PERTUBUHAN Keselamatan Sosial (Perkeso) sudah pun menyiapkan laporan lengkap lapan beradik yang menjadi yatim piatu selepas ibu bapa mereka meninggal dunia akibat dijangkiti pandemik Covid-19 kerana mereka layak mendapat pencen penakat dan faedah khairat kematian.
Sumber Perkeso memberitahu, sebaik saja mendapat maklumat daripada Facebook Darul Jariah pada 18 Julai 2021 lalu, Skuad Perkeso dari Rawang diarahkan untuk menghubungi anak-anak pasangan itu tetapi mereka semua masih dalam kuarantin di rumah.
“Dalam pada skuad menunggu mereka bebas kuaratin, kami menyiapkan dokumen dan sekarang sudah lengkap dan penyerahan manfaat kematian dijangka disampaikan kepada anak-anak itu tidak lama lagi,” katanya ketika diminta mengulas laporan akhbar mengenai kebimbangan orang ramai tentang nasib anak-anak pasangan itu.
Lagi cerita-cerita menyentuh jiwa berkaitan yatim piatu
Kebajikan anak-anak pasangan tidak diabaikan.
Sebelum ini laporan akhbar menyebut pasangan itu, Benyajeed Bernie, 42, meninggal dunia pada Jumaat, 16 Julai 2021 di Hospital Selayang, manakala isterinya, Noraini Ibrahim, 43, menyusul suaminya di Hospital Sungai Buloh, dua hari kemudian.
Allahyarhamah sebenarnya bekerja sebagai penyelia di sebuah kilang dan suaminya yang berniaga goreng pisang. Jenazah pasangan itu selamat disemadikan di kampong isterinya, di Jerantut, Pahang. Bapa mereka berasal dari Sabah.
Dr Noraini Ahmad (kanan) bertanya khabar dengan Nazurah Nabilah Benyajeed. - Kredit gambar: FB Dato Dr Noraini Ahmad
Sementara itu, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menzahirkan rasa takziah kepada adik beradik Nazurah Nabilah Benyajeed, yang juga pelajar jurusan Diploma Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik di Politeknik Mersing sambil berjanji akan membantu keluarga tersebut.
Menterinya, Dato Dr Noraini Ahmad melawat keluarga pada 22 Julai 2021 bagi menyampaikan sumbangan dari Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dalam bentuk akaun Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) berjumlah RM500 bagi setiap ahli keluarga dengan nilai keseluruhan RM4,000.
Selain itu, KPT melalui Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) menawarkan untuk menukarkan kampus pengajian Nazurah dari Mersing ke Politeknik Sultan Azlan Shah, Behrang supaya lebih dekat dengan rumahnya di Bukit Beruntung.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tiga dari kanan) dan Menteri kesihatan, Dr Adham Baba (dua dari kanan) turut menziarah keluarga.
Sementara itu, jiran keluarga itu, Dr Nor Aniza Ali sebelum ini dalam hantaran dalam Facebooknya memuat naik gambar anak sulung Noraini, Nazurah yang memaklumkan kematian ayah serta ibunya, dan berita kematian pasangan itu dimuat naik dalam laman Facebook tidak lama kemudian.
Dr Aniza memberitahu suami mangsa berniaga kuih muih dan goreng pisang di Simpang Grand Union, Bukit Beruntung di Rawang, Selangor dan mereka mempunyai lapan anak - lima anak perempuan dan tiga lelaki. Anak bongsunya berumur empat tahun dan anak sulung pula 19 tahun.
Sementara itu jiran keluarga berkenaan, Rokiah berkata sebaik saja diketahui ibu bapa anak-anak dimasukkan ke hospital, penduduk taman berkenaan terus membantu memudahkan urusan anak-anak.
Sebaik saja berita kematian ibu bapa keluarga itu tersebar ke seluruh negara membuat pihaknya mendapat panggilan sejauh Kelantan hingga ke Johor.
Katanya, anak-anak keluarga itu kini diuruskan oleh anak sulung pasangan dan kebetulan juga ibu saudara mereka tinggal di rumah itu banyak membantu menjaga kebajikan.
Beliau berkata penduduk taman terkilan apabila ada pihak membuat tuduhan melulu kepada bapa mangsa kerana dikatakan menjadi punca jangkitan kerana tidak menjaga SOP ketika berniaga.
"Yang sebenarnya ibu dia yang awalnya terkena Covid-19 dan terlebih dahulu dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh sebanyak dua kali. Sebelum ayahnya menyusul dan dirawat ke Hospital Selayang dan dia dulu yang meninggal dunia.
"Tu yang tuduh bapa dia pembawa. Malah ibunya juga kemudian disahkan bebas Covid-19 sebab itu dua anaknya dibenarkan menguruskan jenazah," katanya.
Ini juga diakui anak sulungnya, Nazurah dalam siaran video yang dimuatkan oleh sebuah portal.
Sementara itu, Nazurah memberitahu pihak Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah membantu mereka membayar rumah sewa dan keperluan barangan dapur. Manakala PTPTN juga membantu menyediakan tabungan pendidikan dalam akaun SSPN-i.
Nazurah juga memberitahu ayahnya sempat berpesan supaya menjaga adik beradiknya dan walau apapun terjadi, mereka jangan sesekali berpisah. - KitaReporters