BANDIMAN membuat laporan polis di Balai Polis Sewon mengenai kematian anaknya, Naba Faiz Prasetya akibat makan sate semasa berbuka puasa yang diberi oleh wanita misteri. - Kredit Foto : Tribunjogja.com
SEORANG kanak-kanak lelaki yang berusia 8 tahun maut manakala ibunya pengsan selepas mereka makan sate ketika berbuka puasa yang diberi oleh seorang wanita muda yang tidak dikenali pada 25 April 2021 lalu.
Dalam kejadian yang berlaku di Bantul, Yogyakarta, Indonesia, kanak-kanak malang itu ialah Naba Faiz Prasetya dan ibunya, Titik Rini, 34, sebelum itu beberapa kali muntah sebaik sahaja memakan sate bersama kuahnya.
Mangsa meninggal dunia dalam perjalanan untuk mendapat rawatan di Hospital Wirosaban dan Titik yang pengsan itu bernasib baik dapat diselamatkan oleh doktor.
Lagi cerita-cerita sedih berkaitan kematian
BANDIMAN menunjukkan gambar anaknya Naba Faiz Prasetya pada telefonnya. - Kredit Foto : Tribunjogja.com
Portal Tribunjogja.com dipetik berkata bapa mangsa, Bandiman, 36, percaya anaknya meninggal dunia kerana makan sate itu bersama kuahnya yang dipercayai mengandungi racun.
Ini kerana, katanya, Bandiman dan seorang lagi anaknya turut memakan beberapa batang sate itu sewaktu berbuka puasa tetapi tidak ada masalah disebabkan dua beranak itu hanya
makan sate sahaja tanpa mencicah kuahnya seperti mangsa.
``Sebaik sahaja Naba Faiz makan sate bersama kuahnya dia (anak) bagi tahu kuahnya terasa pahit dan selepas itu anak saya muntah serta mulutnya berbuih dan isteri saya pula dapat diselamatkan mungkin dia hanya makan sedikit sahaja kuah sate itu,’’ katanya.
Menceritakan kejadian itu, tragedi malang tersebut bermula selepas Bandiman, yang bekerja sebagai penghantar makanan dalam talian, menerima panggilan daripada seorang wanita yang meminta dia menghantar makanan kepada seseorang.
Bandiman memberitahu, wanita muda yang tidak dikenali itu bertutur dengan lemah lembut, berpakaian baju kurung serta berhijab dengan ketinggian sekitar 160 sentimeter.
Wanita terbabit mahu dia menghantar bungkusan makanan ke rumah seorang lelaki yang bernama Tomy yang tinggal di Villa Bukit Asri, Sembungan, Kasihan.
BANDIMAN yang masih bersedih dengan kematian anaknya akibat makan sate semasa berbuka puasa pada 25 April 2021. - Kredit Foto : Tribunjogja.com
Menurutnya, sebelum itu dia meminta wanita tersebut memakai aplikasi sahaja tetapi wanita itu beralasan tiada aplikasi ojol dan kiriman makanan itu atas nama Hamid.
``Apabila saya sampai di rumah Tomy, dia tidak mengaku
memesan makanan itu dan nama Hamid pun dia (Tomy) tidak kenal lalu dia suruh
saya mengambil sahaja sate itu untuk berbuka puasa bersama keluarga.
``Naba Faiz dan isteri saya makan sate itu bersama kuahnya yang dipercayai ada racun sebab itu Naba Faiz mati dan isteri saya pengsan dan saya pula makan juga sate itu bersama seorang lagi anak saya, tetapi saya serta anak tidak muntah kerana hanya makan sate sahaja tanpa mengambil kuahnya,’’ ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sewon, Kompol Suyanto berkata pihaknya masih menyiasat punca kematian mangsa selain menjalankan siasatan wanita misteri yang menghantar makanan sate itu.
Namun katanya, berdasarkan laporan awal pegawai perubatan mangsa meninggal dunia kerana makan kuah sate yang mengandungi racun. - KitaReporters