Bencana banjir tidak dapat dinafikan memberikan kesan buruk yang serius kepada penduduk kerana bukan setakat kerugian harta benda malah dibebankan pula dengan kerosakan infrastruktur dan paling tragis apabila membabitkan kehilangan nyawa orang tersayang.

Pasukan Misi Task Force Bantuan Psikososial UPSI menyantuni dan memberi sokongan sosial kepada warga emas yang terkesan akibat banjir.
Semua itu
akan memberi tekanan atau kesan jangka panjang kepada psikologi mangsa banjir
seperti berasa trauma dalam tempoh waktu yang agak lama apabila dihantui
kebimbangan walaupun bencana berkenaan sudah surut.
Terpanggil dalam memenuhi tuntutan khidmat tanggungjawab sosial (SR) kepada masyarakat, Jabatan Bimbingan dan Kaunseling, Fakulti Pembangunan Manusia (FPM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak bersama Neuro Immersive Wellness Centre dan Persatuan Kasih menyantuni 217 mangsa banjir di Lekir, Perak, pada 25 November 2025.

Kanak-kanak yang berada di PPS turut diberikan sokongan sosial dengan melakukan pelbagai aktiviti kreatif.
Dekan FPM,
Prof Dr Abdul Talib Mohamed Hashim, berkata Misi Task Force Bantuan Psikososial
yang diketuai Ketua Jabatan Bimbingan dan Kaunseling, Dr Norsayyidatina Che
Rozubi bersama pensyarah Dr Nurul Hasyimah Mat Rani, Dr Syazwana Aziz dan
Taqiuddin Abdul Mukhti serta 14 pelajar Ijazah Sarjana Muda Bimbingan dan
Kaunseling bersama Neuro Immersive Wellness Centre UPSI bersama sokongan Persatuan
Kasih menjalankan intervensi psikososial kepada mangsa banjir itu di Sekolah Kebangsaan
(SK) Batu 10 Lekir.
Tanpa
mengenal penat lelah, pasukan berkenaan turun padang memberi sokongan emosi
kepada keluarga dan kanak-kanak yang terjejas kerana bencana banjir itu.
Beliau berkata, antara intervensi yang dijalankan ialah Psychological First Aid (Bantuan Kecemasan Psikososial atau PFA), kaunseling sokongan, aktiviti regulasi emosi, permainan terapeutik serta modul pemerkasaan keluarga.
Pendekatan itu memberi fokus kepada pengurusan tekanan, meningkatkan ketahanan psikologi dan membantu mereka kembali berfungsi selepas melalui detik cemas akibat banjir.
"Kolaboratif bersama Persatuan Kasih mengukuhkan aspek kebajikan dan keperluan asas mangsa, manakala kepakaran Neuro Immersive Wellness Centre menyokong pelaksanaan intervensi berasaskan neuropsikologi dan kesejahteraan minda," katanya.

Mengisi masa lapang kanak-kanak di PPS dengan aktiviti menarik.
Sementara itu, Dr Norsayyidatina berkata, misi itu bukan sahaja membantu komuniti, tetapi juga melatih pelajar mengaplikasikan ilmu kaunseling dalam konteks bencana.
Jelasnya,
mangsa banjir turut melahirkan rasa lega dan bersyukur kerana intervensi berkenaan
membantu menenangkan emosi serta memberi ruang kepada keluarga untuk kembali
stabil.
"UPSI
komited meneruskan usaha menyantuni masyarakat melalui gabungan kepakaran
akademik, kerjasama strategik dan pendekatan empati demi kesejahteraan komuniti
terjejas," ujarnya.
Dr Tina pula berterima kasih kepada Pejabat Timbalan Naib Canselor dan Hal Ehwal Pelajar, FPM dan Pusat Kaunseling atas kepercayaan kepada pasukannya melaksanakan misi itu demi UPSI tercinta.
Pasukan Misi Task Force Bantuan Psikososial UPSI merakamkan kenangan bersama kanak-kanak di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Batu 10 Lekir, Perak.