Insan & Komuniti 11 May, 2025

Sembang-Sembang| Video| Terima kasih ibu, emak, bonda, ummi, mama, mummy! Engkaulah ratu hati kami!

@normala hamzah
NORMALA HAMZAH penerima Anugerah Wanita Inspirasiku 2015. Bekas Pengarang Kanan meja Keluarga Utusan Malaysia dan majalah Wanita. Penulis buku Permaisuri, Ibu Halimah dan Odyssey Dari Lembah ke Puncak. Kini aktif dalam Projek Wakaf Telekung Siti Aishah. Emel >> normalahamzah251@gmail.com

Share this

.



Hari ibu di Malaysia tahun ini jatuh pada Ahad, 11 Mei 2025. Seorang ibu adalah teman pertama kita, sahabat kita, dan teman selamanya dalam kehidupan kita. 

Semua yang telah kita belajar, lihat dan buat adalah hasil didikan yang berharga dari ibu kita. Ibu adalah makhluk terindah di dunia. Tidak ada bandingannya dengan apa juga di dunia ini. 
Hak paling berharga bagi seorang wanita adalah hak untuk bergelar isteri dan ibu. Ibu kita  mungkin tak secerdas kita tak berjaya dalam hidup, tidak sempurna tetapi dia sangat istimewa. 
Dia memiliki hati yang begitu ikhlas sehingga tak pernah meminta supaya kita membayar kembali segala jasanya.Seperti kata Umar bin Khattab, Engkau merawat ibumu sambil menunggu kematiannya, sementara ibumu merawatmu sambil mengharap kehidupan dan kebahagiaanmu.
Ungkapan yang sangat menusuk kalbu dan perlu dihayati anak-anak sepenuh jiwa dan raga. 


Ketulusan hati seorang ibu dalam menjaga  mendidik dan merawat saat kita sakit membuatkan kita bahagia memiliki ibu sepertinya. Ibarat sekuntum bunga berputik mekar dan layu tapi terus mewangi menabur bakti kepada anak-anak. Tidak pernah merungut. Tidak pernah marah tetapi terus tersenyum walau di hatinya hanya Allah yang tahu. 

Kadangkala anak-anak yang tidak paham akan hati dan perasaan ibu sehinggakan ada masa membuat ibu terasa hati dan menitiskan air mata. 
Seorang ibu umpama penawar buat anak-anaknya. Mereka memberi semangat hidup kepada anak-anak walaupun kadang-kadang hidup sering membuatkan kita anak-anak tidak bersemangat untuk terus hidup.
Terlalu besar pengorbanan ibu hingga jika mentari terbenam dan meredupkan cahayanya, cinta dan kasih ibu kepada anaknya tak akan pernah hilang sehingga akhir hayatnya.
Jika seorang  Ibu tak pernah menyerah kalah membesarkan anaknya  janganlah kita pula lupa  untuk terus mencurahkan rasa kasih dan  cinta kepada ibu. Seperti kata Cardinal Mermillod, Seorang ibu adalah dia yang dapat menggantikan semua yang lain tetapi yang tempatnya tidak dapat diambil oleh orang lain.
Kita  menyayangi ibu setiap hari. Dan kini akan merindukannya setiap hari tanpa ibu di sisi. Demikian, perasaan mereka yang sudah tidak ada ibu -- yang dijemput pulang ke negeri abadi. mendahului anak-anak. 
Kita menangis tanpa henti ketika ibu pergi, tetapi perlu kuat dan tidak akan membiarkan air mata merosakkan senyum yang ibu berikan pada kita ketika dia masih ada.


Seperti mana kita tidak pernah melihat ada sesuatu sekuat diri seorang ibu yang sangat sabar, tabah dan cekal. Ingin sekali kita menjadi seperti ibu tetapi mampukah kita?
Ya boleh. Andainya kita menjadi anak soleh dan solehah. Mendoakan Mereka tanpa putus setiap masa sama ada yang masih hidup atau yang sudah kembali. 
Hari ini hari Ibu. Walau kita patut meraikan ibu setiap hari, hari  Ini sangat istimewa untuk kita menghargai pengorbanan seorang ibu. 
Mesti anda ada perencanaan untuk menggembirakan ibu anda dengan aturcara yang telah disusun seisi keluarga. Hadiah, bawa makan makan atau bercuti itu pilihan anda. Yang penting gembirakan mereka. 
Pada masa sama, jangan lupa pada ibu yang sudah pergi. Buat majlis tahlil dan kesyukuran juga salah satu cara lebih afdal mengingati jasa mereka. Al-Fatihah dibaca untuk semua ibu yang telah kembali kepada Pencipta-Nya. 
Selamat Hari Ibu buat ibu-ibu di seluruh negara. 
Terima kasih ibu, emak, mama, bonda, ummi, mummy atau apa saja panggilan kerana menjadi ibu terhebat dalam hidup kami. Ibu-ibu, engkaulah ratu hati kami. Syurga kami di bawah telapak kakimu, ibu. - KitaReporters 

14
13
0
15
0
You will be interested