Hari ini gempur, esok lusa kembali semula! Betapa liat dan beraninya jurugambar-jurugambar haram mencari mangsa terutama pelancong di sekitar pekarangan Menara Berkembar Petronas di KLCC.
Mereka memanipulasi harga gambar kepada pelancong dan mengganggu pengunjung. Kebanyakan daripada mereka mengakui rakyat Malaysia berasal dari Sabah. Namun, ramai yang mendakwa mereka adalah pendatang haram.
Aktiviti haram mereka ini telah beberapa kali dibanteras dalam operasi bersama melibatkan polis, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Ibarat seperti lalang, ditebas hari ini, esok lusa kembali tumbuh. Ia akan berterusan selagi tidak diracun akarnya.

Situasi ini seandainya tidak dibanteras sehabisnya, ia akan merosakkan imej negara. Apatah lagi Malaysia menjadi tumpuan para pempengaruh media sosial dan YouTuber. Lagipun tahun hadapan (2026) ialah Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026).
Hal negatif ini akan mudah tersebar dan akhirnya nama Malaysia menjadi buruk.
Pada awal Jun 2025, seorang pelancong wanita dari Thailand menjadi mangsa penipuan jurugambar haram ini. Pelancong yang dikenali sebagai Myeye ini berkongsi pengalaman buruknya dalam TikTok miliknya ketika berada di KLCC.
“Amaran bagi
sesiapa yang melancong ke Malaysia, berhati-hati dengan penipu (jurugambar
haram) yang mengambil gambar di hadapan KLCC. Saya kehilangan RM500 iaitu
kira-kira tiga ribu baht. Saya sarankan anda terelbih dahulu berbincang tentang
harga dan butiran dengan teliti sebelum membuat keputusan menggunakan khidmat
mereka.
“Apa yang terjadi kepada saya, saya tidak salahkan sesiapa selain diri sendiri kerana tidak berhati-hati. Ia adalah pengajaran berguna kepada saya apatah lagi pergi ke negara orang sendirian dan tiada kenalan di sini,” tulisnya.

Perkongsian
tersebut menarik perhatian ramai terutama rakyat Malaysia. Netizen Malaysia
turut bersimpati dan menasihati agar pelancong lebih berhati-hati. Dakwa
netizen, jurugambar-jurugambar haram tersebut mengakui rakyat Malaysia
sebaliknya adalah pendatang haram.
“Alamak, jangan percayakan jurugambar di hadapan KLCC. Kebanyakan daripada mereka bukan rakyat Malaysia,” kata salah seorang netizen.

Dalam penjelasan
selanjutnya, Myeye menjelaskan kejadian tersebut. Pada mulanya dia diberitahu
harga yang ditawarkan ialah sebanyak RM20 sahaja untuk beberapa keping. Namun berlakunya
sebaliknya apabila jurugambar tersebut memberitahu harga untuk semua gambar bernilai
ratusan tinggit.
“Saya didatangi seorang jurugambar yang menawarkan perkhidmatannya. Harga yang
ditetapkannya ialah sebanyak RM20. Silap saya kerana mempercayainya. Saya fikir
saya keseorangan ketika itu dan ia berlaku ketika tengah malam.
“Jurugambar itu mengambil gambar saya dalam 31 keping dan harganya sebanyak RM620. Dia tawarkan harga diskaun menjadi RM500. Sungguhpun begitu saya bersyukur kerana tiada apa-apa terjadi walaupun kerugian sebanyak RM500.
"Jika ini berlaku di Thailand, saya takkan membayarnya waima RM1. Namun di sini saya seorang diri dan terpaksa membayarnya dan terus balik ke hotel,” ceritanya.

Ada juga netizen
yang tidak mempercayai dakwaan wanita ini. Netizen itu menuduh wanita
tersebut hanya mereka-reka cerita untuk dijadikan content. Namun, wanita tersebut menafikan tuduhan tidak berasas
itu.
“Berhenti mencari perhatian orang untuk content murahan anda! Saya tahu mereka (jurugambar haram) di sana tidak akan pernah mengenakan bayaran semahal itu. Paling banyakpun mereka ambil RM50 sahaja dan itu bergantung kepada kehendak pelanggan atau tidak,” jelas netizen tersebut.
Menurut Myeye, tiada kepentingan untuk jadikan pengalaman buruknya itu satu content. Katanya lagi, dia datang ke Malaysia untuk melancong bukannya untuk buat content.

Nampak gayanya pihak bertanggungjawab kena cari formula berkesan untuk membanteras aktiviti tidak sihat ini agar lenyap buat selama-lamanya.
Bukan apa, sekiranya masih ada, dibimbangi satu hari nanti ramai pelancong takut datang ke Malaysia terutama Kuala Lumpur termasuk sempena TMM 2026.
KLCC adalah bangunan ikonik yang terkenal di seluruh dunia. Sayang sekali kalau ia dicemari oleh jurugambar-jurugambar haram yang terus bermaharajalela. - KitaReporters
