Insan & Komuniti 13 Nov, 2025

Fenomena Cikgu E! Dia sudah tiada! Tapi semangatnya terus hidup! Pesanan jadi kongsian, inspirasi!

@rodly fadly
Memulakan kerjaya kewartawanan bersama Mingguan Perdana dan Harian Nasional pada 1983. Pada 1984-1991 menyertai Kumpulan Karangkraf sebagai Pengarang Arena Bolasepak dan Mingguan Sukan sebelum ke Berita Harian (1991-1997). Pemenang Anugerah Penulis Sukan Terbaik Malaysia 1986. Kini penulis bebas.

Share this

 

SEJAK Selasa, 11 November, 2025, pelbagai media sosial berkongsi kisah seorang lelaki bernama Nassry Mardee Ismail atau lebih dikenali sebagai Cikgu E sehingga mencetuskan satu fenomena!


ALLAHYARHAM NASSRY MARDEE ISMAIL


Penulis yang 'ketinggalan kereta api' terpinga-pinga seketika, tertanya-tanya siapakah Cikgu E ini sehingga ramai orang memperkata mengenai dirinya?

Apa keistimewaan insan ini sehingga namanya menjadi sebutan serta trending dan ramai orang membicarakan perihal dirinya?

Tidak mahu ketinggalan, penulis mula menyelusuri kisah Cikgu E daripada pelbagai sumber, juga menjengah dalam ruang muka buku peribadinya untuk mengenali lebih dekat siapa lelaki ini.

Barulah penulis kenal siapa Cikgu E dan tahu kisah di sebalik fenomena yang tercetus. 

Beliau rupa-rupanya seorang 'cancer survivor' yang berjuang melawan tiga kanser serentak -- kanser buah pinggang, kanser kelenjar (prostat) dan kanser paru-paru tahap empat sejak Mac, 2024.



Beliau meninggal dunia pada petang Selasa, 11 November, 2025. Jenazah disemadikan di Tanah Perkuburan Meru Raya, Ipoh, Perak pada hari sama.

Kematiannya bukan saja meninggalkan kesan kepada isteri dan lima anaknya, keluarga dan sahabat handai tapi kepada rakyat Malaysia yang mengikuti perkembangan dirinya.

Ramai yang merasai kehilangannya sama ada yang mengenali beliau secara peribadi atau sekadar mengikuti kisahnya menerusi media sosial.

Cikgu E menjadi begitu istimewa kerana ketabahan beliau berdepan dengan penyakit kanser dihadapinya. Beliau tidak pernah mengeluh atau meratap akan ujian yang menimpa dirinya malah sentiasa bersikap positif dan bersemangat.

Menerusi video-video yang dikongsi serta ungkapan-ungkapan yang dituturkannya, Cikgu E sentiasa kelihatan ceria dengan senyuman dan kata-kata positif seolah-olah tiada apa yang berlaku ke atas dirinya. 


ALLAHYARHAM Cikgu E bersama isteri dan anak-anaknya. - Kredit foto: FB Nassry Mardee Ismail IV.


Antara ungkapannya yang meninggalkan kesan dan dikongsi oleh ramai pengguna media sosial adalah seperti berikut:

“Sahabat, kalau hari ini kamu masih boleh bernafas tanpa bantuan, masih boleh berdiri solat dengan tenang, masih boleh berjalan ke bilik air tanpa rasa sesak, masih boleh bekerja, berlari dan ketawa, itu bukan perkara biasa.

“Itu nikmat luar biasa!

“Jangan tunggu Allah ambil nikmat baru sedar ia berharga. Kerana hari ini saya sedang belajar erti syukur yang sebenar, bahawa dapat bernafas pun sudah satu bentuk kemewahan yang sangat besar.

“Semoga kisah kecil saya ini menyedarkan kita semua bahawa hidup bukan tentang apa yang hilang tapi tentang apa yang masih Allah tinggalkan untuk kita syukuri,” tulis Cikgu E.


 

CIKGU E bersama anak sulungnya, Hakeem. - Kredit foto: FB Nassry Mardee Ismail IV.


Sehingga ke penghujung hayatnya, beliau tidak jemu menitipkan ingatan dan pesanan termasuk pesanan terakhir kepada isteri dan anak-anaknya yang meruntun hati kepada setiap yang membacanya.

“Andai satu hari nanti saya sudah tiada, ingatlah bahawa setiap nafas terakhir saya dulu adalah kerana kasih dan cinta saya pada kamu semua.

'Buat isteri tercinta, terima kasih kerana menjadi tiang doa dan kekuatan saya sejak dari awal perjalanan ini. Awak bukan sekadar isteri, tapi rahmat paling indah yang Allah pinjamkan. 

