Insan & Komuniti 27 Jul, 2020

Hero keluarga! Gadis muda tembak mati pembunuh ibu bapanya!

@ahmad abd hamid
Served as a journalist for a year at Berita Harian and for 33 years at Utusan Melayu (M) Bhd. beginning 1980. Last post was Assistant Editor in Chief Utusan Melayu. Also served as Editor in Chief, Magazines. Retired in 2013.

Share this

DARAHNYA mendidih dan semangat keberanian menjalar ke seluruh tubuh apabila menyaksikan ibu bapanya ditembak mati dengan kejam oleh militan Taliban yang datang menyerbu rumahnya. Dalam keadaan marah, Qamar Gul dengan berani mengangkat senjata AK-74 dan menembak mati dua militan tersebut yang membunuh ibu bapanya serta mencederakan beberapa yang lain. : KitaReporters

QAMAR Gul menunjukkan ciri srikandi berani pada usia 15 tahun dengan membunuh puak Taliban yang membunuh kedua-dua ibu bapanya. -Kredit foto: Agensi AP


Lagi cerita-cerita berkaitan gadis masa kini:

https://kitareporters.com/search?search=gadis


Qamar seorang gadis remaja Afghanistan yang baharu berusia 15 tahun. 

Sekali pun seorang wanita dan usianya masih muda, kekentalan jiwanya amat kukuh. Semangat juang yang dipamerkan menyerlahkan dia seorang srikandi berhati waja.  

Pada usia itu ketika ramai gadis masih dianggap sebagai desa pingitan, Qamar sudah bijak mengendalikan senjata api. 

Semua ini atas tunjuk ajar bapanya, Gul, yang menyedari perlunya anak-anak, sekalipun anak perempuan, untuk pandai menggunakan senjata di negara yang bergolak itu.

Memetik laporan abc.net, dalam kejadian pada pertengahan Julai lalu, sekumpulan 40 orang puak Taliban menyerang Kampung Geriveh dalam Wilayah Ghor, barat Afghanistan di mana Qamar tinggal bersama ibu bapanya serta seorang adik lelaki berusia 12 tahun.

WILAYAH Ghor di Afghanistan di kelilingi wilayah Herat, Uruzgan, Badghis, Bamiyan, Farah dan Helmand. - Kredit foto: columbia.edu


Laporan tersebut menyebut, anggota Majlis Wilayah Ghor, Abdul-Hamid Nateqi memberitahu, kelompok Taliban itu kemudian datang ke rumah Qamar kerana bapanya, yang juga ketua kampung, merupakan penyokong kuat kerajaan

Taliban memang memusuhi semua penyokong kerajaan.

Selain itu Taliban juga dikatakan marah kepada Gul kerana dia mengadu mengenai perbuatan Taliban memaksanya membayar cukai.

Difahamkan, militan Taliban datang pada tengah malam ketika keluarga itu sedang tidur. 

Mereka kemudian memecah masuk ke dalam rumah dan memukul Gul dan isterinya sebelum menarik mereka keluar rumah dan menembak mati kedua-duanya.

Qamar yang menyaksikan kejadian tersebut menjadi gamam. 

Tetapi semangat keberanian datang mendadak. Dia bingkas mencapai senjata AK-47 yang ada di dalam rumah dan menembak mati dua orang yang membunuh ibu bapanya. Beberapa yang lain juga cedera.

Dia dan adiknya terus menembak ke arah kelompok Taliban tersebut yang cuba hendak menyerang mereka setelah menyaksikan rakan mereka terbunuh. 

Penduduk kampung dan pasukan keselamatan kemudian datang membantu dan akhirnya berjaya mengusir kelompok Taliban tersebut.

QAMAR Gul bersama adik lelakinya Habibullah ketika berada di pejabar gabenor di Feroz Koh, ibu Wilayah Ghor pada 21 Julai 2020. -Kredit foto: AP.


Menurut laporan Gulf News yang memetik laporan AFP, Qamar memberitahu dalam satu wawancara melalui telefon dengan agensi berita AFP, dia kini tidak takut lagi dengan puak Taliban dan sedia untuk terus berjuang menentang puak tersebut.

Mengimbas kembali kejadian, dia memberitahu, ketika itu waktu tengah malam. 

Dia yang tidur dalam bilik bersama adik lelakinya, Habibullah, 12, terdengar orang menendang pintu rumah. Ibunya cuba menghentikan mereka tetapi pintu rumah sudah pun roboh.

Qamar memberitahu, kumpulan Taliban itu kemudian mengheret ibu bapanya keluar rumah dan menembak mereka hingga mati. 

Walaupun terkejut dengan apa yang disaksikan, dia bertukar berani dan segera mengambil senjata AK-47 di dalam rumah dan menembak kumpulan Taliban itu.

Menurut Qamar, bapanya yang mengajar dia menggunakan senjata api.  

QAMAR Gul bersama senjata AK-47 yang digunakan untuk membunuh puak Taliban yang membunuh ibu bapanya di Ghor. - Kredit foto: Twitter.


Dia bangga kerana berjaya membunuh orang yang telah meragut nyawa kedua-dua ibu bapanya.

Namun dia sedih kerana tidak sempat berbicara pada saat ahir dengan kedua orang tuanya. 

Selepas menembak mati pembunuh ayahnya, Qamar menghampiri mereka yang terbujur di atas tanah tetapi kedua-dua ibu bapanya sudah tidak bernyawa.

Keberanian Qamar mendapat pujian rakyat dalam media sosial!!! 

Kementerian Dalam Negeri Afghanistan melalui  jurucakapnya, Tariq Arian menyifatkan Qamar sebagai ‘hero’ dan kerajaan Afghanistan memuji semangat keberaniannya.

Qamar dan adik lelakinya kini ditempatkan di kawasan selamat dan diberi perlindungan oleh kerajaan Afghanistan kerana kampung di mana Qamar dan keluarganya tinggal merupakan kawasan terpencil dan kemudahan perhubungan sangat terhad.

Hampir setiap hari kawasan perkampungan ini menjadi medan pertempuran antara tentera kerajaan dan militan Taliban. 

Puak militan ini kerap membunuh penduduk kampung yang mereka syaki menjadi tali barut kerajaan atau pasukan keselamatan. - KitaReporters

2
0
1
0
0
You will be interested