Insan & Komuniti 22 Nov, 2025

Di sebalik kesukaran ada sinaran! Hilang kerja masa PKP! Kini Rozaimi peraih minyak masak terpakai!

@hariyati ariffin
Mantan Pensyarah Kanan , dalam bidang Kewartawanan, Penyiaran dan Komunikasi di UiTM Shah Alam.

Share this

Siapa sangka, dalam kesukaran hidup ada peluang rezeki yang Allah beri pada seseorang itu. 

Umum pasti tahu, pada masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dulu ramai yang hilang pekerjaan, ramai yang jatuh terduduk bila bisnes mereka terpaksa ditutup dan tak kurang juga yang sakit mental dan ada yang bunuh diri gara-gara kepayahan dan kegetiran hiduk masa PKP dulu. 



Namun adakalanya dalam kesukaran, Allah beri peluang untuk mendapat pendapatan dengan cara yang tidak disangka-sangka. 

Salah seorangnya ialah Rozaimi Salleh, 50 tahun, yang berasal dari Pahang tapi kini menetap di Subang Jaya. 

Rozaini adalah lelaki biasa yang hidupnya berubah sekelip mata apabila kilang tempat dia bekerja ditutup kerana PKP.


Rozaimi Salleh (kiri) memberi penerangan kepada seorang pelanggannya mengenai kepentingan kitar semula minyak dan bahan-bahan lain dalam rumah.


"Masa PKP dulu office tempat saya kerja tutup, saya terus hilang pekerjaan, dan punca pendapatan. Hidup masa tu memang sukar sebagai suami dan bapa untuk saya menyara keluarga ” katanya mengimbau hari yang mematahkan semangat ramai lelaki seusianya. 

Tapi memang kita tidak pernah menjangka bahawa di sebalik kesukaran hidup itu ada sinar yang Allah beri pada kita. 

Memang hidup ni  kadang-kadang pelik, dan sukar untuk kita ramalkan. Tiada siapa sangka kejatuhan dan kesengsaraan adakalanya membuka pintu rezeki baharu buat seseorang. A blessing in disguise, kata pepatah Inggeris.

Menurut Rozaimi daripada hilang kerja, beliau dapat peluang yang di luar jangkaan.  Dalam kekalutan mencari nafkah, seorang kawan lama menghulur bantuan dan mengajaknya menyertai kilang beli minyak masak terpakai. 

Tanpa modal dan tanpa pengalaman, Rozaimi nekad menyahut pelawaan rakannya itu. 

Dengan sokongan isterinya, dia mula turun padang, berjalan dari komuniti ke komuniti mengumpul minyak masak terpakai. 


Rozaimi dan isterinya Shima menimbang minyak masak terpakai yang dijual oleh penduduk Seksyen 7 Shah Alam kepadanya,


Apa yang bermula sebagai “part-time” berubah menjadi misi sosial selain menyuntik kesedaran tentang kitar semula, membantu keluarga yang perlukan pendapatan, dan pada masa sama mencari nafkah untuk keluarganya. 

Baru dia sedar minyak masak terpakai yang orang buang, rupa-rupanya rezeki untuk ramai dan dirinya.

Pengalaman Rozaimi sewaktu menjadi peraih minyak masak masa PKP ialah, betapa manusia ini akan berusaha dengan lebih gigih dalam keadaan terdesak. 

Dengan kesukaran hidup masa itu, ada sanggup datang dari jauh naik motor saja untuk menjual minyak terpakai. Mereka dapat RM20, RM30 pun dah cukup besar maknanya. 

“Ramai susah masa tu… mereka betul-betul perlukan duit. Saya pun bersyukur dapat bantu setakat yang termampu,” katanya. 



Dia  juga masih ingat wajah anak-anak di PPR yang turun membawa botol minyak terpakai yang emak mereka kumpulkan dan beratur sementara menunggu minyak ditimbang untuk mendapat beberapa ringgit. 

“Dapat duit sikit pun dorang happy sangat, mereka sangat menghargai ” katanya sambil tersenyum.  

Baginya dengan menjadi peraih minyak masak ini, beliau dapat melihat pelbagai karenah dan perangai manusia.  

Beliau pernah jumpa pelanggan yang cuba menipu dengan mencampurkan air dalam minyak. Pernah juga berurusan dengan “VVIP” yang mahu servis door-to-door.  

Selain itu, beliau juga perlu bersaing dengan syarikat-syarikat besar yang menawarkan harga tinggi.  

Cabaran dan pengalaman ini mematangkan dirinya. Bagi Rozaimi, semua itu adalah pelajaran hidup yang sangat berharga baginya. 

“Masa saya kerja dalam pejabat tak banyak jumpa macam-macam karenah masyarakat. Tapi sekarang bila kerja dengan masyarakat saya jumpa semua jenis orang dari kategori B40 sampai orang kaya,” ceritanya. 

Semua ini menjadikan dirinya lebih banyak menghargai kehidupan yang Allah berikan kepadanya.



Menurut Rozaimi lagi, ramai yang tidak tahu bahawa minyak terpakai Malaysia, boleh dibuat bahan bakar kapal terbang di Singapura.

Katanya, minyak masak yang kita guna goreng pisang, ikan, keropok dan macam macam lagi apabila dikumpul diihantar ke kilang, kemudian ditapis.

Apabila lulus ujian makmal, minyak minyak itu boleh dieksport ke Singapura untuk jadi SAF (Sustainable Aviation Fuel) atau minyak kapal terbang! 

Sebab itu, kerja Rozaimi ada nilai lebih besar daripada sekadar membeli minyak, dia adalah sebahagian daripada rantaian tenaga dunia. 

Akhir kata beliau menasihatkan masyarakat tentang budaya kitar semula yang banyak manfaatnya yang ramai lupa dan tidak cakna.

“Saya harap masyarakat kita terus membudayakan kitar semula. Minyak masak yang dah digunakan jangan buang dalam sinki. Kumpul dan jual yang boleh jadi pendapatan atau tambah-tambah duit dapor. 

"Bukan minyak saja,  e-waste, sisa dapur, semua boleh jana pendapatan.”  pesannya lagi.



Inilah kisah kecil yang memberi makna besar dalam hidup kita.

Kisah seorang lelaki yang jatuh sewaktu negara lumpuh, hidup sukar dan penuh dugaan, tetapi beliau memilih untuk bangkit dengan cara yang paling rendah hati dan mulia, dengan mengutip minyak yang orang tak mahu. 

Dalam dunia yang penuh kemudahan masa kini, semua di hujung jari. 

Rozaimi mengingatkan kita bahawa rezeki selalu wujud, cuma kadang-kadang ia datang dalam bentuk yang tak glamor, tak cantik, tak bersinar. 

Ya! kadangkala ia sekadar minyak hitam yang kita sangka sampah, rupa-rupanya intan yang tak ternilai harganya. - KitaReporter


13
13
0
15
0
You will be interested