Insan & Komuniti 08 Jun, 2021

Sahak Yasin dijemput Ilahi! Killer dan blocker hatrik emas Sukan SEAP! Tak putus idea, inovasi!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

SAHAK Md. Yasin (depan, kiri) bersama-sama wira-wira silam negara selaku ahli panel pemantau pemilihan pemain. Antaranya ialah Zabidi Shariff dan Adnan Saidin (depan, dua dan tiga dari kiri) serta Rehan Mohamad Din (belakang, tiga dari kiri). 


SEJAK 28 April 2021 disahkan positif Covid-19 oleh doktor, Sahak Md. Yasin masih berjuang dan bertahan lebih sebulan termasuk dengan bantuan mesin pernafasan oksigen di unit rawatan rapi (ICU) hospital.

Begitu kentalnya semangat bekas anggota Kor Risik Diraja Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ini yang turut pernah berjuang sebagai apit kanan sepak takraw negara di arena sukan antarabangsa.

Namun perjuangannya melawan Covid-19 dari Hospital Sungai Buloh hingga dipindahkan ke Hospital UiTM, Puncak Alam, Selangor bernoktah juga, kira-kira 3.30 petang Isnin, 7 Jun 2021 bersamaan 26 Syawal 1441 Hijrah.

Allah lebih menyayanginya lantas Sahak menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 73 tahun di kediamannya, Taman Bunga Raya, Setapak, Kuala Lumpur.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan sepak takraw


SAHAK (kanan) menerima piala kemenangan Malaysia dalam Pesta Sukan Singapura 1974 selepas mengalahkan tuan rumah 3-0. - Kredit foto: National Archive of Singapore


Pemergian Allahyarham buat selama-lamanya, meninggalkan seorang balu, Rokiah Basir, 67 dan tiga anak (seorang lelaki dan dua perempuan, anak ketiganya lelaki sudah meninggal dunia pada 2020) selain 14 cucu dan lima cicit.

Jenazahnya dibawa pulang ke tempat kelahirannya, Kampung Nuri, Johol, Negeri Sembilan untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di sana pukul 10 malam tadi, Isnin 7 Jun 2021.

Turut digelar Pak Sahak, inilah pemain yang mencipta teknik bertahan sepak takraw menerusi adangan (blocking) kaki pada 1971.

Tiga pingat emas Sukan SEAP/SEA Singapura 1973, Bangkok 1975 dan Kuala Lumpur 1977 sebagai buah tangannya buat negara, terpahat kukuh dalam sejarah sukan tanah air.  

Sahak yang dilahirkan pada 7 September 1947, juga pernah membantu ATM menjuarai Kejohanan Kebangsaan Piala Emas Khir Johari beberapa kali


SAHAK (kiri), Sharon Wee dan bekas pelibas negara 90-an, Baharum Jahar dalam program Nadi Arena terbitan Astro Arena. 


Kemahiran, keberanian dan kreativiti adangannya, telah membawa inovasi sukan sepak takraw sehingga memanjangkan rali, ada menyerang dan bertahan serta semakin berdaya saing atau terbuka.

Sahak juga antara 12 pemain bimbingan Kamaruzaman Kassim yang menumpaskan Thailand 2-1 untuk memastikan pingat emas - satu-satunya kejayaan pasukan Malaysia dalam Sukan SEAP/SEA di bumi lawan, Bangkok pada 1975.

Turut menganggotainya ialah Abu Bakar Mohd. Johan, Jamaludin Osman, Mohamad Jusri Rick, Abdul Jalil Aziz, Faozi Ayob, Idris Baba, Mohamad Noor Abdullah, Mohd. Azmi Harun, Abdul Razak Osman, Wahab Isahak dan Sulaiman Ibrahim.

Gandingan Sahak ialah tekong, Razak dan apit kiri atau pengumpan, Jamaludin yang menewaskan Sujin Kewasvorn, Vichai Tangorn dan Suwat Jungmongkol 15-10, 12-15, 15-11 selepas berentap selama 87 minit untuk meraih mata kemenangan regu pertama acara berpasukan itu.



LAPORAN akhbar mengenai kehebatan Sahak selaku perejam gaya 'Maniam' dan pengadang ampuh negara dan ATM. - Kredit foto: Berita Harian


Mohd. Azmi Harun, bekas rakan sepasukannya dalam Sukan SEAP itu berkata: “Allahyarham seorang yang kuat beribadat antara kami. Dalam soal sepak takraw, dia sentiasa berbincang dan berkongsi idea dan pendapat dengan rakan sepasukan negara.

“Dia juga yang memperkenalkan gaya libasan kalih atau Maniam bagi mengatasi blocking kukuh lawan yang menyekat mata. Saya penggemar gulung dan kalih pula berkongsi bagaimana jaga stamina dalam perlawanan.

“Arwah juga menyarankan banyak buat latihan skipping (lompat tali) supaya lonjakan badan apit lebih tinggi daripada adangan lawan lalu senang rejaman kita bolos ke kawasan lawan,” katanya yang bergandingan dengan Wahab dan Noor dalam regu kedua Malaysia.


MOHD. Azmi Harun, bekas apit kanan negara seangkatan Sahak. - Kredit foto: infotakraw.com


SAHAK (depan, dua dari kiri) dan Azmi (belakang, dua dari kanan) dalam skuad pemenang pingat emas Sukan SEAP Bangkok 1975. - Kredit foto: infotakraw.com 


Regu Azmi walau bagaimanapun tewas kepada Veerasak Bailee, Prasent Siripatanapol dan Chanachai Kummaung dalam tempoh 66 minit, 15-17 dan 4-15 namun Jusri, Jalil dan Faozi membenam regu ketiga Thailand, Kamol Vinyalai, Vijit Hanamorn dan Veerasak Kantawagwan 15-12, 14-17, 15-11 selepas 94 minit.

Sukan SEAP/SEA Bangkok 1967 dan 1985 mahupun Chiang Mai 1995 menyaksikan hanya pingat perak yang dibawa pulang pasukan negara. Sukan SEA Korat 2007 pula diboikot Persatuan Sepak Takraw Malaysia kerana membantah penggunaan bola bersalut getah Marathon New Generation keluaran sebuah syarikat Thailand.  

Sahak juga pernah dilantik sebagai penasihat pasukan negara ke Kejohanan Dunia Piala Raja Thailand 2017 di Bangkok.

Kepakaran dan pengalamannya terus diiktiraf apabila menjadi ahli panel pemantau pemilihan pemain negara bersama-sama wira-wira silam lain antaranya Adnan Saidin, Rehan Mohamad Din, Zabidi Shariff, Shaari Hashim, Ahmad Jais Baharun dan Sahar Omar bagi liga kebangsaan dan Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018. - KitaReporters


SAHAK (kanan) dan isteri, Rokiah Basir. - Kredit foto: FB Sahak

0
0
0
0
0
You will be interested