Mohd Sany Hamzan ketika menyampaikan ucapan perasmian Pertandingan Boling Amal.
AHLI Parlimen Hulu Langat, Selangor, Mohd Sany Hamzan berjanji akan memberi sokongan penuh kepada program atau aktiviti kemasyarakatan yang membabitkan penyertaan pelbagai golongan dan kaum dalam kawasan parlimen itu.
Beliau berkata, program atau aktiviti sedemikian mampu
membantu pemimpin masyarakat atau agensi terbabit ke arah menyatupadukan serta
mewujudkan hubungan erat dalam semangat perpaduan komuniti penduduk sebagaimana
dititikberatkan oleh Kerajaan Malaysia Madani sekarang.
Menurutnya, sehubungan itu dia mencadangkan supaya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan kebajikan memperhebatkan aktiviti kemasyarakatan membabitkan pelbagai peringkat umur dan golongan dalam kawasan Parlimen Hulu Langat itu.
Mohd Sany melakukan gimik perasmian Pertandingan Boling Amal.
Tambahnya, usaha berkenaan bukanlah suatu yang mustahil jika
setiap NGO atau pertubuhan kebajikan yang diwujudkan dapat menjalin kerjasama
serta kesepakatan bagi menjaya aktiviti itu demi membantu Kerajaan Madani
menyuburkan kehidupan harmoni di setiap kawasan komuniti.
“Sebagai pemimpin dipilih rakyat dan mewakili mereka dalam
kerajaan, saya akan memberi sokongan serta kerjasama bagi menjayakan setiap
program atau aktiviti kemasyarakatan yang dirancangkan itu supaya berjaya
dilaksanakan di samping berjalan lancar,” katanya ketika berucap merasmikan Pertandingan
Boling Amal anjuran Sukarelawan Pusat Jagaan Nur Hasanah (PJNH), Beranang,
Selangor pada 25 Mei 2024.
Turut hadir majlis itu Pengerusi PJNH, Mohiadin Bahado; Pengerusi Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia, Semenyih (PJMM), Selangor, Azman Razman; Setiausaha PJMM, Muhammad Shafiq Mohiadin; dan peserta yang mewakili NGO dalam pertandingan itu termasuk Pertubuhan Sukarelawan Kasih (PSK), Kelab Sukarelawan Mahmudah (Kesuma), Perpustakaan Awam Cawangan Semenyih, Sukarelawan Pusat Jagaan Insan dan aktivis masyarakat.
Mohd Sany (tengah) bergambar bersama-sama ahli NGO, pertubuhan kebajikan dan aktivis masyarakat yang menyertai Pertandingan Boling Amal anjuran Sukarelawan Pusat Jagaan Nur Hasanah, Beranang, Selangor pada 25 Mei 2024.
Mohd Sany melahirkan rasa kagum dengan PJNH walaupun sebuah NGO kebajikan yang sibuk menguruskan pusat jagaan menempatkan warga emas termasuk yang uzur namun masih mampu bersama sukarelawannya menganjurkan pertandingan itu sebagai salah satu usaha memperkenal pusat berkenaan kepada masyarakat.
Menurutnya, bukan setakat itu sahaja, PJNH turut membawa
beberapa warga emas yang mampu bergerak sendiri dan memiliki tenaga sihat untuk
turut menyertai pertandingan berkenaan dalam membantu menghilangkan rasa stres
mereka.
“Saya berharap usaha murni ini membuka mata NGO, pertubuhan kebajikan dan aktivis masyarakat lain untuk turut sama serta memberi sokongan dan kerjasama bagi menjaya aktiviti seperti itu pada masa akan datang,” ujarnya lagi.
Kehadiran Mohd Sany memberi suntikan semangat kepada ahli NGO, pertubuhan kebajikan dan aktivis masyarakat dalam pertandingan itu.
Sementara itu, Mohiadin berkata, PJNH sentiasa memberi
kerjasama kepada suakrelawannya untuk menganjurkan program atau aktiviti
kebajikan masyarakat sebagai salah satu usaha mengetengahkan pusat itu kepada
orang ramai.
Menurutnya, aktiviti itu juga menunjukkan tanda kesepakatan
dan kerjasama erat yang wujud sekian lama antara PJNH dengan NGO serta aktivis
masyarakat yang sentiasa prihatin membantu pusat itu supaya mampu untuk terus
beroperasi bagi membela nasib warga emas tersisih, sebatang kara, mualaf dan
sebagainya.
“Saya akan terus memberi kerjasama kepada sukarelawan PJNH untuk mengadakan aktiviti yang berskala besar dengan membabitkan beberapa acara sukan untuk dipertanding di samping menarik lebih banyak NGO dan pertubuhan kebajikan sebagaimana saranan Mohd Sany,” katanya.
Mohd Nazri Abdul Latif (kanan) bersama rakan ahli NGO yang menyertai pertandingan itu.
Pengerusi PSK, Mohd Nazri Abdul Latif, pertubuhan itu
sentiasa memberi sokongan dan membabitkan diri dalam program atau aktiviti yang
dianjurkan sukarelawan PJNH sebagai tanda keprihatinan untuk membantu pusat
berkenaan menjaga serta mengurus warga emas.
Jelasnya, walaupun tidak banyak namun PSK sering
menghulurkan sumbangan bagi membantu PJNH yang banyak bergantung kepada infak
orang ramai dan pelbagai pihak untuk terus beroperasi bagi menjaga warga emas
situ.
“Tidak semua antara kita yang sanggup melakukan tugasan menyantuni warga emas seperti ahli keluarga sendiri terutama yang uzur tetapi bagi sukarelawan PJNH mereka tetap jujur dan bertangggungjawab melakukan perkara ini,” ujarnya lagi. - KitaReporters
Sebahagian pemenang pertandingan dalam pelbagai kategori bersama hadiah yang dimenangi.