Insan & Komuniti 21 Aug, 2020

Terima kasih Navin Raj! Bukti keharmonian kaum masih tebal!

@zul akmar jamaludin
Memulakan kerjaya sebagai wartawan pada 2001 di tabloid Warta Perdana dan di majalah Variapop pada tahun 2002. Kemudian menyambung kerjaya sebagai wartawan majalah Mingguan Wanita di Kumpulan Media Karangkraf. 📧: [email protected]

Share this

HUBUNGAN antara kaum di Malaysia sejak akhir-akhir ini nampaknya menjadi semakin tegang gara-gara politik! Gelombang perkauman ini dilihat lebih ketara dalam media sosial. Baik ‘Abu’, ‘Ah Chong’ atau ‘Muthu’ masing-masing mula bersyak wasangka terhadap satu sama lain. Berbanding dahulu, hubungan tiga kaum terbesar di Malaysia ini ibarat adik-beradik. : KitaReporters


Mereka, khususnya orang muda masa kini, sudah lupa kejadian paling tragis yang pernah berlaku di tanah air melibatkan perkauman iaitu tragedi 13 Mei 1969!

Namun, dalam kebimbangan masyarakat mengenai gelombang perkauman yang semakin ketara sejak akhir-akhir ini, secara umumnya, keharmonian antara kaum masih lagi tebal.

Cerita mengenai seorang pelajar perempuan Melayu dengan seorang lelaki India ini mungkin boleh dijadikan bukti dan tauladan.

Perkongsian Aida mengenai dompet hilang menarik perhatian netizen.


Seorang pengguna Twitter dikenali sebagai Aida yang dipercayai seorang pelajar telah berkongsi pengalaman menariknya.

Menurutnya, dia pernah kehilangan dompet di sebuah pusat beli-belah terkenal di Kuala Lumpur. Namun, nasib menyebelahinya apabila ada seorang lelaki berketurunan India bernama Navin Raj terjumpa dan menyerahkannya kepada pihak polis.

“Dompet aku hilang dekat KTM Mid Valley. Memang nangis balik U (universiti) tu sebab yakin rasa memang takkan dapat dah. Tapi masih ada orang baik macam ni tolong hantar ke balai polis siap cari Facebook aku dan DM (direct message) untuk bagi tahu,” tulisnya.


Namun, apa yang menariknya di sini, ialah kejujuran dan kesungguhan lelaki tersebut mencari Facebook Aida dengan niat mahu memberitahu bahawa dompetnya telah dijumpai.

“Hello adik! Saya terjumpa beg tangan adik dekat KTM Mid Valley. Saya tak jumpa nombor telefon adik. Dompet adik masih saya simpan.

“Hello adik! Saya dah serahkan dompet adik di Balai Polis Sunway,” tulis lelaki berkenaan.


Lucunya, mesej atau DM yang dihantar oleh lelaki tersebut hanya baru dibaca oleh Aida pada Jun 2020 sedangkan mesej tersebut telah dihantar pada Oktober 2019.

“Saya baru perasan DM ni. Terima kasih, saya dah lama nak tahu siapa yang tolong hantar,” tulisnya.

Lebih terharu, lelaki itu sempat menasihati Aida agar selepas ini berhati-hati dan belajar bersungguh-sunguh. Malah dia juga sempat mengucapkan selamat hari raya kepada Aida.


Perkongsian Aida ini telah menarik perhatian netizen dan rata-rata berterima kasih kepada lelaki India tersebut. Malah, ramai netizen menganggap kejadian itu membuktikan keharmonian kaum di Malaysia masih lagi tebal.

Perkara-perkara seperti inilah yang selayaknya dikongsi dalam media sosial agar menarik orang lain untuk saling menghargai, berkasih sayang tidak kira kaum! 

Netizen turut terharu dengan kejujuran dan sifat penyayang yang ditunjukkan oleh Navin.


Namun, ramai yang suka berkongsi sesuatu yang boleh merosakkan keharmonian kaum dan menyimbah lagi ‘api’ dalam media sosial. Lihat sahaja kes pelakon popular Mira Filzah yang dikecam oleh seorang individu kerana didakwa memakai pakaian tradisi orang India untuk mengaut keuntungan.

Tak pasal-pasal Mira Filzah kena minta maaf dan menyebabkan netizen bertegang urat sehingga membabitkan isu-isu perkauman! - KitaReporters

0
2
0
0
0
You will be interested