PENGALAMAN seorang warga Malaysia yang menetap di Tanah Suci Mekah Al Mukarramah sewaktu mengerjakan solat subuh berjemaah di Masjidil Haram buat kali pertama setelah tujuh bulan tertangguh disifatkan terlalu berbeza dan dirasakan penuh keberkatan. : KitaReporters
Jemaah wanita bagi kumpulan pertama orang awam dibenarkan menunaikan solat berjemaah di Masjidil Haram selepas tujuh bulan tertangguh, menunaikan solat sunat tahajud sebelum solat subuh di masjid suci berkenaan. - Kredit Foto: Masnira Ramli dan FB Haramain Sharifain.
Lagi cerita-cerita berkaitan Mekah:
https://kitareporters.com/search?search=mekah
Bagi
Masnira Ramli yang mengikut suami kerana bertugas di negara itu dan kini hampir 11 tahun bermastautin di Arab Saudi menyifatkan slot solat berjemaah yang dibuka kepada umum sempena kebenaran ibadah umrah fasa kedua sesi 2020 ini lebih istimewa dan teruja.
"Solat subuh dan tahajud kali ini meruntun hati penuh syahdu tanpa suara anak-anak kecil yang biasanya antara penyeri ruang solat jemaah wanita sebelum ia ditangguhkan dahulu," ujar ibu kepada empat orang cahaya mata dalam titipan terbaharu dalam media sosial beliau yang terpilih menyertai solat subuh berjemaah pada hari pertama pembukaannya pada Ahad !8 Oktober 2020 lalu.
Melalui catatan tersebut, beliau menulis bagi slot solat fardu berjemaah di Masjidil Haram yang dibuka kepada umum melibatkan sejumlah 40,000 orang jemaah pada setiap hari. Manakala jemaah umrah fasa kedua pula ditingkatkan kepada 15,000 orang berbanding 6,000 jemaah setiap hari pada fasa pertama selama dua minggu antara 4 hingga 17 Oktober 2020 lalu.
Katanya, semasa solat keadaan begitu sunyi dan syahdu, hanya yang kedengaran suara imam membaca surah serta ciapan burung berterbangan mengelilingi persekitaran masjid. Masya-Allah inilah suasana norma baharu solat berjemaah di Masjidil Haram sekarang.
Manakala ketika jemaah mengerjakan solat sunat tahajud sebelum fardu subuh terdengar esak rintih penuh syahdu para jemaah ketika sujud mereka yang agak panjang turut meruntun hati.
Syarat untuk solat fardu berjemaah di Masjidil Haram sama seperti yang dikenakan kepada jemaah umrah dengan menggunakan aplikasi khas Eatmarna yang disifatkan sebagai permit dan mendaftar butiran peribadi dalam aplikasi Tawakkalna terlebih dahulu.
Seorang petugas di Masjidil Haram menuang air zam-zam ke dalam cawan seorang jemaah wanita yang bersiap sedia untuk solat subuh berjemaah di masjid berkenaan.
Suasana solat subuh berjemaah seperti ini Masnira rasakan untuk kali kedua selepas di Masjidil Nabawi, Madinahtul Munawarrah ketika dia bercuti hujung minggu bersama keluarga pada awal bulan yang lalu. Waktu itu keadaan kota suci berkenaan agak sunyi terutama waktu malam selepas Isyak bila mana masjid berkenaan ditutup kepada orang ramai. Kegiatan perniagaan lebih 70 peratus tidak beroperasi dan hotel-hotel sekitarnya agak suram.
"Selepas solat subuh rata-rata jemaah semua tenang macam tak nak bangun meninggalkan saf masing-masing. Hati ini terdetik mungkin semua rasa tak puas melepas rindu solat dalam Masjidil Haram. Saya pun rasa sama macam nak duduk lagi lama-lama.
"Tidak lama kemudian imam mengumumkan untuk solat jenazah, semua bangun dan sama-sama melakukannya," ujarnya.
Lepas solat jenazah, yang mengejutkan beliau, ramai antara mereka mengambil gambar di hadapan Kaabah hingga ada yang lupa SOP terutama penjarakan sosial dan pemakaian pelitup separuh muka. Anggota polis bertugas terpaksa menegur tetapi ada juga yang terlepas.
Beginilah keadaan sekitar Dataran Kaabah menjelang solat subuh pada hari pertama Masjidil Haram dibuka kepada umum untuk solat berjemaah setelah tertangguh selama tujuh bulan. - Pandangan ini dirakam dari aras dua masjid berkenaan.
