Insan & Komuniti 07 Oct, 2025

Taiping jadi bandar warisan, bandar pintar! Di bawah Pelan Tindakan Bandar Pintar Taiping 2030!

@ani bin awang
Bekas wartawan Utusan Malaysia dan mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam media. Pernah bertugas di Berita Harian, Harian Watan dan Bernama. Emel: [email protected]

Share this

Konsep Bandar Pintar atau Smart City menjadi pilihan dalam meningkatkan kualiti kesejahteraan hidup rakyat, kelestarian alam dan keterangkuman sosial khususnya di bandar-bandar.
 

Sandrea Ng Shy Ching (dua, kanan) dan Speaker DUN Perak Datuk Mohd Zahir Mohd Khalid (kanan) sednag mendengar penerangan mengenai Bandar Pintar Taiping 2030 di Taiping


Justeru itu, Majlis Perbandaran Taiping (MPT) melancarkan Pelan Tindakan Bandar Pintar 2030 dalam usaha merealisasikan menjadi bandar pintar yang progresif, inklusif dan mampan.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Perak, Sandrea Ng Shy Ching berkata, sebanyak enam permohonan baharu dibuat pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi pelaksanaan di bawah blueprint atau Pelan Tindakan Bandar Pintar Perak 2040.

Beliau berkata, enam PBT tersebut ialah MPT, Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK), Majlis Daerah Perak Tengah (MDPT), Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG), Majlis Daerah Kerian (MDK) dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

“MPT memiliki kekuatan tersendiri sebagai sebuah bandar warisan bersejarah dan destinasi pelancongan utama.

“Kita mahu Taiping melangkah seiring dengan bandar-bandar maju di dunia yang berjaya menggabungkan keuntukan identiti warisan dengan kecanggihan teknologi moden,” katanya pada Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Bandar Pintar Taiping 2030 di Taiping pada 2 Oktober 2025.


Sandrea Ng Shy Ching (dua, kanan) menekan papan pintar bagi merasmikan Pelan Tindakan Bandar Pintar Taiping 2030 di Taiping.

Sandrea berkata, setakat ini empat daripada 15 PBT di Perak telah menerima penarafan Bandar Pintar Tahap 1 (Early Adopter) iaitu Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI), Majlis Perbandaran Manjung (MPM) dan Majlis Daerah Kampar (MDKpr).

Menyentuh mengenai Pelan Tindakan Bandar Pintar Taiping, Sandrea berkata, pelancaran pelan ini bukan sahaja menjadi penanda aras baharu bagi Taiping, tetapi juga melakar satu langkah penting dalam merealisasikan aspirasi Kerajaan Negeri Perak untuk menjadikan negeri ini progresif, mampan, inklusif, serta berdaya saing.

Pada masa yang sama, katanya, pelan ini turut menyokong pelaksanaan Pelan Tindakan Bandar Pintar Perak 2040, iaitu dokumen induk kerajaan negeri yang digubal bagi memperkukuh pembangunan berteraskan teknologi digital, data raya, kelestarian alam sekitar, dan keterangkuman sosial.

Sandrea menjelaskan, aspirasi ini juga selari dengan kerangka nasional melalui Malaysia Smart City Framework (Rangka Kerja Bandar Pintar Malaysia atau MSCF), yang menekankan enam dimensi utama dalam pembangunan bandar pintar, sekali gus memastikan Taiping bergerak seiring dengan hala tuju negeri dan negara.

Menurut beliau, dengan adanya Pelan Tindakan Bandar Pintar Taiping 2030 ini, Taiping kini berada di landasan yang tepat untuk muncul sebagai bandar pintar mesra rakyat, bandar mampan, bandar berdaya saing dan bandar inklusif.

“Dokumen penting menjadi petunjuk untuk membangunkan bandar pintar yang melibatkan semua pihak termasuk pemegang taruh," jelasnya.


Sandrea Ng Shy Ching sedang mendengar penerangan mengenai Pelan Tindakan Bandar Pintar Taiping 2030  di Taiping. 


Sementara itu, Yang Dipertua MPT Khairul Amir Mohamad Zubir berkata, Pelan Tindakan Bandar Pintar Taiping 2030 telah melalui suatu proses penyediaan yang teliti, inklusif bermula dengan sesi Focus Group Discussion (Perbincangan Kumpulan Sasar atau FGD) bersama agensi teknikal dan komuniti setempat serta pihak industri.

Menurut beliau, draf laporan awal disediakan untuk diteliti oleh Jawatankuasa Teknikal sebelum disahkan oleh Jawatankuasa Pemandu.

“Langkah ini bagi memastikan pelan ini bukan sahaja menjadi dokumen rasmi tetapi juga cerminan kepada suara, aspirasi dan kepakaran pelbagai pihak.

“Pelan ini tidak hanya menekankan aspek teknologi semata-mata tetapi menampilkan pendekatan yang merangkumi  governans (tata kelola) berintegriti, kesejahteraan rakyat, kelestarian alam sekitar, pengukuhan ekonomi digital dan mobiliti pintar,” ujarnya. - KitaReporters

12
10
0
16
0
You will be interested