhadap golongan ini sedikit sebanyak membantu mereka keluar daripada kemelut yang dihadapi.

Selain bantuan kewangan menerusi pelbagai kaedah serta kemudahan rawatan, warga emas disantuni dengan bermacam-macam cara agar mereka dapat mengharungi sisa kehidupan lebih tenang.

Kewujudan pusat aktiviti untuk warga emas ini adalah antara inisiatif kerajaan dalam menyantuni mereka. Di Selangor, contohnya beberapa Pusat Aktiviti Warga Emas atau ringkasnya PAWE sudah ditubuhkan dengan terbaharu di Sungai Tua, Batu Caves.

Pusat itu yang dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), Sungai Tua pada September, 2024, beroperasi secara rasmi pada Isnin, 16 Jun, 2025 dengan pelbagai aktiviti disusun bagi mengisi program sepanjang minggu (Isnin hingga Jumaat).

Pusat berkenaan yang menyediakan pelbagai kemudahan asas seperti dewan mesyuarat dan ruang aktiviti diletak di bawah seliaan Jabatan Pembangunan Masyarakat Majlis Perbandaran Selayang (JPMMPS).


NADIRAH AMRAN


Menurut Penolong Pegawai Belia dan Sukan JPMMPS, Nadirah Amran, walaupun terletak dalam Dun Sungai Tua, namun pusat aktiviti itu turut dibuka untuk dimanfaatkan oleh komuniti yang berada di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

“Matlamat penubuhan PAWE adalah menyediakan satu pusat aktiviti bagi menyantuni warga emas. Di samping mengisi masa mereka, kami juga akan menjalankan pelbagai aktiviti yang akan memberi manfaat kepada golongan  ini.

“Oleh itu, kami mengalu-alukan seramai mungkin penyertaan dalam setiap aktiviti yang kami anjurkan dan mereka digalakkan untuk mendaftar sebagai ahli agar kami mempunyai data dalam sistem kami.

“Sesiapa pun boleh datang asalkan memenuhi syarat iaitu warga negara Malaysia berusia 60 tahun ke atas kerana matlamat penubuhan PAWE adalah untuk menyantuni warga emas,” kata Nadirah.


PELBAGAI aktiviti disusun sepanjang minggu.


Menurut Nadirah, sejak dibuka secara rasmi pada Isnin, 16 Jun, 2025, mereka menerima penyertaan yang sangat menggalakkan terutama daripada kaum wanita. Setakat ini kira-kira 450 orang sudah mendaftar sebagai ahli.

“Kami menjangkakan dari semasa ke semasa, penyertaan akan bertambah dan keahlian bakal meningkat. Contohnya pada Khamis (19 Jun, 2025) lalu, lebih 100 orang hadir berbanding sebelumnya yang mana hanya sekitar 50 orang hadir,” katanya.

Nadirah berkata, mereka akan mempelbagaikan program meliputi aktiviti kecergasan, kesihatan, keagamaan, kesenian, kerja tangan (kraftangan), keselamatan, pertanian, pengetahuan IT (teknologi), ziarah dan lain-lain.


AKTIVITI mewarna lukisan batik. - Kredit foto: JPMMPS.


“Contohnya pada Selasa (17 Jun 2025) lalu, kami menganjurkan program kreatif berupa mewarna lukisan batik, ternyata ramai yang memiliki bakat. Program seperti ini secara tidak langsung menajamkan pemikiran mereka untuk mengeluarkan kreativiti masing-masing.

“Pada masa sama, kami juga mengembalikan mereka kepada permainan tradisi kita seperti congkak, batu seremban, catur, dam, karom dan lain-lain permainan tradisional berkonsepkan kampung.

“Menariknya, ada antara mereka bukan sekadar datang bermain tapi turut berpakaian ala kampung bagi menepati konsep permainan itu.



PERMAINAN karom dan dam antara aktiviti di PAWE@ Sungai Tua. - Kredit foto: JPMMPS.


“Pada Khamis (19 Jun, 2025), kami anjurkan program kesihatan bertajuk ‘Kesihatan Mental Di Hari Tua: Cabaran Dan Harapan’. Ternyata ramai yang prihatin dengan kesihatan mereka, datang mendengar dengan tekun penerangan wakil Pejabat Kesihatan daerah,” katanya.

Pada masa sama, pengisian kerohanian untuk ahli beragama Islam tidak dilupakan apabila PAWE Sungai Tua turut menganjurkan majlis bacaan Yasin, tadarus, tadabbur, talaqi, kelas fardhu ain dan kuliah agama oleh guru agama jemputan.

Selebihnya, sudah tentulah PAWE akan berperanan sebagai tempat perpaduan masyarakat berbilang kaum serta memupuk silaturahim dalam kalangan ahlinya selari dengan konsep Malaysia Madani.


WAKIL Pejabat Kesihatan Gombak sedang membimbing peserta membuat senaman ringan. - Kredit foto: JPMMPS


Nadirah berkata, mereka kini masih dalam peringkat ‘percubaan sebelum menentukan bentuk program yang akan dilaksanakan.

“Untuk beberapa bulan ini, kami akan mencuba pelbagai program dan kita akan lihat serta nilai program manakah yang mendapat sambutan dan sesuai untuk dilaksanakan,” katanya.

Beliau juga berkata, usaha sedang dilakukan untuk mendaftar PAWE Sungai Tua sebagai satu badan berdaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) agar operasinya lebih tersusun dan lancar.

“Apabila didaftarkan kelak, kami akan menyusun semula struktur pentadbiran serta ahlinya akan dikemas kini dan didaftarkan secara rasmi,” ujar Nadirah. - KitaReporters


CHAIROBIC, senaman ringan yang sesuai untuk warga emas. - Kredit foto: JPMMPS

18
19
0
9
0
You will be interested