SELEBRITI terkenal Datuk Aznil Nawawi, lebih dikenali sebagai Paknil menerima pentauliahan sebagai Champion AADK daripada Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Dato Seri Zulkifli Abdullah di ibu pejabat AADK di Bangi, Selangor pada Rabu, 4 November 2020. : KitaReporters
Lagi cerita-cerita berkaitan AADK:
https://kitareporters.com/search?search=aadk
Dalam hantarannya dalam akaun Facebooknya, Paknil menulis, antara skop tugasnya adalah mendekati anak-anak dan keluarga Malaysia menangani isu dadah.
Dalam majlis penyerahan tauliah itu, Paknil turut memberi taklimat kepada Ketua Pengarah AADK mengenai program yang direkanya, sesuai dengan peranannya bagi mendekati anak-anak dan keluarga mereka.
"Paknil menamakan program ini sebagai Ada Aznil Di hati Kamu (AADK). Kreatif tak?," tulisnya.
Paknil turut mengucapkan terima kasih kepada AADK atas kepercayaan yang diberikan itu.
Dalam pada itu, pelantikan itu mendapat reaksi sokongan dan positif daripada pengikut-pengikutnya.
Malah ada penyokong Paknil yang sarankan program AADK Paknil itu dikenali sebagai Ada Allah Di Hati Kamu, yang menurut Mikael Manaf, jelas lebih terbaik dan bermakna.
Paknil sudah menjadi duta atau jurucakap bagi pelbagai acara amal, kempen dan aktiviti kebajikan. Antaranya Kempen Jom Ganyang Aedes anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Dia juga pernah menjadi Duta Perpaduan bersama Datuk Siti Nurhaliza Tarudin untuk Yayasan Budi Penyayang Malaysia.
Lulusan ekonomi dari Universiti Malaya yang lahir pada 6 November 1962 ini, Datuk Aznil mula dikenali apabila menyertai stesen penyiaran TV3 pada 1990 sebagai wartawan dan penyampai berita.
Dia kemudian dipindahkan ke bahagian hiburan dan semakin menonjol apabila mengendalikan program Melodi dan Pop Kuiz.
Popularitinyanya semakin meningkat menyertai stesen penyiaran Astro dengan turut menjadi hos rancangan Akademi Fantasia untuk beberapa musim sehingga diberi jawatan penting di stesen penyiaran itu.
Kemampuannya sebagai pengacara membolehkan Paknil menerima anugerah pengacara terbaik beberapa kali dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) dan Malam Seri Angkasa, RTM.
Selain terkenal sebagai pengacara, Paknil juga pernah berlakon dalam beberapa filem dan drama serta turut merakam beberapa album dengan syarikat rakaman Pony Canyon dan KRU Music.
Sesuai dengan peningkatan usia, Paknil kini lebih selesa mengendalikan program untuk kanak-kanak di salah sebuah stesen Astro iaitu Astro Ceria.
Ketika penularan pandemik Covid-19 ini, Paknil turut melakukan kerja amal membantu golongan yang terkesan dengan mewujudkan Team Aznil.
Semoga usaha baik Paknil ini permudah Allah dan memberi manfaat serta kejayaan kepada rakyat dan negara. Tahniah dan terima kasih, Paknil. - KitaReporters