Insan & Komuniti 11 Jan, 2023

Komentar| Laporan khas: Prosedur mohon zakat sukar, rumit? Perlukan lebih banyak petugas di lapangan?

@hariyati ariffin
Mantan Pensyarah Kanan , dalam bidang Kewartawanan, Penyiaran dan Komunikasi di UiTM Shah Alam.

Share this


BENARKAH susah nak mohon zakat??

Ada segelintir asnaf dan fakir miskin merungut mengenai prosedur pusat zakat yg terlalu menyusahkan golongan miskin sehingga mereka gagal mendapat bantuan zakat dan tawar hati untuk memohon. 

Ada yang memberitahu sepatutnya pihak berkenaan mudahkan cara memohon zakat dan pihak zakat perlu turun padang bantu orang-orang miskin mohon zakat. 

Ada juga yang memberitahu, mereka tahu pusat zakat meletakkan beberapa orang amil untuk bantu pusat zakat mengenal pasti fakir miskin dan menolong memudahkan mereka memohon zakat. Namun ada yang mendakwa amil yang dilantik pusat zakat tidak bersungguh-sungguh menjalankan tugas membantu fakir miskin. 

Disebabkan itu, bila hidup semakin sukar mereka lebih suka meminjam dan menjalankan pelbagai kerja untuk menyara hidup.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan institusi dan ibadat zakat


Namun di sebalik rungutan dan dakwaan negatif itu, ramai juga yg telah keluar dari garis kemiskinan dengan bantuan pusat zakat. Ada antaranya Juga berjaya menjadi usahawan dan membimbing rakan-rakan lain mengubah nasib mereka. 

Jadi di mana silapnya jika ada yang berjaya dengan bantuan zakat dan ada yang tidak berjaya dan sukar menerima bantuan akat meskipun hidup mereka kais pagi makan pagi kais petang makan petang. 

Baru baru ini Selangorkini.my melaporkan Pusat Zakat Selangor berjaya mengutip hampir RM750 juta sehingga November 2022. Ketua Eksekutif lembaga Zakat (LZS) Mohd Sabirin Mohd Sarbini memberitahu, jumlah itu melepasi kutipan berbanding tempoh sama tahun lalu. Beliau yakin sasaran itu mampu dicapai bagi meningkatkan bantuan kepada asnaf yang memerlukan. 

Penulis menemu ramah beberapa orang yang kurang bernasib baik di Selangor untuk menerima bantuan zakat. 

Seorang pelajar IPTA dari Kuala Selangor memberitahu permohonannya untuk mendapat zakat pendidikan ditolak oleh pusat zakat kerana penyata bank yang disertakan hanya gambar atau screenshot (tangkap layar) dari akaun onlinenya sahaja dan bukan penyata yg disahkan pihak bank. 

Disebabkan itu permohonannya ditolak dan diminta untuk memohon kembali. 



Beliau memberitahu telah menghantar surat rayuan kepada pihak zakat tetapi tidak dilayan. 

Pelajar berkenaan datang dari keluarga yang susah dan sangat sangat memerlukan bantuan kewangan untuk meneruskan pengajiannya. Disebabkan masalah kewangan beliau terpaksa bekerja sewaktu cuti semester untuk mengumpul duit bagi membiayai pengajiannya di IPTA.  

Beliau bercadang untuk berhenti belajar jika keadaan hidup semakin tertekan. Pelajar ini tinggal dua semester lagi untuk menamatkan pengajiannya.  

Sementara itu seorang lagi pelajar menyokong apa yg dijelaskan oleh pelajar berkenaan. Beliau yang tinggal di Meru, Klang  bersetuju  prosedur memohon zakat sangat rigid (tegar) dan sukar. Mereka memohon secara online tetapi jika salah isi borang memang terus ditolak oleh pusat zakat. 

Prosedur yang rigid daripada pihak zakat kadangkala membuatkan pelajar tidak berani memohon bantuan sebaliknya kerja sambilan untuk mendapatkan perbelanjaan sepanjang meneruskan pengajian. 



Bagi Hayati Yusof yang berpengalaman membantu golongan fakir miskin mengisi borang bantuan zakat memberitahu borang berkenaan memang agak rumit dan banyak data perlu diisi. Ini katanya mungkin untuk mengelak penipuan dan menghalang golongan yang tak layak menerima zakat memohon. 

Sementara itu Saodah Elias memberi cadangan untuk melicinkan pengurusan zakat. Antaranya  badan-badan kebajikan, malah pihak pengurusan masjid perlu ada mekanisme yang berkesan untuk kenal pasti dan salur bantuan kepada yang memerlukan. 

Pegawai badan-badan berkenaan juga perlu proaktif dalam menyiasat latar belakang golongan yang layak. Siasatan memerlukan pegawai turun ke padang sendiri, bukan harapkan recommendations (saranan) daripada ketua kampung, wakil rakyat malah ketua parti politik setempat.

Beliau memberitahu lagi, Ini bagi memastikan ketelusan, keadilan dan mengelakkan penganiayaan atas sebab-sebab tertentu. 



Dalam pada itu, prosedur ketat juga perlu agar peruntukan tidak dibazirkan kepada yang tidak layak atau disalahgunakan. 

Selain itu, Saodah bersetuju prosedur-prosedur yang ditetapkan juga boleh mengelak lahirnya golongan yang "malas" untuk membantu diri sendiri. Ini kerana mereka beranggapan boleh mendapat bantuan tetap JKM dan Baitulmal, malah sumbangan daripada orang ramai. 

"Golongan seumpama ini perlu dididik, kerana jika tidak, anak-anak dan cucu-cucu serta keturunan mereka juga akan begitu - hidup mengharapkan bantuan tanpa langsung ingin berusah,." kata Saodah 

Menurutnya lagi paling utama ialah keikhlasan daripada pihak pegawai-pegawai, badan berkenaan untuk melaksanakan tanggungjawab mereka. Apabila ada keikhlasan, pasti mereka akan berusaha lebih telus untuk bantu golongan yang memerlukan di samping memastikan tiada salah guna dan ketirisan.

Ikuti laporan khas kedua mengenai pusat zakat dan penjelasan dari Pusat Zakat Selangor (PSZ) berhubung isu ini. - KitaReporters


 

9
16
0
12
0
You will be interested