Insan & Komuniti 04 Nov, 2021

Jom kita menyumbang! Bersama IRM ringankan beban rakyat Afghanistan, Syria! Hadapi musim sejuk!

@news editor 1
Semua kenyataan media/press releases boleh di emel ke editor@reporters.com

Share this


ISLAMIC Relief Malaysia (IRM) menerusi kempen Rayuan Musim Sejuk terus proaktif membantu mereka yang terkesan dengan ancaman cuaca sejuk melampau di dua negara antaranya di Kabul, Kapisa, Balkh, Bamyan, Nangarhar dan Herat, Afghanistan serta Idlib dan Aleppo, Syria. 

Ketua Pegawai Eksekutif IRM, Zairulshahfuddin Zainal Abidin berkata, pihaknya menyasarkan kutipan bantuan sebanyak RM300,000 sehingga 31 Disember 2021 ini bagi menyalurkan bantuan makanan dan barangan bukan makanan atau Non-Food Items (NFI) di kedua-dua buah negara terlibat.


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan bantuan kemanusian


“Antara bantuan yang akan diberikan ialah bekalan pirina, sejenis bahan pemanas diperbuat daripada buah zaitun, selimut dan pek makanan yang mengandungi tepung gandum, beras, minyak masak, kacang merah dan garam. 

“Kaedah penyaluran bantuan yang biasa diguna pakai oleh IRM bagi bantuan musim sejuk terdiri daripada tiga kaedah iaitu serahan barangan sumbangan secara terus kepada penerima manfaat, penggunaan baucar belian yang boleh ditebus di pasar raya dan kedai-kedai terpilih serta kaedah sumbangan wang tunai kepada penerima manfaat atau pembayaran kepada syarikat pembekal. 

“Barangan bantuan yang diberikan kepada penerima manfaat pula diperolehi daripada pasaran tempatan bagi membantu menjana ekonomi negara tersebut,” jelas Zairulshahfuddin. 

Tahun 2021 ini, IRM masih lagi meneruskan kesinambungan penggunaan pakej sebagai strategi promosi bagi memudahkan masyarakat memahami konsep bantuan yang disalurkan seterusnya menyertai kempen ini. 



“Terdapat 2 pakej sumbangan yang ditawarkan menerusi kempen Rayuan Musim Sejuk kali ini iaitu ‘Stay Warm With Love’ dengan nilai RM150 dan ‘Stay Safe With Love’ bernilai RM250.

“Bagaimanapun, kami juga mengalu-alukan sokongan bagi yang ingin menyumbang dengan jumlah yang lebih atau kurang daripada pakej sedia ada mengikut kemampuan masing-masing,” ujar Zairulshahfuddin. 

Dana yang dikumpulkan menerusi tabung ini bakal memberi manfaat kepada 4,844 individu dengan pecahan 1,904 penerima manfaat yang terdiri daripada 272 keluarga di Afghanistan dan 2,940 penerima manfaat daripada 588 buah keluarga di Syria. 

Terang beliau, kriteria pemilihan penerima bantuan di Afghanistan dan Syria antaranya melibatkan ibu tunggal, anak yatim, pesakit kronik, orang kurang upaya (OKU), golongan berpendapatan rendah, ibu mengandung dan menyusu, dan juga keluarga yang terjejas impak COVID-19, pelarian dalam negara (IDP), isi rumah yang tiada pendapatan dan mempunyai bilangan tanggungan yang ramai.



Realiti kesengsaraan hidup yang terpaksa dilalui masyarakat yang menghadapi musim sejuk kini dilihat tidak asing lagi bagi rakyat Malaysia memandangkan sudah banyak NGO lain yang juga tampil prihatin mengetengahkan kesan ancaman ini menerusi misi kemanusiaan yang dijalankan.

 “Antara signifikan mengapa tahun ini IRM memilih untuk terus menyalurkan bantuan musim sejuk kepada pelarian Syria adalah kerana konflik kemanusiaan yang membelenggu mereka sudah memasuki satu dekad," ujarnya.

Berdasarkan laporan Pejabat Koordinasi Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNOCHA), seramai 11.1 juta penduduk di Syria memerlukan bantuan kemanusiaan untuk meneruskan kelangsungan hidup.

“Dalam keadaan serba tiada, bayangkan bagaimana mereka mampu melalui cabaran cuaca sejuk melampau di kem pelarian serta bangunan tinggal yang hampir musnah dalam serangan yang berlaku. 

“Saya masih ingat lagi sewaktu saya mengikuti misi kemanusiaan di Kosova pada tahun 2015, beberapa orang kanak-kanak yang ditemui hanya memakai satu lapisan pakaian nipis tanpa sarung tangan, stokin dan baju tebal. Apabila tangan kami bersalaman, terasa gigilnya tangan anak kecil yang saya genggam itu berikutan menahan kesejukan.

 “Di Afghanistan pula, seperti yang kita semua maklum, mereka sedang berdepan ancaman kelaparan dan kebuluran. berikutan keadaan negara yang ditadbir oleh kerajaan Taliban," ujarnya.



Menurut perkongsian daripada Penyelaras Program Kemanusiaan Islamic Relief Afghanistan, ada penduduk di sana yang terpaksa meminta sayur-sayuran yang sudah layu dan tidak lagi dijual di kedai-kedai berhampiran serta memetik bunga-bungaan untuk dijadikan sup demi mengalas perut

“Ada juga yang terpaksa makan sekali sehari dan ada juga yang langsung tidak dapat menjamah apa-apa. Bayangkan jika makanan pun mereka tidak mampu beli, apatah lagi keperluan lain seperti selimut dan baju sejuk," kongsinya.

Sehubungan itu, beliau menyeru kepada semua, bersama-sama kita berganding bahu membantu dan menghulurkan bantuan kepada mereka yang diuji khususnya kanak-kanak, wanita dan warga emas kerana mereka golongan yang paling terdedah dengan ancaman maut ketika musim sejuk.

Bagi yang berminat boleh dapatkan keterangan lanjut, orang ramai boleh melayari laman web rasmi Islamic Relief Malaysia di www.islamic-relief.org.my- KitaReporters


13
12
0
13
0
You will be interested