Allahyarham Rozimi Omar adalah jurulatih yang bertanggungjawab mengasah bakat Azizulhasni sehingga muncul sebagai pelumba yang berjaya. - Kredit foto: FB Azizulhasni Awang.
PENGANUGERAHAN Darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Terengganu (DPMT) yang membawa gelaran Datuk oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin kepada jaguh lumba basikal negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang dianggap bertepatan dengan sumbangan pelumba itu kepada negeri Terengganu dan negara.
Namun, di sebalik
penganugerahan itu serta kejayaan yang dicapainya selama ini, Azizuhasni tidak melupakan mereka yang pernah membantu dirinya terutama pada awal pembabitan
beliau dalam sukan berkenaan.
Ia jelas dapat dilihat apabila Azizulhasni melalui hantaran pada laman Facebook dan Instagramnya pada Ahad, 18 Julai, 2021 memberi ‘tribute’ kepada bekas jurulatihnya, Allahyarham Rozimi Omar dengan mengimbas kembali pengalamannya dibawa oleh jurulatih itu bertanding di Kuala Lumpur.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Azizulhasni Awang
Walaupun tidak dinyatakan bila,
namun berdasarkan catatan Azizulhasni, dapat digambarkan bahawa
ketika itu beliau belum ‘siapa-siapa’ dan hanya seorang budak kampung yang
serba kekurangan tapi mempunyai cita-cita tinggi dalam sukan lumba basikal.
Menurut Azizulhasni yang kini dikenali dengan gelaran ‘The Pocket Rocketman’, Rozimi atau beliau panggil Abang Mie adalah jurulatih pertama yang bertanggungjawab mengasah bakatnya.
Mengimbas kenangan bersama Rozimi, Azizulhasni menceritakan bagaimana mereka sanggup menempuh perjalanan panjang dari Dungun ke Kuala Lumpur untuk menyertai satu pertandingan di Velodrome Cheras.
The Pocket Rocketman sudah bersedia untuk menggegar Olimpik Tokyo dengan harapan dapat membawa pulang pingat emas untuk negara. - Kredit foto: FB Azizulhasni Awang.
“Sudah menjadi kebiasaan apabila
kami menuju ke Kuala Lumpur untuk menyertai perlumbaan, kami akan berhenti di
R&R Genting Sempah. Dulu-dulu perjalanan dari Dungun ke Kuala Lumpur memang
jauh dan lama, kalau tak silap dalam 7 ke 8 jam perjalanan.
“Kami biasanya bergerak lewat malam dari Dungun dan sampai sebelum subuh di Genting Sempah. Bolehlah berehat sebentar di kawasan parking tu sambil menghirup udara segar dan menikmati cuaca sejuk di kawasan tu. Memang seronok.
“Selepas mandi dan selesai solat, kami isi perut. Biasa saya pilih makanan paling murah yang ada di situ. Nasi lemak bungkus satu bersama air Milo panas.
“Lepas tu kami menuju ke kota aya Kuala Lumpur. Abang Mie kata dia akan bawa kami semua ke Cerah. Saya pun tak tahu kat mana Cerah tu. Masuk je Kuala Lumpur, jalan penuh sesak. ‘Ginilah kalu nok hidup di Kuale Lupor, jeng sokmo’ kata Abang Mie,” tulis Azizulhasni.
Kredit foto: FB Azizulhasni Awang
Basikal saya yang berada di atas kereta Abang Mie hanyalah basikal besi dan orang Terengganu kata berat nanang pulak tu.
Meneruskan catatannya, Azizulhasni menulis, sampai ke destinasi yang dituju, beliau melihat tulisan di pagar stadium tertulis ‘Velodrome Cheras’. Pada ketika itu Azizulhasni dapat melihat sekumpulan pelumba basikal datang dengan kelengkapan lebih moden berbanding dirinya.
“Nampak sangat segak semuanya. Jersey yang dipakai nampak berkualiti serta semua kelihatan seragam. Basikal mereka pula semuanya ganas-ganas. Membuatkan mulut saya ternganga dan kalaulah lalat masuk pun saya tak perasan time tu. Saya terkesima.
“Kalaulah aku dapat pakai basikal seperti diorang pakai tu. Basikal saya yang berada di atas kereta Abang Mie hanyalah basikal besi dan orang Terengganu kata berat nanang pulak tu. Shifter dia pun yang dekat frame (body) tu.
“Gerombolan yang baru sampai itu adalah pelumba-pelumba kebangsaan senior dan junior. Aku harap suatu hari nanti aku dapat jadi seperti sek-sek (kumpulan) ni, bisik saya kepada diri sendiri. ‘Okay jom amik barang-barang kite, lepah tu kite gi masuk Velodrome’ kata Abang Mie.
Azizulhasni (depan paling kanan) bersama Rozimi dan pasukan lumba basikal Sekolah Sukan Bukit Jalil yang menyertai pertandingan Sekolah-Sekolah Sukan di Thailand. - Kredit foto: Nana Juwita Rose.
“Saya mengikut arahan dan kami berjalan memasuki terowong tersebut. Di penghujung sana, saya terpegun melihat akan sebuah velodrome yang saya sebelum ini hanya mendengar melalui cerita dari Abang Mie.