"Teruslah hidup dengan tenang, jangan sesekali bersedih lama-lama. Saya mahu awak bahagia, sebab bahagia awak itu tanda saya tenang di sana.

"Anak sulung, Hakeem, awak yang paling awal faham erti pengorbanan. Abah bangga dengan kematangan dan ketabahan awak menjaga keluarga bila abah dah tak mampu. Teruskan jadi pelindung untuk mak dan adik-adik, ya.

 "Anak kedua, Hana, kelembutan hati awak sentiasa menyejukkan suasana. Jangan pendam perasaan bila rindu abah nanti, luahkan dalam doa. Abah sentiasa dengar, walau tak nampak.



"Anak ketiga, Aleesya, senyuman awak ubat untuk semua orang. Abah nak awak terus jadi gadis yang kuat, yang sentiasa mengingatkan orang tentang sabar dan syukur. 

"Anak keempat, Qistina, awak penghibur keluarga. Abah suka tengok cara awak buat semua orang ketawa walau dalam duka. Jangan berhenti menyebar keceriaan tu, sebab dunia ni perlukan hati seindah hati awak.

"Dan anak bongsu, Hafeez, anak kecil abah yang ceria, jangan risau bila abah dah tak ada. Doa awak yang tulus akan terus sampai pada abah. Abah nak awak jadi anak soleh yang selalu doakan mak dan abang-abang serta kakak-kakak.

"Abah sayang kamu semua, sampai ke syurga, insya-Allah. Kalau rindu, pandang langit dan senyum... sebab di situ juga abah sedang mendoakan kamu.”


RIBUAN orang menunaikan solat jenazah Cikgu E. - Kredit foto: FB Mohd Fadli Salleh.


Selain memiliki jiwa yang kental, Cikgu E juga disenangi kerana sifat peramah dan pemurah. Walaupun amalannya yang suka bersedekah tidak pernah dipamerkan namun segala kebaikan itu didedahkan rakan-rakan rapat beliau selepas kematiannya.

Pengasas Madrasah Ashabus Suffah, Muhammad James Baven adalah saksi hidup atas kebaikan serta amal jariah dilakukan oleh Cikgu E.

"Amalan terbesar Cikgu E ialah dia suka tolong orang. Dari awal penubuhan madrasah, dia yang paling banyak bantu kami.

"Sampai masa dia buka satu kedai serbaneka di Manjoi ketika pandemik Covid-19 tahun 2020, dia suruh pelajar madrasah kami datang ambil barang apa sahaja tanpa perlu bayar,” katanya.

Menurutnya, Cikgu E sentiasa memastikan pelajar madrasah yang terdiri daripada anak yatim dan asnaf tidak terputus bekalan keperluan asas.

"Setiap dua minggu dia akan tanya saya, ‘Ustaz, barang anak-anak dah habis ke belum? Kalau habis datang ambil lagi’," kata Muhammad.

Justeru beliau yakin amalan sedekah oleh Cikgu E menjadi asbab ramai orang hadir semasa sembahayang jenazah serta pengkebumiannya.

"Kematian yang dicemburui ini bukan kebetulan. Saya yakin sedekahnya yang luar biasa itulah yang mengangkat darjatnya di sisi Allah.

"Sepanjang 20 tahun saya tinggal di Meru Raya, tak pernah saya lihat orang seramai itu datang ziarah jenazah. Ini pasti kerana amalan istimewa beliau,” ujar Muhammad lagi.


Kredit foto: FB Mohd Fadli Salleh


Suasana semasa solat jenazah Cikgu E itu turut digambarkan oleh rakan baiknya, Mohd Fadli Salleh menerusi hantaran dalam Facebooknya.

“E, hang tau dak, orang mai solat jenazah hang melimpah sampai tangga. Orang iring hang pi kubur pun bersesak-sesak nak tengok hang kali terakhir.”

“Hang ni bukan raja, bukan YB, bukan artis, tapi seluruh Malaysia menulis tentang hang sebab semangat dan reda hang terhadap ujian Allah.”

“Hang mengajar orang bukan hanya ketika hidup, tapi sampai masa hang meninggal pun masih memberi inspirasi. Hang betul-betul cikgu lah, E," kata Mohd Fadli.


CIKGU E selamat disemadikan.


Allahyarham Nassry Mardee, 45, adalah bekas guru yang memiliki ijazah Sains Sukan dalam pengkhususan Kejurulatihan dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan juga memiliki Diploma Elektronik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Beliau meninggalkan seorang isteri dan lima anak berusia antara lapan tahun hingga 19 tahun.

Semoga roh Cikgu E dicucuri Rahmat. Al-Fatihah. - KitaReporter

 

 

18
13
0
18
0
You will be interested