Insan & Komuniti 11 Apr, 2025

Lidah Pengarang| Video| Iktibar kes Abang Belon! Tak perlu ungkit rekod silam! Beri peluang kedua!

@rodly fadly
Memulakan kerjaya kewartawanan bersama Mingguan Perdana dan Harian Nasional pada 1983. Pada 1984-1991 menyertai Kumpulan Karangkraf sebagai Pengarang Arena Bolasepak dan Mingguan Sukan sebelum ke Berita Harian (1991-1997). Pemenang Anugerah Penulis Sukan Terbaik Malaysia 1986. Kini penulis bebas.

Share this

.


TANGKAP layar kekecohan yang berlaku membabitkan Muhammad Zaimuddin Azlan dengan anggota penguat kuasa DBKL.


“ADAKAH kerana saya pernah ada kes, maka saya tidak boleh mencari rezeki halal? Saya bukan menjual dadah tetapi berniaga belon untuk menyara hidup. Kalau saya bekas penjenayah sekalipun, itu bukan lesen untuk sesiapa memperlakukan diri secara zalim.

“Kalau saya miskin, susah dan ada kes lampau, adakah penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) boleh layan saya seperti sampah? Adakah saya tidak berhak untuk melawan dan mempertahan diri?”

Demikian ungkap Muhammad Zaimuddin Azlan, 28, atau lebih dikenali sebagai 'Abang Belon' dalam satu sidang akhbar selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur pada Ahad, 6 Mei, 2025 lalu.

Sidang media itu dilakukan oleh Zaimuddin ekoran insiden pergelutan yang berlaku antara dirinya dengan beberapa orang anggota penguat kuasa DBKL ketika dia berniaga belon di depan pusat beli-belah Sogo, Jalan Tunku Abdul Rahman pada 28 Mac, 2025 lalu.

Penulis mengulang tonton video sidang akhbar itu berkali-kali, menghayati patah-patah perkataan yang keluar daripada mulut pemuda berkenaan. Simpati, itu yang penulis rasakan ketika itu.


SIDANG media Zaimuddin selepas membuat laporan polis.


Bukan niat penulis membela Abang Belon kerana tiada hak untuk berbuat begitu selagi siasatan polis terhadap kes berkenaan belum selesai. Soal siapa salah, siapa pada pihak yang benar masih tergantung kerana kita yang tidak berada di lokasi kejadian tidak boleh membuat judgment hanya berdasarkan video yang tular.

Tapi, apa yang menjentik hati penulis adalah rintihan Zaimuddin apabila diungkit kisah hitam silamnya ekoran kejadian itu. Sebelum sidang media itu, sumber melaporkan bahawa Abang Belon mempunyai 13 rekod jenayah lampau termasuk berkaitan dadah.

Ia segera mengingatkan penulis pada kisah yang berlaku ke atas seorang rakan. Menjelang Ramadan lalu, kawan penulis itu tiba-tiba diberhentikan kerja 24 jam oleh majikannya apabila syarikat mengetahui dia mempunyai rekod jenayah lampau.

Memang selama ini, dia cuba menyembunyikan kisah silamnya daripada pengetahuan orang lain termasuk majikannya. Bukan niat hendak menipu tapi dia yakin, jika berterus terang sudah pasti dari awal syarikat berkenaan akan menolak permohonannya kerana dia sudah mengalami situasi itu sebelum ini.

Malah, dalam borang permohonan kerja, ada ruang yang perlu dijawab iaitu ‘Adakah anda mempunyai rekod jenayah?’ Jika jawapannya ‘Ya’, si pemohon sudah sedia maklum status permohonannya.


ZAIMUDDIN gagal mengawal tangisan semasa sidang media. - Kredit foto: MalaysiaGazette


Bagi kawan penulis itu, dia ingin melupakan kisah hitam yang pernah dilaluinya dan mahu membina hidup baru, apatah sepanjang bekerja di syarikat itu komitmen kerjanya tidak pernah dipertikai oleh majikan malah sering dipuji serta mendapat kepercayaan hingga dihantar mewakili syarikat ke seminar antarabangsa di luar negara.

Tapi, tiba-tiba beberapa hari menjelang Ramadan lalu (2025), dia diberhentikan kerja apabila syarikat mengetahui dia pernah dijatuhkan hukuman penjara dan denda kerana dituduh mencuri wang RM800 dalam premis syarikat tempat dia bekerja sebelumnya.

Baru dia menyedari bahawa orang yang ada rekod silam, walaupun kesalahannya terlalu kecil dan sudah dihukum tapi rekod itu tidak mudah dipadam.

Statusnya sebagai bekas banduan, walaupun hanya dipenjara sehari tetap melekat pada dirinya sehingga menimbulkan stigma kepada masyarakat yang masih tidak dapat memaafkannya serta memberinya peluang kedua.

Selama ini, dia menganggap apa yang ditonton menerusi drama televisyen mengenai kesukaran hidup ditempuhi seseorang yang bergelar bekas banduan hanyalah ‘drama’ tapi rupa-rupanya itu adalah realiti!


