Pengumuman mengenai persetujuan Israel dan Hamas terhadap fasa pertama perjanjian gencatan senjata merupakan satu langkah penting ke arah keamanan.
Namun, keputusan itu dibuat terlalu lewat selepas dua tahun kekejaman tanpa henti yang telah dinilai dan disahkan oleh panel pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai tindakan genosid terhadap rakyat Palestin di Gaza.
Walau bagaimanapun, cabaran sebenar terletak pada pelaksanaannya selepas ini. Dunia tidak boleh lagi menyaksikan harapan palsu dan janji kosong, kata Islamic Relief Malaysia, dalam satu kenyataan pada 9 Oktober 2025.
Para pemimpin dunia mesti memastikan serangan sistematik Israel, pengusiran dan kebuluran terhadap orang awam berakhirnya sepenuhnya, serta memastikan semua sekatan terhadap akses bantuan kemanusiaan segera dihentikan supaya bantuan penting dapat sampai kepada rakyat Gaza.
Sebarang perjanjian yang dicapai sebelum ini tidak boleh lagi mengukuhkan kawalan Israel terhadap Gaza.
Keamanan yang berkekalan hanya dapat dicapai apabila wujud keadilan dan akauntabiliti, tiada lagi kekebalan bagi pelaku jenayah, serta penghormatan sepenuhnya terhadap undang-undang antarabangsa.
Keamanan hanya boleh diwujudkan apabila keselamatan, hak dan maruah semua pihak dihormati dan ini hanya akan berlaku apabila penjajahan haram Israel di bumi Palestin berakhir.
Keperluan paling mendesak ketika ini ialah memastikan bantuan kemanusiaan segera disalurkan ke Gaza.
Tiada masa untuk disia-siakan kerana setiap hari kanak-kanak sedang mati kebuluran akibat bencana kelaparan yang dicipta oleh Israel dan sekutu-sekutunya, manakala rumah, hospital, sekolah dan perkhidmatan penting lain kini hanya tinggal runtuhan, menurut Islamic Relief Malaysia lagi.

Pengumuman ini semata-mata tidak akan menghentikan kebuluran tersebut. Islamic Relief bersedia untuk memperluas operasi bantuan kecemasan dan membantu usaha pemulihan sebaik sahaja sekatan terhadap akses kemanusiaan dihentikan.
Masyarakat antarabangsa mesti memastikan komitmen baharu ini dipatuhi dan pihak-pihak yang melanggar perjanjian perlu dipertanggungjawabkan.
Keadaan seperti gencatan senjata yang dicabuli sebelum ini iaitu apabila Israel menyambung semula pengeboman dan menutup semua bantuan kemanusiaan selepas hanya beberapa minggu tidak boleh dibiarkan berulang.
Israel juga tidak boleh dibenarkan menggunakan peluang ini untuk meningkatkan serangan dan pelanggaran hak rakyat Palestin di Tebing Barat.
Dunia mesti bertindak sekarang untuk memastikan detik ini tidak disia-siakan dan membuka jalan ke arah keamanan yang berkekalan. - KitaReporters/Kenyataan Media