Insan & Komuniti 21 Sep, 2025

Aduan Rakyat| Siapa salah, gagal? Siapa nak tanggung, bayar? Banjir lumpur landa taman perumahan!

Share this

Insiden banjir lumpur yang mengotorkan seluruh kawasan penduduk Taman Guar Perahu pada 16 September yang lalu tidak harus dipandang enteng.

Kejadian sekitar jam 5.30 petang dan berlarutan sehingga 4.00 pagi tidak boleh dimaafkan oleh sesiapa pun.


Kenderaan yang rosak setelah terkandas dalam banjir lumpur. Siapa yang harus dipersalah?

Kawasan projek pembinaan yang berhampiran dengan kawasan kediaman penduduk.

Sebelum ini banjir kilat sudah beberapa kali melanda kawasan perumahan Taman Guar Perahu yang begitu sinonim dengan Parlimen Permatang Pauh.

Tidak dapat dinafikan memang ada misi bantuan mangsa banjir lumpur oleh pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan maupun parti politik yang menerajui kepimpinan dan oposisi.

Persoalan yang senantiasa bermain dalam pemikiran penduduk dan mangsa, siapa yang bersalah?

Siapa punya angkara? Siapa yang alpa dan lupa sehinggakan banjir lumpur menerpa dan menerjah mengakibatkan sekitar lebih 50 rumah terkesan.

Siapa yang akan menanggung kerugian kerosakan harta benda termasuk kenderaan yang telah ditenggelami banjir lumpur setinggi 0.5 meter.

Padah dan memang parah, apalagi sekiranya yang menjadi mangsa hanya mengharapakan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Apalagi jika yang menjadi mangsa adalah ibu tunggal, orang kurang upaya atau pun warga emas.


Sepanjang kawasan Taman Guar Perahu dipenuhi banjir lumpur yang mengotorkan kawasan sekitar.

Penduduk sudah pasti gundah-gulana, resah gelisah, bimbang dan gusar ke mana hala tuju jika kediaman digenangi banjir lumpur.

Pelbagai andaian memenuhi ruang pemikiran, penuh duka, sedih, tidak ketentuan arah ke mana dan di mana salah dan silapnya.

Akhirnya setelah keluh-kesah, aduan, laporan dan kekesalan penduduk dizahirkan kepada pelbagai pihak, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) tampil dengan solusi segera.

MBSP telah mengarahkan sebuah syarikat pemaju projek perumahan terlibat untuk menghentikan serta-merta kerja di tapak pembinaan ekoran kejadian banjir kilat dan tanah lumpur di taman perumahan tersebut.

Menurut notis henti kerja tersebut adalah bagi projek pembangunan di Lot PT 63 (Lot 3509) Mukim 20 setelah didapati wujudnya pelanggaran syarat di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 serta Undang-Undang Kecil Kerja Tanah (Majlis Perbandaran Seberang Perai) 1992.

Pemaju juga telah diarahkan untuk melaksanakan kerja-kerja pembersihan segera ke atas parit, jalan dan kediaman yang terjejas selain memasang ' hoarding' di kawasan yang belum dilengkapi dengan tembok pengadang serta melaksanakan kerja mitigasi dengan serta merta.


Sepanjang jalan masuk Taman Guar Perahu penuh lumpur.

Becak lagi mengotorkan.

Manakala Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow turut mengambil peduli dengan memaklumkan bahawa insiden terbabit berpunca daripada kegagalan mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan.

Malah katanya kejadian ini sememangnya memberi kesan kepada lebih 50 rumah di sekitar kawasan pembinaan terbabit.

Namun begitu insiden dan kelalaian ini telah merugikan penduduk. Banyak harta benda telah rosak termasuk kenderaan yang sudah pasti menelan kos yang banyak.

Siapa yang akan menanggung segala kerugian, kos baik pulih dan sebagainya. Ia bukan perkara kecil. Ia melibatkan kewangan yang belum tentu mampu ditanggung oleh penduduk terlibat.


Siapa lagi yang patut dipersalahkan selepas beberapa kediaman penduduk telah digenangi banjir lumpur.

Lagi rumah yang dipenuhi banjir lumpur.

Sehubungan itu pihak berkuasa tempatan, agensi kerajaan negeri maupun kerajaan pusat sepatutnya lebih peduli dengan memantau acapkali setiap projek pembinaan agar ia tidak memberi impak yang buruk seperti apa yang berlaku tatkala ini.

Jangan hanya setakat meluluskan setiap projek pembinaan sedangkan kekerapan pemantauan belum pasti dilaksanakan atau sebaliknya.

Apalagi setelah berlaku kejadian yang sememangnya tidak diingini seperti apa yang berlaku di Taman Guar Perahu, Penanti, Permatang Pauh kali ini. - KitaReporters


Kerja gotong royong membersihkan kawasan kediaman yang dipenuhi lumpur.

Lumpur di mana sahaja sekitar kawasan Taman Guar Perahu, Penanti, Permatang Pauh.

18
14
0
17
0
You will be interested