Insan & Komuniti 10 May, 2024

Tolong kami! Bantu Pusat Penyelidikan dan Perpustakaan As Sofa! Infak bagi beli bangunan Darul Ahmadi!

@khadijah mohamad nor
Pernah berkhidmat sebagai Wartawan Eksekutif di akhbar Kosmo! selama hampir 14 tahun. Berpengalaman dalam penulisan rencana, sukan, berita dan luar negara. Graduan Universiti Teknologi Mara dalam bidang Seni Lukis dan Seni Reka Tesktil. Boleh dihubungi melalui emel [email protected]

Share this


PELBAGAI majlis ilmu dianjurkan di Yayasan Sofa termasuk kehadiran ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) dari luar negara pada hari-hari kebesaran Islam. - Kredit foto: Yayasan Sofa

MENJADI lokasi berhimpunnya ahli ilmu dan ahli al-Quran, mungkin ramai tidak menyedari kewujudan sebuah Pusat Penyelidikan dan Perpustakaan As Sofa di Ampang, Selangor.

Terletak di Taman Tun Abdul Razak, bangunan tersebut merupakan salah satu mercu tanda dakwah dan perjuangan Yayasan Sofa dalam menegakkan syiar Islam melalui jihad ilmu yang tidak pernah putus sejak ia mula ditubuhkan lebih dua dekad lalu.

Menurut Yang Dipertua Yayasan Sofa, Ustaz Md Farid Samad Al-Hafiz, bangunan yang diberi nama Darul Ahmadi itu menjadi tempat di mana berkumpulnya para penuntut ilmu dan ahli al-Quran yang sentiasa mendambakan ilmu melalui pelbagai kuliah dan program pengajian yang disediakan sejak setahun lalu.

"Apa yang pasti, Pusat Penyelidikan dan Perpustakaan As Sofa ini adalah lambang perkembangan dakwah yang dibawa oleh pengasasnya, Dato' Sheikh Muhammad Fuad Kamaludin. 

"Bangunan ini menjadi tumpuan kepada penyelidik dan ilmuwan Islam untuk bersama-sama merencanakan masa depan dakwah Islam berlandaskan al-Quran dan sunah Rasulullah SAW.


PENGASAS Yayasan Sofa, Dato' Sheikh Muhammad Fuad Kamaludin (tengah) membaca kitab Sahih Bukhari dalam satu majlis yang diadakan di Pusat Penyelidikan dan Perpustakaan As Sofa.


"Di sini juga tempat terbitnya pelbagai kitab hasil kajian, tulisan dan terjemahan pengasas As Sofa sendiri dan juga barisan penyelidik Institut Imam Ahmad ibn Idris. 

"Dalam tempoh jangka panjang, Pusat Penyelidikan dan Perpustakaan As Sofa ini bakal menghasilkan ribuan buku ilmiah yang amat berguna buat umat Islam di Malaysia dan pada peringkat antarabangsa.

"Insya-Allah, ia akan dibangunkan secara eksklusif untuk manfaat lebih meluas kepada seluruh umat Islam khususnya para penuntut ilmu dalam bidang pengajian Islam pada pelbagai peringkat pengajian," ujar Md. Farid. 

Tambah beliau, sehingga kini perpustakaan tersebut telah menyimpan koleksi lebih 100,000 khazanah penulisan berkaitan Islam yang diharap menjadi tempat rujukan utama bagi semua pihak yang memerlukan terutama para pelajar, pengkaji dan golongan ilmuwan.

Kini, memasuki setahun penubuhannya, Md. Farid berkata, pihak mereka merancang untuk membeli bangunan ini di mana baki dana diperlukan adalah berjumlah RM568,000.


POSTER bagi Infaq Pembelian Pusat Penyelidikan & Perpustakaan As Sofa di Ampang, Selangor yang masih memerlukan RM568,000 untuk diselesaikan sebelum 31 Mei ini.


"Bagi menampung kos pembelian bangunan ini, Yayasan Sofa menyusun langkah menyeru umat Islam untuk bersama-sama menyokong usaha dakwah yang penuh kebaikan ini. 

"Semoga infaq dan sedekah daripada kalian akan menjadi asbab beroleh kebaikan di dunia dan akhirat. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: 'Bersedekahlah dan jangan berat memberikan agar Allah tidak memberi kamu dalam jumlah yang terhad; dan jangan menahan hartamu agar Allah tidak menahannya daripada kamu. Bersedekahlah semampu kamu.'


USTAZ Md. Farid Samad Al Hafiz (memegang mikrofon) mengalunkan qasidah dalam satu majlis yang diadakan.


"Kami berharap misi besar pembelian bangunan ini akan diberkati Allah dan sesungguhnya hanya kepada Allah sebaik-baik tempat kita berharap. 

"Sekecil apa pun sumbangan yang diberikan, ia akan membantu mengangkat kedudukan ilmu Islam agar dapat dimanfaatkan oleh kita dan generasi umat seterusnya serta menjadi jariah yang berkekalan buat kita selamanya. Insya-Allah," ungkap Md. Farid  menutup bicara.

Bagi mereka yang berniat untuk menyumbang, bolehlah salurkan ke akaun CIMB Darul Quran Wal Hadith As Sofa 8604 1624 43. Maklumat lanjut sila hubungi talian 019-3842032. - KitaReporters


21
8
0
14
1
You will be interested