Insan & Komuniti 10 Sep, 2025

Video| Syabas MPP BBBangi! Pertandingan Kejiranan Tercantik satukan komuniti! Semarakkan kemerdekaan!

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023. E-mel: [email protected]

Share this

Sambutan Hari Kebangsaan bukan sahaja memperingati kemerdekaan negara, tetapi memupuk semangat patriotisme, perpaduan, dan tanggungjawab sivik. Justeru itu, penganjuran Pertandingan Kejiranan Tercantik ini sebagai inisiatif memperindah kawasan kejiranan sambil menyemarak semangat kemerdekaan di peringkat komuniti.




Pertandingan seumpama itu juga mewujudkan suasana harmoni, bersih dan ceria dalam kejiranan, memupuk semangat gotong-royong, patriotisme dan perpaduan antara penduduk selain menggalakkan kreativiti serta tanggungjawab sosial (SR) dalam menghiasi persekitaran.

Ahli Majlis MPP Zon 17 MPKj, Farhan Haziq Mohamed berkata Pertandingan Kejiranan Tercantik Sempena Hari Kebangsaan diadakan sejak 2022 ketika dia menjadi Ahli Majlis Zon 2 Cheras.

Beliau berkata, pada masa itu hanya enam kejiranan mengambil bahagian tapi selepas dia bertukar ke MPP Zon 17 Bandar Baru Bangi, pada 2024, seramai 20 kejiranan mengambil bahagian.

"Tahun 2024, juri mengunjungi kejiranan yang mengambil bahagian untuk menilai dan memberi markah tapi tahun ini (2025) ada perubahan apabila setiap komuniti hanya perlu menghasilkan video kerana trend terkini, masyarakat lebih meminati media sosial. Hanya menggunakan telefon bimbit, penduduk dapat menghasilkan video yang baik.


Farhan Haziq Mohamed


"Sempena Hari Kebangsaan 2025, seramai 18 kejiranan mengambil bahagian yang dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Perumahan Landed, Strata/Kampung dan Surau. 

"Melalui pertandingan itu, memang terasa kemeriahannya apabila setiap komuniti, kejiranan dan surau di MPP Zon 17 mengibar Jalur Gemilang dan aktiviti-aktiviti hari kebangsaan dengan penuh semangat patriotisme," katanya selepas majlis penyampaian hadiah kepada pemenang di Dewan Komuniti, Seksyen 7, Bandar Baru Bangi, Selangor.

Bagi kategori Perumahan Landed, Persatuan Penduduk Puspasari, Jalan 3/6J & 3/6K muncul johan dan bagi kategori Strata/Kampung dimenangi JPKK Kampung Teras Jernang, manakala Surau Al-Sobah, Seksyen 3 meraih gelaran juara bagi kategori Surau. Pemenang setiap kategori membawa pulang wang tunai RM1,000, plak dan sijil.

Manakala bagi kategori baru yang diperkenal tahun ini (2025) iaitu Video Merdeka Popular, ia dimenangi Surau Al-Ittihad, Jalan 1/5, Fasa 1, Bandar Baru Bangi. Mereka meraih wang tunai RM300.


JPKK Kampung Teras Jernang muncul pemenang dalam kategori Strata/Kampung.


Surau Al-Sobah, Seksyen 3 meraih gelaran juara bagi kategori Surau.


Farhan berkata, bagi pertandingan kejiranan tercantik itu, beberapa kriteria perlu dipatuhi peserta antaranya menggunakan elemen kitar semula, aktiviti yang dijalankan sesuai dengan tema Hari Kebangsaan 2025 iaitu Malaysia Madani, Rakyat Disantuni dan ciri-ciri patriotisme.

"Kami turut mengambil kira kesungguhan komuniti memasang bendera dan jalan cerita yang dihasilkan mesti ada mesej dan mudah difahami. Persaingan memang sengit dan saya boleh katakan semua video dihasilkan adalah terbaik.

"Juri yang mengadili pun sukar untuk memilih pemenang memandangkan cara olahannya ada ciri-ciri profesional walaupun tidak 100 peratus selain ada yang menggunakan video bersama lagu, elemen dramatik dan lakonan," katanya.


Bagi kategori Perumahan Landed dimenangi Persatuan Penduduk Puspasari, Jalan 3/6J & 3/6K.


Beliau mengakui,  pertandingan seperti ini memberi peluang komuniti bekerjasama, ada mengambil video, editing, memasang bendera atau komponen lain malah kanak-kanak turut terbabit. Mesejnya, semua bersatu, orang tua belajar dari orang muda dan orang muda pula mendapat nasihat orang tua.

"Saya berharap lebih ramai mengambil bahagian untuk pertandingan tahun depan (2026), harapnya mendapat di antara 20 hingga 25 penyertaan. 

"Insya-Allah kami juga mungkin memperkenal beberapa kategori baharu supaya lebih ramai dapat memenangi hadian dan mengambil bahagian.


Surau Al-Ittihad, Jalan 1/5, Fasa 1, Bandar Baru Bangi memenangi Video Merdeka Popular dan meraih wang tunai RM300.


"Saya berterima kasih kepada Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan yang menyokong pertandingan ini malah beliau menyumbangkan hadiah wang tunai kepada pemenang dalam semua kategori. 

"Pertandingan ini diharap menyatukan masyarakat setempat dalam semangat cintakan negara serta memelihara kebersihan dan keindahan persekitaran. Ia juga mampu meningkatkan semangat kemasyarakatan, gotong-royong selain memupuk nilai-nilai murni selaras aspirasi Malaysia Madani," katanya.


Ustaz Ahmad Umar Asyraf (dua dari kanan) menerima hadiah tempat keempat kategori Surau daripada Farhan.  


Sementara itu, Musolla Pangsapuri Anggun, Seksyen 4, Bandar Baru Bangi terharu dan terkejut memenangi tempat keempat bagi kategori Surau walaupun ini adalah kali pertama penyertaan mereka dalam pertandingan itu. 

Imam II, Musolla Pangsapuri Anggun, Ustaz Ahmad Umar Asyraf berkata, mereka hanya mempunyai masa dua minggu membuat persiapan seperti memasang bendera Jalur Gemilang dan barangan kitar semula tapi kerjasama penghuni menjadikan semuanya siap mengikut jadual.

"Saya menubuhkan jawatankuasa kecil untuk berbincang konsep yang kami mahu untuk pertandingan itu dan kebanyakan kerja-kerja menyiapkan pemasangan di musolla dilakukan selepas solat isyak kerana masing-masing bekerja. Rasanya pengorbanan masa dan tenaga kami berbaloi dengan kemenangan ini.

"Terima semua penghuni, jemaah dan Pengerusi Musolla Anggun, Othman Hashim yang banyak memberi idea selain anak-anak Pangsapuri Anggun," katanya. - KitaReporters


Peserta dan pemenang bagi setiap kategori Pertandingan Kejiranan Tercantik 2025 bergambar kenangan bersama Farhan selepas majlis penyampaian hadiah.

12
9
0
13
1
You will be interested