
Proses penyembelihan dan melapah dilakukan oleh penduduk kampung bersama sukarelawan Misi Amal.
"Hati kami tersentuh mendapat tahu penduduk di kampung ini sudah lebih tujuh tahun tidak pernah meraikan majlis korban di masjid mereka.
"Semasa program korban di Tapah pada 2024, kami membawa baki 30 pek daging korban ke kampung itu tapi ramai yang tidak dapat kerana jumlah terhad, justeru ada mencadangkan kami mengadakan aktiviti korban di sini Aidiladha (2025) ini.
"Selepas mendapat pengesahan bahawa tiada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengadakan program korban di kampung itu, kami bersetuju mengadakan aktiviti itu di sini," kata Biro Penggerak Pertubuhan Amal dan Kebajikan Insaniah Selangor (Misi Amal), Ustazah Norhayati Sulaiman.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis korban dan gotong royong menyembelih, melapah, memotong, membungkus dan mengagih-agihkan seekor lembu dan kerbau di Masjid Kampung Air Mati, Bota Kiri, Perak.

Ustazah Norhayati Sulaiman
Selepas itu, sukarelawan Misi Amal dan penduduk kampung bergotong royong atau rewang bagi memasak juadah dengan menu istimewa sup tulang bagi menjamu jemputan yang hadir terutama golongan asnaf dan ibu tunggal.
"Seramai 14 peserta Misi Amal mengambil bahagian dalam program kali ini dan daging lembu dan kerbau turut diagih-agihkan ke beberapa kampung berhampiran di Bota Kiri.
"Seramai 40 asnaf mendapat dua kilogram daging korban setiap seorang, manakala yang tidak dapat hadir kerana masalah kesihatan dan uzur, ketua kampung akan menghantar ke rumah mereka," katanya.
Selain daging korban termasuk tulang dan organ dalaman, MIsi Amal Selangor turut menyumbang sekampit beras, sepapan telur, cenderahati dan duit raya kepada golongan asnaf terbabit.

Sukarelawan dan penduduk kampung menyusun pek daging korban untuk diagihkan kepada golongan asnaf.
"Bagi petugas, memang kami tidak memberi upah tapi mendapat sebungkus daging korban setiap seorang sebagai menghargai penat lelah mereka yang sanggup hadir sejak awal pagi untuk menjalankan aktiviti menyembelih, melapah, memotong dan membungkus daging.
"Sejak awal pagi lagi, suasana di pekarangan Masjid Kampung Air Mati sudah dipenuhi penduduk kampung yang gembira meraikan program korban itu selepas sekian lama tidak diadakan di situ, bersarapan dengan pelbagai juadah seperti nasi lemak, bihun, bubur hitam, karipap dan teh tarik.
"Dari raut wajah, mereka amat gembira dengan kehadiran kami dan terubat kerinduan mereka untuk melihat suasana meriah korban dilaksanakan di tempat itu sempena Aidiladha ini," katanya.

Penduduk gembira kerana selepas tujuh tahun mereka dapat berkumpul untuk mengadakan program korban sempena Aidiladha.
Sementara itu, Ketua Kampung merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Air Mati, Khairuddin Husairi gembira kerana sukarelawan Misi Amal Selangor sanggup datang dari Bandar Baru Bangi semata-mata mahu menyantuni serta memberi sumbangan daging korban kepada penduduk kampung itu.
Beliau berkata, penduduk kampung itu amat mengalu-alukan kehadiran Misi Amal kerana sudah lama tiada sebarang aktiviti atau program korban di kampung itu.

Khairuddin Husairi
"Selain memberi sumbangan kepada asnaf, miskin tegar dan ibu tunggal, daging korban juga diagih-agih ke kampung berdekatan antaranya Kampung Tanjung Gelugor, Kampung Parit dan Kampung Sidingka.
"Lokasi Kampung Air Mati agak terpencil, penduduk pun tidak ramai dan sebahagian besar ialah golongan miskin, warga emas dan penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," katanya.
Katanya, jarak kampung itu dengan jalan besar pun jauh, tiada pengangkutan awam seperti bas, jadi penduduk terpaksa menggunakan basikal atau motosikal saja.

Sukarelawan Misi Amal gembira kerana dapat mengagihkan daging korban kepada golongan asnaf.
"Dulu, ada banyak dusun durian tapi penduduk terpaksa menebang untuk digantikan dengan tanaman kelapa sawit atau menanam padi kerana pokok-pokok durian sudah tua dan tiada hasil.
"Saya berharap lebih banyak NGO mengadakan program di kampung itu dan usah bertumpu di kawasan bandar saja, sekurang-kurangnya dengan adanya aktiviti di sini, penduduk tidak merasa mereka dipinggirkan," katanya.
Ditanya sejarah Kampung Air Mati, katanya ia dipercayai berasal daripada keadaan geografi kampung yang dikelilingi sungai, menyebabkan ia sukar dihubungi dan terputus hubungan dengan dunia luar suatu masa dahulu. Keadaan ini menyebabkan kampung tersebut dikenali sebagai "Air Mati" atau "Sedingka" dalam bahasa tempatan. - KitaReporters

Seramai 40 asnaf menerima daging korban selain sumbangan beras, telor dan duit raya.