LAPORAN media yang mendakwa Zaimuddin mempunyai 13 rekod jenayah.


Lebih membuatkan kawan penulis itu kesal, apabila dia ‘terpaksa’ mengaku salah atas pertuduhan yang dikenakan ke atasnya walaupun hakikatnya dia tidak melakukan kesalahan itu. 

Pada awal pertuduhan, dia tidak mengaku salah malah bertekad mahu membersihkan namanya menerusi proses undang-undang di mahkamah.

Untuk tujuan itu dia melantik seorang peguam berpengalaman untuk mewakili dirinya walaupun sedar ia memerlukan kos yang tinggi berbanding jika dia menggunakan khidmat peguam yang disediakan oleh Biro Guaman Negara.

Tapi, akhirnya dia akur, selepas dua tahun kes berjalan dan sudah lebih RM10,000 dia menghabiskan wang untuk membayar khidmat guaman, kawan penulis membuat satu keputusan drastik untuk mengaku salah walaupun dinasihatkan peguam agar tidak berbuat begitu.

Baginya sangat tidak berbaloi untuk mengeluarkan wang sebanyak itu hanya untuk melawan kes RM800 yang dihadapi. Dia tahu, semakin lama kes itu berjalan, semakin banyak duit perlu dikeluarkan untuk membayar kos guaman.

Lagipun, sejak berhadapan dengan kes berkenaan, hidupnya tidak tenteram. Justeru, dia mahu menyelesaikannya dengan segera. Jadi, jalan keluarnya adalah dengan mengaku salah.

Kawan penulis itu fikir dengan mengaku salah, kes itu dapat diselesaikan dan dia boleh move on dalam kehidupannya. Dia sudah reda untuk menerima apa saja bentuk hukuman.


GAMBAR hiasan.... Bekas banduan perlu diberi peluang kedua.


Akhirnya, atas pengakuan bersalah itu, kawan penulis dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM3,000. Walaupun ‘kalah’ dalam perjuangan menegakkan kebenaran namun dia berasa lega kerana semuanya sudah berakhir dan dia boleh meneruskan kehidupannya dengan aman.

Tapi, ternyata dia tersilap membuat pertimbangan, dengan pengakuan bersalah itu dan dijatuhkan hukuman, dia kini berstatus bekas panduan dan mempunyai rekod jenayah!

Penulis benar-benar bersimpati dengan sahabat penulis itu. Walaupun selepas Aidilfitri baru-baru ini dia sudah bekerja namun kebimbangan sentiasa bersarang di hatinya. Apakah dia akan diberhentikan lagi jika majikan baharunya tahu dia ada rekod lampau?

Bagi penulis, hal sebegini tidak sepatutnya berlaku. Ketika kita sering menggalakkan masyarakat agar jangan terus menghukum mereka yang pernah membuat kesalahan, menerima mereka kembali dengan tangan terbuka dan memberi mereka peluang kedua, hakikatnya ia hanyanya retorik.

Ternyata apa yang dipaparkan menerusi drama Melayu adalah realiti yang berlaku dalam kehidupan sebenar. Stigma masyarakat bahawa ‘anjing yang dah biasa memakan bangkai, tak dapat makan, dapat cium pun jadi’ sukar untuk dikikis.


LAPORAN Malaysiakini.


Tidak mustahil apa yang berlaku ke atas sahabat penulis juga berlaku ke atas bekas pesalah lain. Justeru, jangan terkejut jika ada antara mereka memilih untuk kembali ke ‘lorong hitam’ dalam kehidupan kerana sikap kita sendiri yang sukar memaafkan mereka dan tidak memberi peluang untuk mereka berubah!

Berlaku adillah kepada mereka kerana mereka juga mahu meneruskan kehidupan. Jika kita terus-terusan ‘menghukum’ mereka atas kesalahan silam, di mana lagikah tempat untuk mereka mengadu?

Abang Belon mungkin bersalah kerana berniaga tanpa lesen tapi mengungkit kisah hitam silamnya untuk menjustifikasikan layanan ke atasnya bukan jalan yang kita mahukan.

Sekali lagi, bukan niat penulis mahu membela Abang Belon. Jika dia dibuktikan membuat kesalahan, maka dia perlu menerima hukuman. Tapi, pada masa sama, marilah selepas itu mereka yang berautoriti membantunya untuk meneruskan kehidupan berlandaskan undang-undang.

Janganlah rekod silam Abang Belon dan mereka yang sepertinya dijadikan ‘tiket’ bagi menidakkan hak mereka untuk menjalani kehidupan seperti orang lain. 

Jika kita benar-benar menghayati ungkapan ‘beri peluang kedua’ maka berilah mereka peluang itu.

“Adakah kerana saya pernah ada kes, maka saya tidak boleh mencari rezeki halal?” Pertanyaan Abang Belon itu perlu kita fikirkan bersama. - KitaReporters

 

 

14
8
0
13
0
You will be interested