Insan & Komuniti 17 Mar, 2025

Pelajar bukan Islam sertai program bubur lambuk! Belajar sikap prihatin! Bawa semangat perpaduan!

@dsa wahab
Memulakan kerjaya sebagai wartawan sepenuh masa di bahagian majalah Karangkraf, kemudian ke akhbar cabaran Sinar Harian sebelum menjadi wartawan sambilan di Utusan Malaysia. Apapun sekali saya menulis, selamanya tetap menulis...

Share this


Bubur lambuk, antara juadah wajib pada bulan Ramadan.


Program pengagihan bubur lambuk antara aktiviti sinonim setiap kali menjelang Ramadan dan menjadi amalan oleh pelbagai pihak sama ada pada peringkat syarikat mahupun individu. 

Bagaimanapun ia menjadi lebih menarik apabila terdapat pembabitan masyarakat bukan Islam dalam aktiviti tersebut, sekali gus menunjukkan petanda semangat perpaduan dan kebersamaan masih kukuh di negara ini. 

Menariknya perkongsian KitaReporters kali ini, menunjukkan masyarakat bukan Islam sudah mula terbuka dan semakin terpanggil untuk turut serta merasai kemeriahan Ramadan.


Chan Xua Send gembira dapat turut serta dalam pengagihan bubur lambuk.


Di Kuantan, Pahang, pelajar bukan Islam daripada Kolej Universiti Yayasan Pahang (UCYP)  menyertai aktiviti edaran juadah iftar anjuran Yayasan Pahang (YP) di padang Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) pada 14 Mac 2025. 

Pertama kali menyertai program pengagihan bubur lambuk yang merupakan antara juadah wajib berbuka puasa, seorang pelajar Chan Xhua Send, 21, begitu teruja untuk melakukannya.

Menurutnya, pengalaman baharu itu bukan sahaja memberikannya kegembiraan malahan kepuasan serta pengalaman manis yang tidak dapat dilupakan.

“Saya menjadi semakin teruja sepanjang program berlangsung apabila melihat senyuman terukir dan ucapan terima kasih setiap kali menyerahkan bubur lambuk kepada penerima yang seakan tidak sabar merasai juadah berbuka itu.

“Saya tertarik dengan konsep ini dan kerana itu ingin turut serta dalam program begini. Di samping itu, dapat mengajar saya bersikap lebih prihatin kepada orang lain.

"Program ini boleh menyatupadukan semua kaum dengan lebih mudah pada tempat dan waktu yang sama,” katanya.



Dalam pada itu, ternyata melalui kegiatan amal ini berjaya mengeratkan silaturrahim, selain mengekalkan tradisi bersedekah dalam kalangan masyarakat tempatan.

Bubur lambuk yang siap dimasak itu diagihkan kepada orang ramai yang ada di sekitar sebagai juadah berbuka puasa. Sebanyak 1,200 pek bubur lambuk disediakan YP dengan kerjasama Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, YP Plantation Holdings dan KYP Education Sdn. Bhd.

Program ini mendapat sambutan yang amat baik oleh warga YP secara keseluruhannya sekali gus mencerminkan kesungguhan komuniti YP dalam menghidupkan amalan kebajikan.


Yusri Sukri pelajar yang datang dari Sabah, tidak mahu ketinggalan dengan aktiviti kemsyarakatan ini.


Sementara itu, seorang lagi pelajar ditemui, Yusri Sukri, 24, berasal dari Sabah berkata, tradisi edaran bubur lambuk ini merupakan tradisi umat Islam yang patut dicontohi banyak pihak. 

Katanya, dapat dilihat pemberian bubur lambuk tidak hanya diberikan kepada orang Islam sahaja, malah bangsa lain turut mendapat manfaat yang sama.

"Dari sini kita boleh melihat pelbagai kaum dan bangsa serta agama boleh bersama-sama memeriahkan waktu berbuka puasa nanti. Pengambilan bubur lambuk itu juga sebagai tanda berada di dalam bulan puasa yang indah ini.

“Sepanjang program berlangsung ramai golongan yang betul-betul memerlukan datang hingga membuatkan saya rasa bangga kerana sedikit sebanyak dapat juga menyantuni pelbagai lapisan masyarakat terutama kurang berkemampuan,” katanya.


Pengagihan hidangan bubur lambuk begitu sinonim pada bulan Ramadan.


Inisiatif seperti ini diharapkan dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai salah satu usaha menyuburkan budaya kebersamaan dan memberi manfaat kepada mereka yang berhak.

Secara tidak langsung, melaluinya dapat menonjolkan mesej kasih sayang pada bulan yang mulia ini. - KitaReporters

 

9
15
0
8
0
You will be interested