Pengunjung Karnival Kenangan mengambil peluang membeli-belah di Charity Shoppe.
Islamic Relief Malaysia (IR Malaysia) menerusi kedai kebajikannya, Charity Shoppe, telah menganjurkan Karnival Kenangan Charity Shoppe dalam siri jualan penutup istimewa menjelang penutupan penuh operasi kedai berkenaan bermula 14 Jun 2025 ini.
Bertempat di premis Charity Shoppe di Seksyen 9, Bandar Baru Bangi, program yang berlangsung pada hari Sabtu, 24 Mei 2025 itu berjaya menarik kehadiran 150 orang pengunjung termasuk pelanggan, sukarelawan dan ahli komuniti setempat.
Pelbagai aktiviti menarik telah disediakan sepanjang karnival antaranya pemberian cenderahati kepada 20 pengunjung terawal, cabutan bertuah, hadiah istimewa untuk pembelian RM50 ke atas, jualan barangan preloved 1 plastik RM10, sarapan percuma serta aktiviti riang ria untuk kanak-kanak seperti mewarna dan teka bilangan gula-gula.
Lebih istimewa, kumpulan nasyid popular, Saujana turut membuat penampilan khas yang menghiburkan para pengunjung.
Turut diraikan dalam karnival tersebut ialah mantan Pengurus dan Pengasas Charity Shoppe, Datin Norelan Ismail bersama pasukan sukarelawan tegar Charity Shoppe.
Pertandingan mewarna untuk kanak-kanak.
Ketua Pegawai Eksekutif IR Malaysia, Siti Fadilah Mohd Hood dalam ucapannya berkata, “Karnival ini merupakan satu penghormatan kepada Charity Shoppe atas satu perjalanan kebajikan yang bukan sekejap, tetapi lebih dari satu dekad.
“Charity Shoppe bukan sekadar kedai tetapi ia lebih daripada itu di mana Charity Shoppe merupakan pintu gerbang yang menghubungkan komuniti dan juga sukarelawan Islamic Relief.
“Charity Shoppe memberi nafas baru kepada barang-barang yang disumbangkan oleh orang ramai.
"Daripada dilupuskan, barang-barang tersebut disaring dan dijual kepada para pelanggan. Hasil daripada jualan itu, kami salurkan kepada tabung-tabung kemanusiaan IR Malaysia.
“Bagi mereka yang mengikuti Charity Shoppe dari awal, memang kita dapat lihat berkembangnya aktiviti kebajikan daripada sebuah kedai barangan terpakai, mencapah kepada lebih banyak lagi tujuan kebaikan. Begitulah impak yang diberikan oleh Charity Shoppe.
“Lebih sedekad perjalanan Charity Shoppe, pelbagai usaha telah dilakukan dan bermacam-macam tagline telah digunakan seperti ‘Membeli Sambil Beramal’, ‘Menang Memberi, Menang Memakai’, dan ‘From the Best for the Best’,” katanya.
Norelan Ismail (depan, empat dari kiri)) bersama ikon kemanusiaan, kakitangan dan penyokong-penyokong tegar Charity Shoppe.
Sementara itu, Norelan yang menjadi tonggak pembukaan Charity Shoppe pada 2012 menyifatkan penutupan Charity Shoppe ini menandakan satu permulaan baharu.
“Sebenarnya bagi setiap pengakhiran, ada satu permulaan baik yang menunggu kita. Jadi, bila buat sesuatu, kita kena positif.
“Charity Shoppe ini bermula dengan Car Boot Sale di Putrajaya. Masa tu memang tidak ada orang nak mengusung-ngusung barang. Jadi, saya mengambil inisiatif untuk pergi rumah ke rumah dan mengutip barangan yang tidak lagi digunakan.
“Saya sangat bangga dengan aktiviti ini kerana setiap satu barang yang diperoleh, kita dapat tukarkan menjadi duit, dan yang lebih mengujakan, duit itu kita boleh panjangkan untuk membantu orang-orang di sekitar kita yang memerlukan,” kongsi beliau.
Bagi pelanggan setia Charity Shoppe, penutupan ini merupakan satu kehilangan yang amat besar bagi mereka.
“Sebagai seorang yang bekerja, saya akan meluangkan masa untuk datang ke sini setiap kali Charity Shoppe buka pada hari Sabtu.
“Antara yang selalu saya cari ialah barang keperluan anak-anak seperti baju. Baju di sini bagus-bagus, malah bila anak nak mula kerja, saya dapat beli baju kemeja dan seluar yang elok di sini.
“Di kedai ni, boleh dapat barang murah-murah tapi kualiti memang bagus. Dari awal Charity Shoppe buka, dari anak-anak saya masih kecil sampai dah besar, saya tetap datang dan membeli di sini.
“Walaupun sedih, saya doakan semoga Islamic Relief Malaysia terus maju jaya,” kongsi Wafa.
Wafa sedang memilih pakaian untuk anak-anaknya.
Bagi Aliya, “Saya datang ke sini tiap-tiap minggu cari barang keperluan rumah, pakaian kasut. Lepas ni dah tak dapat membeli-belah lagi. Pesanan saya, jangan putus asa, teruskan perjuangan untuk membantu mereka yang memerlukan.”
Charity Shoppe telah beroperasi sebagai kedai kebajikan IR Malaysia sejak 13 tahun lalu, menyediakan platform untuk menjual barangan terpakai yang masih berkualiti bagi tujuan kutipan dana kemanusiaan.
Charity Shoppe telah menjadi simbol semangat kebersamaan, kesukarelawanan dan sokongan masyarakat terhadap perjuangan kemanusiaan.
“Insya-Allah, penutupan ini bukan pengakhiran tapi sebenarnya satu langkah buat Islamic Relief Malaysia untuk meneroka dan mengembangkan lagi usaha-usaha kebajikan dengan lebih efektif dan berkesan.
“Kami pernah menjadi trendsetter untuk kedai kebajikan dan insya-Allah kami look forward untuk menjadi trendsetter dalam usaha-usaha kemanusiaan yang lain.
“Saya mohon kemaafaan sekiranya sepanjang kami beroperasi, ada salah silap dari pihak kami dan saya mohon terus doakan kesejahteraan kami dan doakan supaya Islamic Relief boleh bergerak lagi ke hadapan dengan lebih baik lagi, insya-Allah,” tambah Siti Fadilah.
IR Malaysia menzahirkan penghargaan yang tidak terhingga kepada semua termasuk pelanggan setia, penyumbang, pengunjung, sukarelawan dan orang ramai yang sentiasa memberi sokongan kepada Charity Shoppe sejak awal penubuhannya. - KitaReporters/Kenyataan Media
Siti Fadilah Mohd Hood bersama pelanggan setia Charity Shoppe, Sahidan Jaafar, bekas Penolong Pengarang Mastika.