
"Pekerja Kesuma Bangsa" – Tema Hari Pekerja 2025 ini membawa makna yang amat mendalam, penuh simbolik, dan mengangkat martabat setiap insan yang menyumbang kepada kemajuan negara sebagai insan mulia, wira tanpa nama yang menjadi tunjang ekonomi dan nadi pembangunan tanah air.
KitaReporters menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh warga kerja negara tanpa mengira pangkat, kedudukan atau sektor.
Dari penjawat awam ke pekerja sektor swasta, dari buruh binaan hingga ke tenaga profesional, anda semua adalah Kesuma Bangsa dan permata masyarakat Malaysia Madani yang berharga.

Dalam menghadapi era pascapandemik, kemajuan teknologi dan cabaran ekonomi global, tenaga kerja Malaysia terus cekal, tabah dan inovatif.
Mereka bukan sahaja memacu produktiviti, tetapi turut memainkan peranan besar dalam mengekalkan keharmonian sosial serta kestabilan negara, selaras dengan aspirasi negara Madani yang berteraskan nilai hormat, sejahtera, ihsan dan inklusif.
Namun begitu, penghormatan kepada pekerja tidak hanya cukup dengan ucapan semata-mata tetapi haruslah diterjemahkan melalui dasar yang adil, perlindungan kebajikan, keselamatan pekerjaan, dan peluang peningkatan kerjaya yang menyeluruh.
Pengiktirafan sebenar datang dengan tindakan yang menghormati hak, maruah dan masa depan pekerja, demi membina sebuah masyarakat Madani yang benar-benar inklusif dan berdaya tahan.

KitaReporters mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk menjadikan 1 Mei bukan sekadar hari cuti, tetapi hari renungan dan penghargaan.
Hari untuk menginsafi betapa pentingnya sumbangan mereka yang saban hari membanting tulang dari subuh hingga lewat malam demi sesuap rezeki halal dan kehidupan yang bermaruah.
Selamat Hari Pekerja 2025. Pekerja benar-benar Kesuma Bangsa Malaysia Madani. - KitaReporters