Insan & Komuniti 22 Oct, 2020

Koma: Doakan Yusof Darlan! Dari asnaf jadi pembayar zakat!

@isa ramli
Penglibatan sebagai wartawan 23 tahun mulai 1984 dan bersara awal 2005 . Jawatan terakhir Penolong Kanan Ketua Penyunting Utusan Melayu di Syarikat Utusan Melayu (M) Berhad. Penyumbang beberapa majalah, media eletronik dan cetak.

Share this
SEORANG bekas asnaf dengan Lembaga Zakat Selangor (LZS), yang gigih berusaha hingga menjadikan dirinya sekarang antara barisan individu pembayar zakat dengan lembaga berkenaan, Yusof Darlan, 50, kini terlantar koma di sebuah hospital di daerah Sabak Bernam, Selangor. : KitaReporters

Idola asnaf Lembaga Zakat Selangor (LZS),Yusuf Darlan (kanan) bersama isteri dan anaknya. Beliau kini berstatus bekas asnaf yang gigih menjadikan dirinya bebas daripada kemiskinan dan antara individu penyumbang zakat kepada lembaga berkenaan. Kredit Foto-Foto : Lembaga Zakat Selangor.

Lagi cerita-cerita berkaitan asnaf:

https://kitareporters.com/search?search=asnaf


Pengusaha kedai makan terletak di kawasan kampung ini boleh disifatkan sebagai idola kepada individu asnaf yang ingin merubah kehidupan kepada keadaan lebih baik, dimasukkan ke hospital kerana pendarahan pada kepala hingga menjadikan dirinya tidak sedarkan diri.

Malahan agak menyedihkan lagi menyayat hati keluarga ini sudahlah terlantar di hospital dalam keadaan koma, ibu kesayangan beliau pula kembali menghadap illahi hanya selang beberapa hari dia dimasukkan ke wad.

Sehubungan itu, pihak LZS memohon para sahabat asnaf dan para pembayar zakat dengan lembaga itu serta rakan-rakan , keluarga dan orang ramai mendoakan beliau segera sembuh daripada penyakit yang dihidapi.


Melalui paparan yang dicatatkan dalam laman sosial LZS pada Jumaat 16 Oktober 2020 lalu, lembaga zakat itu berharap keluarga Yusuf diberikan kekuatan dan dipermudah segala urusan disamping tabah menghadapi ujian berlaku.
Kisah kejayaan Yusof  keluar dari kepompong kemiskinan hingga menjadi antara individu penyumbang  kepada LZS mampu menjadi insprasi buat sesiapa sahaja yang ingin mengubah hidup untuk maju terutama bagi kalangan asnaf dan mereka yang tergolongan dalam kategori B40.
Malahan kegigihan beliau menempuh segala kesukaran dan dugaan hidup hingga membuahkan hasil yang positif wajar diteladani serta dicontohi semua orang dipaparkan melalui sebuah rakaman video oleh pihak LZS sebelum ini.

Kegigihan dan kesabaran Yusuf Darlan (gambar) wajar ditauladani semua orang khususnya golongan asnaf.
Melalui rakaman imbas kembali kisah kehidupan Yusuf sekeluarga yang agak mencabar dan penuh ranjau sekembalinya ke kampung halaman setelah merantau dan bekerja kilang di mana pada peringkat awalnya berhasrat menjaga kedua-dua orang tuanya. Sebaliknya beliau sendiri terpaksa dijaga oleh keluarga kerana menghidap strok.
Beberapa ketika setelah sembuh selepas menjalani enam kali rawatan secara urut tradisonal yang ditawarkan oleh seorang hamba Allah beliau bekerja mengambil upah cuci kereta.

Pada peringkat awal perniagaan, Yusuf menjual nasi lemak pada waktu pagi dengan menggunakan sebuah meja kecil di satu sudut di kedai makan ibu bapanya di samping meletakkan air minuman tanpa mengenakan bayaran.

Bagaimanapun dugaan yang agak serius membelenggu kehidupannya pada tahun 2011 bila anak sulungnya yang dikesan menghidap kanser usus setelah dua kali menjalani pemeriksaan di hospital tetapi meninggal dunia selepas beberapa hari setelah menjalani pembedahan.

Berpunca daripada kejadian tersebut, Yusuf menghadapi masalah tekanan perasaan, keluh kesah seperti hilang ingatan, makan minum tak terurus, perniagaan tidak dihiraukan dan ada ketikanya mereka yang datang ke kedai beliau marahi.


Ramlah Utut (gambar) bangga dengan sikap sabar suaminya menghadapi rintangan dan cabaran berliku.
Tuhan Maha Penyayang terhadap hamba-Nya, melalui inisiatif dan saranan ketua kampung di tempat beliau tinggal setelah melihat sendiri keadaan premis niaganya yang agak uzur dan hasil pendapatan tidak seberapa Yusuf telah didaftarkan sebagai salah seorang asnaf di LZS.

Melalui pertolongan pegawai LZS pada peringkat daerah, Yusuf diberikan bantuan perniagaan bagi menaik taraf kedai makan yang diuruskan bersama isteri dan keluarga dengan membina premis baharu lebih selesa menggantikan kedai agak usang serta kurang sesuai bagi aktivii perniagaan.

Dengan semangat tanpa mengenal jemu dan sentiasa sabar dalam menghadapi pelbagai cabaran mahupun rintangan beliau berjaya menguruskan perniagaan kedai makan hingga sekarang.
Antara inti pati yang diamalkannya untuk berjaya termasuklah gigih berusaha, sabar dalam menghadapi rintangan dan cabaran, jangan tinggalkan solat, perlu ramah dengan semua orang. Hasil sokongan serta kerjasama orang ramai menjadikan perniagaan kedai makan diusahakan sentiasa mendapat sambutan terutama penduduk setempat.
Isteri beliau, Ramlah Utut bangga dengan semangat ingin maju dan kegigihan yang ada pada suaminya malahan sentiasa bersyukur atas bantuan perniagaan disalurkan oleh pihak LZS hingga menjadikan perniagaan mereka terus maju hingga sekarang.
"Saya ucapkan terima kasih atas bantuan disalurkan kerana melaluinya kami dapat meneruskan usaha berniaga kedai makan dalam suasana selesa seperti yang ada hari ini," ujarnya begitu menghargai bantuan disalurkan pihak LZS. - KiteReporters

Yusuf Darlan menyiapkan sendiri masakan atau minuman yang dipesan oleh pelanggannya.

0
0
1
0
0
You will be interested