BEBERAPA penduduk Kampung Tenang, Labis, Johor yang ditemui mengakui bimbang dengan keselamatan mereka ketika keluar mencari rezeki dengan mengerjakan kebun mereka berikutan penemuan kesan tapak kaki seekor harimau di kebun salah seorang penduduk kampung.
Lebih merisaukan mereka apabila binatang buas tersebut turut dipercayai menyerang seekor lembu penduduk kampung yang menyebabkan luka pada bahagian belakang haiwan ternakan tersebut dengan kesan cakaran sepanjang kira-kira 10 sentimeter pada 5 Febuari 2023 lalu.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan harimau
Kesan tapak kaki harimau yang ditemui di kawasan kebun salah seorang penduduk Kampung Tenang, Labis, Johor pada 7 Februari 2023 lalu.
"Tanda tanya mengenai punca kecederaan ternakan saya terjawab selepas seorang rakan yang memetik buah kelapa sawit di kebun yang turut dijadikan kawasan ragut lembu ternakan saya itu menemui kesan tapak kaki binatang buas tersebut pada 7 Februari 2023 lalu.
"Ini merupakan kali pertama kejadian binatang buas tersebut memasuki kawasan kebun penduduk kampung dan saya percaya kejadian ini ada kaitan dengan penyakit yang menyerang babi liar di kawasan ini yang menyebabkan banyak haiwan perosak tersebut mati dan ketika ini haiwan tersebut seakan semakin pupus," katanya kerika ditemui di Kampung Tenang, Labis pada 9 Februari 2023.
Md.Yusuf Arshad
Kata Md Yusuf, kemungkinan jumlah babi liar yang semakin berkurangan dan haiwan pemangsa itu semakin sukar untuk memburu makanan mendorong harimau tersebut memasuki kawasan kebun penduduk terutama di kawasan yang terdapat haiwan ternakan untuk mencari makanan.
Menurutnya, sebagai langkah berjaga-jaga dia terpaksa mengurung lembu ternakannya di kandang yang terletak di kebun tersebut selain menyalakan unggun api pada waktu malam kerana bimbang haiwan ganas tersebut akan datang semula untuk menyerang ternakannya.
Luka yang dipercayai kesan cakaran kuku harimau yang dikatakan memasuki kebun penduduk Kampung Tenang di Labis, Johor.
Sementara itu, Pengerusi Biro Keselamatan, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan (JPKK) Kampung Tenang, Zamri Harris, 50, berkata, pihaknya telahpun melaporkan kejadian tersebut kepada pihak Perhilitan Daerah Segamat yang telàh datang membuat siasatan dan pemantauan.
Menurutnya, pihaknya kini menyerahkan kepada pihak Perhilitan untuk membuat penilaian dan tindakan lanjut sama ada mahu memasang perangkap atau melaksanakan langkah lain bagi memastikan keselamatan penduduk serta sedia memberikan kerjasama kepada agensi tersebut terhadap apa juga tindakan yang bakal diambil.
Katanya, terdapat laporan penduduk menemui kesan tapak kaki baharu haiwan liar tersebut di mana terdapat juga kesan tapak kaki yang lebih kecil dipercayai anak harimau tersebut yang ditemui di kawasan berhampiran pada 8 Februari 2023.
Ujar Md. Zamri lagi, pihaknya sentiasa berhubung rapat dengan pihak Perhilitan dan dalam masa sama turut memastikan penduduk sentiasa berhati-hati serta mematuhi nasihat pihak Perhilitan ketika ke kebun bagi memastikan tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang, Haslinda Salleh yang turun padang meninjau kawasan kejadian turut menasihatkan penduduk agar sentiasa mengutamakan keselamatan serta mematuhi nasihat pihak berkuasa dan tidak bertindak secara melulu termasuk mencederakan haiwan liar tersebut.
"Setakat ini kita tidak tahu keadaan haiwan ini apakah mengalami kecederaan atau sebaliknya kerana binatang liar terutama haiwan pemangsa akan lebih berbahaya dan ganas jika mengalami kecederaan.
"Saya memandang serius ancaman haiwan liar kepada penduduk kampung ini yang turut mengalami ancaman gajah liar sebelum ini dan saya akan memastikan usaha untuk mengatasi masalah ini bagi menjamin keselamatan penduduk yang melibatkan pelbagai agensi berkaitan sentiasa digerakan dari semasa ke semasa," katanya. - KitaReporters
ADUN Tenang, Haslinda Salleh (kiri) mendengar penjelasan Zamri Harris ketika meninjau lokasi penemuan tapak kaki harimau di Paya Kepoh Kampung Tenang, Labis, Johor pada 9 Februari 2023.
Tags:
#babi
#Johor
#harimau
#lembu
#haiwan
#kebun
#Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)
#Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan)
#haiwan buas
#Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK)
#Labis
#Kampung Tenang
#kesan
#ADUN Tenang
#Haslinda Salleh
#tapak kaki
#kesan tapak
#Md Yusuf Arshad
#lembu ternakan
#babi liar
#Zamri Harris
#JPKK Kampung Tenang
#Perhilitan Segamat