Insan & Komuniti 14 Jan, 2021

Video| Tengku Hassanal Ibrahim dayung perahu jalur! Untuk berjumpa mangsa banjir Orang Asli!

@adnan mohamad
Berpengalaman dalam bidang penulisan selama lebih 22 tahun sebagai wartawan bermula di akhbar Berita Harian selama lebih lima tahun kemudian di akhbar Utusan Malaysia serta Kosmo dan lima kali mendapat anugerah kewartawanan peringkat negeri Terengganu. Emel: [email protected]

Share this

KEMUNGKINAN sudah menjadi perkara kebiasaan bagi orang kenamaan atau sesiapa sahaja yang melawat mangsa banjir ditimpa bencana alam itu dengan menggunakan jenis kenderaan seperti lori, bot dan pacuan empat roda. Tetapi berlainan pula kali ini dengan Pemangku Raja Pahang. : KitaReporters 

TENGKU Hassanal (dua dari belakang) sedang mendayung Perahu Jalur bersama Tok Batin untuk melawat mangsa banjir di PPS Tanah Merah, Pekan, Pahang pada 11 Januari 2021. - Kredit foto: Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP).


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan Tengku Hassanal Ibrahim:

https://kitareporters.com/search?search=Tengku+Hassanal


Agak luar biasanya, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Bilah Shah yang sanggup meredah anak sungai dengan sebuah perahu jalur untuk melihat mangsa banjir Orang Asli di Tanah Merah, Pekan, Pahang pada Isnin 11 Januari 2021. 

Berpegang dengan falsafah, Ke Gunung Sanggup Didaki, Ke Lautan Sanggup Direnangi itu, baginda rela mendayung perahu panjang serta sempit itu bersama Tok Batin selama 40 minit sebelum tiba di perkampungan Orang Asli.



PEMANGKU Raja Pahang diiringi Tok Batin (baju biru) untuk melawat mangsa banjir di PPS Tanah Merah, Pekan pada 11 Januari 2021. - Kredit foto: UKOMP



Selain Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Tanah Merah, anakanda kepada Yang di-Pertuan Agong itu turut melawat mangsa banjir lain di tujuh PPS dalam Parlimen Pekan. 

Ia termasuk PPS Balai Raya Kampung Gumum, PPS  Dewan Kampung Mempelas, PPS Dewan Komuniti Kampung Salong, PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Belimbing, PPS Bukit Kenau, PPS SK Pulau Manis dan PPS Balai Raya Kampung Ganchong Tengah

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Arif berkata, baginda terpaksa menaiki perahu jalur itu menempuh sebuah anak sungai yang menempatkan mangsa banjir di situ.


PEMANGKU Raja Pahang memberi sumbangan kepada mangsa banjir. - Kredit foto: UKOMP




Beliau yang turut mengiringi keberangkatan Pemangku Raja itu memberitahu jikalau baginda tidak berbuat demikian tidak mungkin baginda akan sampai di situ kerana laluan anak sungai ke PPS itu terlalu sempit tidak boleh dilalui oleh bot Jabatan Bomba dan Penyelamat. 

``Ketabahan baginda yang mendayung Perahu Jalur itu amat dikagumi kerana walaupun dalam kepenatan serta kekok menggunakan pendayung itu baginda tetap bersabar mendayung sehingga sampai di PPS Tanah Merah.


MOHAMMAD Fakhruddin Mohd Arif mendukung kanak-kanak mangsa banjir. - Kredit foto: UKOMP


``Saya rasa itu lah pengalaman baru bagi baginda mendayung perahu jalur demi untuk melihat mangsa banjir berbanding sebelum ini baginda sering melawat mangsa banjir dengan menaiki bot, lori dan kenderaan pacuan empat roda selain mengharungi air banjir,’’ katanya. 

Turut mengiringi  Pemangku Raja Pahang yang melawat mangsa banjir itu ialah Tengku Panglima Raja Lt. Kol. Tengku Amir Naseer Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Bilal Shah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Pulau Manis, Datuk Khairuddin Mahmud.



ADUN Kawasan Chini,  Sharim Md Zain; Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Datuk Ahmad Hairi Hussain; Pegawai Daerah Pekan, Datuk Zaliza Zulkipli; dan Ketua Polis Daerah Pekan, Mohd Razli Mohd Yusof adalah antara yang hadir pada program tersebut. 

Mohammad Fakhruddin yang juga ADUN kawasan Bebar berkata semasa lawatan itu Pemangku Raja Pahang  memberi sumbangan kepada semua mangsa banjir di  PPS terbabit. 

Sehingga kini, MUIP telah membelanjakan sejumlah RM631,080 untuk memberi sumbangan kepada 2,999 mangsa bencana alam di negeri itu. - KitaReporters


8
4
1
0
1
You will be interested