BEBERAPA hari selepas dipanggil oleh polis Cawangan Khas (SB) Bukit Aman ekoran beberapa siri tugas amal dan bantuan yang dijalankan oleh Ustaz Ebit Irawan Ibrahim Lew, atau Ustaz Ebit Lew tular dan 'menyakiti' segelintir manusia, hari ini, Ahad 26 April 2020, pendakwah bebas itu kembali lagi ke jalanan walaupun terpaksa melanggar arahan yang sudah diberikan. : KitaReportes
Kali ini, ustaz yang berbangsa Cina itu menyantuni sebuah keluarga asnaf yang tinggal di dalam bangsal buruk di Baling, Kedah selama hampir setahun.
Ketika keluarga yang turut mempunyai empat orang anak kecil berkenaan ditemui, Ustaz Ebit sekali lagi tidak dapat menahan sebak dan turut menangis melihat keadaan rumah keluarga berkenaan yang sudah uzur dan usang.
Menurut status yang dimuat naik dalam laman Facebook Ustaz Ebit, ketua keluarga berkenaan menyatakan yang mereka sudah dilawati ketua masyarakat dan berjanji akan memberi rumah.
Namun menurut ketua keluarga itu lagi, ekoran arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kini memasuki fasa keempat, pemberian rumah itu hanya akan dilakukan sebaik sahaja PKP itu ditarik balik.
"Syukur Alhamdulillah, terima kasih kepada ketua masyarakat dan masyarakat setempat yang banyak membantu keluarga ini. Semua agensi ada hantar makanan dan di sekolah pun makanan diberi percuma kepada anak-anak ini, gembira sangat, tapi...
"Tapi... bagi saya sehari mereka di sini (rumah usang, uzur) dengan anak-anak kecil ini dihurungi nyamuk, saya rasa berdosa kerana (saya) boleh tidur lena, makan sedap dan rumah besar serta kenderaan saya macam-macam.
"Dosa buat saya. Ampunkan dosa diri saya," tulisnya dalam Facebook.
Sehubungan itu, Ustaz Ebit kini sedang menjalankan usaha untuk membantu mencari rumah sewa yang akan beliau biayai buat sementara waktu sebelum keluarga asnaf ini mendapat rumah yang akan diberikan oleh kerajaan kelak.
Pada Jumaat, 24 Aprl 2020, Ustaz Ebit dipanggil oleh polis Cawangan Khas Bukit Aman ekoran ada laporan terhadap beliau berkaitan tugas-tugas sukarelawan yang dia jalankan ketika PKP sekarang.
Menurut Ustaz Ebit, walaupun ada kebenaran untuk memberi bantuan, namun atas nasihat, beliau terpaksa menghentikan pergerakan dan bantuan secara langsung setakat ini.
"Menangis dari tadi. Cuma nak menangis pada Allah. Entahlah. Tersandar rasa. Rasa penat sangat.
"Setakat ini sahajalah saya berkhidmat pada semua secara langsung. Saya cuma akan transfer duit pada orang susah. Saya teruskan dari rumah sahaja.
"Jangan tag saya lagi kes orang susah. Nanti habis PKP baru saya cuba bantu. PKP ini saya dapat kenal siapa kawan dan siapa saja nak berlawan dengan saya," luah beliau pada hari pertama Ramadan itu.
Menurut Ustaz Ebit lagi, beliau tidak mahu menyusahkan sesiapa ketika melakukan kerja-kerja amal dan penggunaan media sosial hanyalah untuk berkongsi kasih sayang dengan semua rakan. - KitaReporters