.
DEMI meringankan penderitaan rakyat Palestin khususnya di Gaza yang dihimpit peperangan dan penindasan berterusan rejim zionis Israel, Kumpulan Rangkaian Restoran D'Tandoor bersama Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR) melancarkan Tabung Kemanusiaan Gaza, program kerjasama jangka panjang bagi mengumpul dana RM1 juta.
Melalui pengumpulan dana itu, kedua-dua pihak akan menyalurkan bantuan makanan, ubat-ubatan dan bekerjasama dengan Dapur Ihsan bagi menyediakan makanan untuk penduduk Gaza dalam tempoh gencatan senjata.
Presiden MAHAR, Jismi Johari berkata, bagi memudahkan penyaluran bantuan makanan untuk misi kemanusiaan itu, pihaknya akan menggunakan teknologi retort yang menawarkan kelebihan bagi kemudahan logistik dan pengedaran.

Pendakwah bebas, Ustaz Mohamed Hanafiah Abdul Malek, pesakit kanser limfoma sejak Januari 2017 memberi tazkirah Ramadan sebelum majlis berbuka puasa.
"Teknologi retort adalah salah satu cara untuk mengawet makanan dengan cara yang selamat. Makanan yang dimasak sendiri tanpa bahan pengawet mampu bertahan sehingga tiga tahun dengan menggunakan pouch khas dan disterilkan pada suhu yang tinggi bagi mematikan segala jenis bakteria di dalam makanan.
"Teknologi ini sekali gus membolehkan bekalan sedia dimakan dan dapat dihantar kepada penduduk Gaza yang amat terdesak dan memerlukan makanan tetap segar dan berkhasiat.
"Inovasi ini membolehkan bantuan kemanusiaan dihantar ke kawasan yang lebih luas dan mencabar dengan lebih efisien, memberikan sokongan kepada mereka yang memerlukan di seluruh dunia," katanya pada Majlis Iftar bersama 170 golongan miskin, pesakit kanser dan kronik selain golongan orang kelainan upaya (OKU).

Nurul Izzah Anwar dan Jismi Johari (dua dari kanan) bertanyakan sesuatu kepada salah seorang pesakit kanser di Majlis Iftar di Restoran D’Tandoor Ayer@8, Putrajaya.
Turut hadir, Penasihat MAHAR, Nurul Izzah Anwar; Pengerusi Kumpulan D'Tandoor, Datuk Seri Abdul Malik Abdullah; Pengerusi Yayasan Kaseh Kanser dan Kronik (YKKK), Datuk Dr. Imi SairiAb Hadi; Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak; Pengerusi Rakyat Management Services, Mohd Jafri Kudus; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Prihatin, Datuk Mohd Aizuddin Mohd Ghazali; dan Presiden Perdasama, Azamanizam Baharon.
Majlis anjuran Restoran D'Tandoor Ayer@8, Putrajaya ini turut disertai Persatuan Orang Kurang Upaya Putrajaya (PROCJAYA).

Abdul Malik Abdullah (belakang, kiri) menyerahkan Tabung Kemanusiaan Gaza kepada Jismi Johari sebagai simbolik kepada kerjasama di antara D'Tandoor dan MAHAR bagi membantu kutipan dana bagi menyalurkan makanan dan ubat-ubatan kepada penduduk Gaza.
Bagi Nurul Izzah, majlis itu bagi berkongsi rezeki serta semangat kepada mereka yang sedang berjuang melawan penyakit dan cabaran hidup serta menyemai semangat kebersamaan sepanjang Ramadan.
Beliau berkata, masyarakat Malaysia Madani bukan sekadar pembangunan fizikal, tetapi bagaimana kita melayan mereka yang kurang bernasib baik.
“Justeru, kita perlu hidup dengan penuh empati, beringat-ingat, dan saling membantu agar setiap insan mendapat tempat yang sewajarnya dalam masyarakat.
“Selain berbuka puasa bersama, acara ini turut menekankan pentingnya sokongan berterusan kepada mereka yang memerlukan.
“Syabas atas kerjasama di antara D’Tandoor, MAHAR dan YKKK bagi memastikan bantuan yang lebih menyeluruh dapat diberikan kepada pesakit kanser dan golongan miskin secara berterusan," katanya lagi.

Nurul Izzah menyerahkan sumbangan duit raya kepada seorang penerima OKU sempena Majlis Iftar di Restoran D’Tandoor Ayer@8, Putrajaya.
Sementara itu, Abdul Malik berbesar hati dapat bekerjasama dengan MAHAR dan YKKK untuk menganjurkan majlis Iftar ini dan berharap melalui inisiatif itu, ia membawa sedikit kegembiraan dan harapan kepada mereka yang menghadapi cabaran hidup, terutama pesakit kanser, golongan miskin serta rakan-rakan daripada persatuan OKU. - KitaReporters

Nurul Izzah beramah mesra bersama tetamu yang terdiri daripada pesakit kanser dan OKU yang hadir ke majlis berbuka puasa anjuran bersama Yayasan Kaseh Kanser dan Kronik (YKKK) dan D’Tandoor Ayer@8, Putrajaya.