“Cantik warnanya. Permukaannya oren dan mempunyai tiga garisan berbeza warna. Sebuah bulatan oval yang besar dan yang menariknya di kedua-dua penghujung itu ianya mempunyai curam yang tinggi yang kata Abang Mie ia dipanggil ‘banking’.
‘Kekgi mu nok kene kayuh atas ‘banking’ tu Jijoe, mu jangan kayuh slow pulok, baham tanoh kekgi’ Abang Mie memberikan pesanan,” tulis Azizulhasni.
Meneruskan ceritanya, Azizulhasni berkata ketika itu beliau tidak sedikit pun berasa takut sebaliknya tidak sabar dan gembira untuk bertanding meskipun menyedari beliau datang dengan serba kekurangan berbanding kumpulan pelumba tadi.
“Pakaian sudah ditukar, kasut lusuh mountainbike spd cleat pun sudah siap di kaki (tu je kasut basikal yang saya ada) akan tetapi basikal treknya tak ada. Yang dibawanya hanyalah basikal road besi berat nanang saya itu je. Saya nampak orang lain semua berkayuh basikal khas trek yang tak ada brek dan gear nye hanya satu,” tulis Azizulhasni.
Jijoe, aku nok mu buat molek lumbe ni, dok kire mu lawan sape ke, beso mane ke die, mu tunjuk sket ke sek-sek die.
Namun, seorang lelaki dikenali sebagai Mohd Shaari atau Abe Mat yang merupakan bekas pelumba Terengganu dan ketika itu menjadi mekanik pasukan kebangsaan menjadi ‘penyelamat’ apabila menawarkan Azizulhasni untuk menggunakan basikal yang dibawanya.
'Hor ambik basikal ni try tengok anok buoh mu padang dok. Hok ni size paling kecik ade, kalu dok padang gok, bahang tanoh!” kata Abe Mat.
“Saya pun pasang pedal mountainbike saya ke basikal trek tersebut dan cuba berkayuh. Ngam. Pertama kali berkayuh di velodrome. Memang seronok dan saya tidak mempunyai apa-apa masalah untuk berkayuh di atas ‘banking’ yang tinggi itu.
‘Jijoe, aku nok mu buat molek lumbe ni, dok kire mu lawan sape ke, beso mane ke die, mu tunjuk sket ke sek-sek die. Mu jangan baham tanoh pulok’ Abang Mie memberikan kata-kata semangat sebelum perlumbaan bermula.
“Berbekalkan basikal pinjam, ntah apa mata gearing yang saya pakai, sepasang kasut lusuh mountainbike, helmet pun helmet mountainbike, saya ke garisan permulaan untuk memberikan cabaran kepada pelumba-pelumba kebangsaan.
“Mereka semua hebat-hebat. Kelengkapan pun hebat-hebat. Latihan pun hebat-hebat semuanya. Saya hanyalah seorang budak kampung, yang berlatih pun ala kadar sahaja itu pun berkayuh basikal mountainbike. Apa yang saya tahu, saya hanya mahu berlumba dan tonjolkan kemampuan sebenar diri saya.
Selain Azizulhasni (kanan), Rozimi (tengah) turut melatih Ummi Hamimah (kiri). - Foto: Media sosial.
Inilah perlumbaan paling memenatkan, maklumlah dekat kampung training naik turun bukit masuk belukar je.
“Saya menang! Sungguh tak disangka. Saya mengejutkan ramai pihak dan ramai yang tertanya-tanya siapa budak kecil ni. Macam lipas kudung. Sebenarnya, saya pun tak sangka boleh menang. Inilah perlumbaan paling memenatkan, maklumlah dekat kampung training naik turun bukit masuk belukar je.
‘Ganah guh mu Jijoe, dok padang kecek mu ni. Lepah ni kalau mu boleh masuk sekoloh sukang bukit jalil jangan lupe Abang Mie pulok’ seloroh Abang Mie kepada saya.
‘Dok ah Abang Mie, Jijoe dok akan lupe Abang Mie selamanya. Kalu dok Jijoe baham tanoh,” balas saya. Hahahahahahaha…kami berdua berdekah-dekah ketawa..,” Azizulhasni menutup ceritanya.
Kredit foto: FB Azizulhasni Awang
Berdasarkan catatan Azizulhasni
itu, sangat jelas betapa besarnya jasa Rozimi kepada diri pelumba berkenaan
yang kini membawa misi memenangi emas Olimpik pertama untuk negara apabila
bertanding di Olimpik, Tokyo, bermula 23 Julai, 2021.
Rozimi meninggal dunia pada 1 November, 2015 pada usia 43 tahun selepas diserang sakit jantung setibanya beliau di Kuala Lumpur bersama lima pelumba Terengganu yang menyertai satu kejohanan di Myanmar.
Selain Azizulhasni, Rozimi turut bertanggungjawab mengilap bakat pelumba kebangsaan, Amir Mustafa Rosli, Nor Ridzuan Zainal dan Ummi Hamimah Mohamad. - KitaReporters
Kredit foto: FB Azizulhasni Awang.