Masnira memberitahu, di Masjidil Haram agak sukar dikawal mana-mana jemaah yang menyelit di tempat tidak dibenarkan solat dan ketika subuh berjemaah ramai yang melakukannya lebih-lebih lagi sewaktu solat hendak bermula sedangkan simbol larangan solat di mana-mana bahagian tertentu ada ditandakan pada bahagian lantai di Dataran Kaabah (dataran tawaf).
Katanya, mungkin slot yang disertai ini solat berjemaah pertama selepas Masjidil Haram dibuka kepada umum terdapat beberapa kelemahan yang perlu penambahbaikkan bagi keadilan kepada individu yang benar-benar menjaga SOP.
Menurutnya, semua orang perlu faham SOP yang dilaksanakan supaya keadaan penularan wabak COVID-19 bertambah baik. jangan ada pentingkan diri hingga boleh menimbulkan suatu yang negatif terhadap rumah suci berkenaan.
Itu belum lagi kehadiran lebih ramai jemaah termasuk jemaah umrah dari luar negara yang dijadualkan bermula pada 1 November 2020 ini.
Pada sesi baru ini, para jemaah yang terpilih tidak boleh menunggu lama selepas selesai solat kerana pegawai bertugas akan memastikan setiap orang supaya keluar mengikut laluan ditetapkan menuju ke tempat bas khas sedia menunggu untuk kembali ke Kudai checkpoint pertama sebelum ke Masjidil Haram iaitu tempat parkir kereta bagi mereka berkenderaan sendiri.
Orang ramai tidak melepaskan peluang untuk solat dan berdoa di Raudah, Masjidil Nabawi sebaik sahaja dibuka akepda umum pada Ahad 18 Oktober 2020 lalu.
Sementara itu, Raudah terletak di Masjidil Nabawi di Madinah Al Munawarrah yang ditutup kepada orang ramai sejak tujuh bulan lalu turut menjadi tumpuan sebaik sahaja dibuka untuk kunjungan umum pada Ahad 18 Oktober 2020. Ia termasuk jemaah umrah fasa kedua sesi 2020 yang diberi kebenaran oleh Kerajaan Arab Saudi melakukan ziarah di Raudah dan solat di Masjidil Nabawi.
Untuk ziarah Raudah yang disifatkan sebagai 'taman-taman syurga' dengan keluasan 330 meter persegi terletak antara Mimbar Nabi dan Makam Rasulullah S.A.W itu perlu mendaftar dengan membuat tempahan waktu ziarah melalui aplikasi Eatmarna.
Selain itu, jemaah perlu membawa sejadah sendiri, tidak berjabat tangan, sampai pada waktu ditetapkan, memakai pelitup separuh muka, basuh dan bersihkan tangan, serta praktikan penjarakan sosial.
Waktu ziarah Raudah hanya beroperasi selepas solat subuh, zohor, asar dan maghrib.
Imam Masjidil Nabawi Sheikh Salah Al Budair (dua dari kanan) menyampaikan cenderahati kepada salah seorang jemaah yang hadir ke masjid tersebut.
Melalui info yang diberikan oleh seorang lagi rakyat Malaysia menetap di Makkah, Muhammad Syaharuddin Shahari, masuk ke Raudah melalui tiga pintu iaitu bagi jemaah lelaki Bab Al Salam (pintu No.1) bagi seramai 11,880 orang sehari. Bab Bilal (pintu No. 38) seramai 1,650 pengunjung sehari, manakala bagi jemaah wanita melalui Bab Uthman (pintu 24) dengan bilangan 900 jemaah sehari.
Katanya, solat fardu lima waktu dan solat Jumaat di kawasan Raudah hanya untuk anggota awam dan tentera serta ahli keluarga jenazah yang akan disolatkan.
Selain itu, menurutnya, Masjidil Nabawi akan ditutup selepas solat isyak dan dibuka semula sejam sebelum waktu solat subuh. - KitaReporters
Para jemaah yang hadir ke Masjidil Nabawi di Madinah Al Munawarrah sentiasa diawasi petugas keselamatan supaya mematuhi SOP ditetapkan.
Petugas keselamatan mengawal ketat kawasan Makam Nabi Muhammad S.A.W dan dua sahabat baginda di Masjidil Nabawi, Madinah Al Munawarrah.
Seorang petugas kebersihan melakukan semburan nyahkuman di salah satu sudut di kawasan Raudah, Masjidil Nabawi di Madinah Al Munawarah, Arab Saudi.