TERSENTUH dengan situasi semasa pandemik COVID-19, kakitangan Petronas Pantai Timur bersatu hati menghulurkan sumbangan bagi diserahkan kepada Hospital Kemaman, Terengganu dalam usaha meringankan beban dan tekanan kerja kakitangan hospital. : KitaReporters
Sumbangan oleh kakitangan Petronas Pantai Timur kepada warga Hospital Kemaman juga sebagai satu penghargaan kepada barisan hadapan berkenaan yang berdepan pandemik COVID-19.
Usaha diselaraskan oleh Badan Kebajikan Kakitangan Islam Petronas (BAKIP) itu berjaya mengutip sebanyak RM47,111.85 hanya dalam tempoh seminggu ia dilancarkan.
Menurut Pengurus Besar Petronas Pantai Timur, Datuk Wan Mohd Hasnan Abdullah sumbangan berkenaan sebagai satu bentuk sokongan moral dan penghargaan, serta lambang solidariti warga Petronas atas pengorbanan barisan hadapan (frontliners) dalam menangani pandemik COVID-19 ini.
"Dedikasi barisan hadapan tidak perlu dipertikaikan lagi.
"Petronas Pantai Timur tersentuh dengan situasi semasa pandemik COVID-19 dan terpanggil untuk membantu dengan sampaikan sumbangan ini.
DATUK WAN MOHD HASNAN ABDULLAH
"Selain itu, Yayasan Petronas juga sebelum ini telah sampaikan sumbangan peralatan bernilai RM20 juta kepada Kementerian Kesihatan dan Agensi Pengurusan Bencana Negara dalam usaha mengurangkan penyebaran penularan COVID-19.
"Petronas Dagangan Berhad pula menyampaikan bekalan air mineral kepada Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM),“ katanya menerusi satu kenyataan.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa BAKIP Petronas Chemicals Ethylene Sdn Bhd, Sukiman Jinazan Jusoh, berkata, inisiatif berkenaan sebagai penghargaan dizahirkan oleh Petronas Pantai Timur kepada warga Hospital Kemaman.
"Sebagai warga korporat yang prihatin, kami semua mendoakan agar mereka terus cekal dalam menghadapi saat getir ini,” ujarnya.
Sementara itu, Pegawai Perubatan, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Hospital Kemaman, Dr Matnoh Karim, berkata pihaknya terharu di atas sokongan moral dan solidariti warga Petronas kepada barisan hadapan dalam menangani pandemik COVID-19.
“Sumbangan sedikit sebanyak mampu meringankan bebanan kakitangan kami untuk terus fokus dan berusaha gigih dalam menjalankan tugas,“ katanya. - KitaReporters