Insan & Komuniti 19 Apr, 2021

Keharmonian kaum dalam perangi wabak Covid-19! 11 NGO Cina Kelantan sumbang bantuan tambahan!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

Sukarelawan NGO mengangkat tilam dan bantal untuk melengkapkan kemudahan kepada pesakit di PUTIK.


INDAHNYA keharmonian kaum di Kelantan terutama mengambil keberkatan Ramadan apabila Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK) di Kota Bahru menerima sumbangan tambahan 75 tilam dan bantal daripada 11 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Cina Kelantan, pada 15 April 2021 lalu.

NGO-NGO Cina Kelantan terbabit dalam kerja amal itu ialah Persatuan Hokkien Hoay Kuan, Persatuan Lam Ann, Persatuan Shing Ann, Persatuan Eng Choon, Persatuan Chin Kang, Gabungan Pertubuhan Tiong Hwa, Dewan Perniagaan Cina, State Amulet Club, Buddhist Missionary Society Malaysia Kelantan Branch, Chat Group dan YMM Negeri Kelantan


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan CNGO Cina


Pekerja sedang mengangkat 150 kotak minuman Fresh Life untuk diagihkan kepada tiga pusat kuarantin. - Kredit foto: Speed Media Events & Distribution


Sebagai tanda sokongan syarikat pengeluar air minuman Fresh Life turut menyumbang 150 kotak air minuman untuk tiga pusat kuarantin.

Ketua Pemuda Hokkien Hoay Kuan Kelantan, Ang Wei Chong, berkata sumbangan itu adalah sebahagian daripada lebih 200 tilam dan bantal baharu yang dibeli hasil daripada dana derma orang ramai yang menzahirkan rasa simpati terhadap mereka yang ditimpa musibah.

Menurutnya, baki tilam dan bantal berkenaan akan dihantar kepada pihak berkuasa hospital apabila pusat kuarantin baharu diwujudkan berikutan peningkatan mendadak pandemik Covid-19 di Kelantan sejak seminggu lalu.

Katanya, walaupun daripada pelbagai kaum tetapi usaha memerangi wabak Covid-19 adalah menjadi tanggungjawab bersama supaya keadaan menjadi normal kembali dan kegiatan ekonomi masyarakat di Kelantan dapat aktif seperti biasa. 

“Dalam situasi sekarang semua pihak berperanan untuk membantu pihak berkuasa memutuskan rantaian Covid-19 terutama mengamalkan penjagaan kebersihan termasuk persekitaran halaman rumah dan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP),” katanya.


Sebelum ini NGO terbabit sudah menyumbangkan katil, tilam dan bantal untuk 140 pesakit di PUTIK pada Januari 2021.


Ang Wei berkata, sebelum ini bersama pertubuhan amal Tzu Chi, NGO-NGO Cina Kelantan sudah menyerahkan sumbangan berupa katil, tilam dan bantal untuk keperluan 140 pesakit di PUTIK di Pengkalan Chepa, Kota Bahru itu sebaik sahaja beroperasi sebagai salah satu tempat kuarantin Covid-19 di Kelantan pada Januari 2021.

Menurutnya, mereka terpanggil untuk melakukan kerja amal itu apabila pihak Hospital Raja Perempuan Zainab 11 (HRPZ11) meminta kerjasama Pertubuhan Buddhist Tzu Chi Merits Malaysia cawangan Kelantan bagi membuka pusat kuarantin berkenaan.

“Menerusi kerja amal ini, kami berharap dapat memupuk semangat perpaduan dan kerjasama tanpa mengira kaum serta fahaman politik demi sejahteraan kesihatan penduduk khusus dalam membanteras wabak yang berbahaya itu,” katanya. - KitaReporters


NGO-NGO terbabit berharap kerja amal itu akan mengukuhkan lagi semangat perpaduan pelbagai kaum di Kelantan.

14
2
0
0
0
You will be interested