Insan & Komuniti 19 Nov, 2021

Jejak Prihatin Qudwah Tech! Santuni keluarga Orang Asal! Turut bantu pusat jagaan warga emas!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

Nur Alifah Ilyana Arifin (kiri), Hafiz Zainal Abidin dan Aziz Ramli mendengar taklimat operasi PJNH yang disampaikan Mohiadin Bahado (dua dari kanan).


ATAS dasar tanggungjawab sesama Islam, Qudwah Technology Sdn Bhd bersama pasukan UstazUstazah.com berjaya menyantuni lapan kampung Orang Asal di Johol dan Tampin, Negeri Sembilan untuk mengagihkan barangan keperluan asas menerusi Kempen Jejak Prihatin sejak September 2021 lalu.

Menariknya, kerja amal di enam daripada kampung Orang Asal di Johol itu mendapat kerjasama dari Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) yang membabitkan juga agihan barangan khusus seperti pampers dan susu.


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan program kemasyarakatan


Penasihat Syariah Qudwah Technology Sdn Bhd, Hafiz Zainal Abidin (tiga dari kiri) menyerahkan sumbangan Kempen Jejak Prihatin kepada Penceramah Bebas, Alias Ahmad (tiga dari kanan) mewakili Pusat Jagaan Nur Hasanah, Beranang, Selangor, baru-baru ini.


Pengurus Projeknya, Nur Alifah Ilyana Arifin berkata, terdapat kira-kira 30 keluarga yang menjalani kuarantin COVID -19 di Jempol dan memerlukan bantuan terutama pampers dan susu turut mendapat bantuan kempen berkenaan.

Alifah menjelaskan, barangan yang diagihkan berdasarkan maklumat yang dikumpul daripada pelbagai pihak bagi memastikan bantuan yang diagihkan itu dimanfaatkan sebaik mungkin dan dapat mengelakkan pembaziran.

“Seperti  dua kampung Orang Asal di Tampin kami menerima maklumat daripada ketua kampung di kawasan terbabit dan barangan yang perlu diagihkan untuk mereka di situ.

“Walaupun menghadapi kesulitan untuk sampai ke kampung Orang Asal terbabit tetapi kami tetap bersemangat dan tabah bagi memastikan barangan hasil dari dana sumbangan orang ramai dan pelbagai pihak ini selamat diterima mereka terbabit,” katanya yang ditemui pada majlis serahan sumbangan Kempen Jejak Prihatin di Pusat Jagaan Nur Hasanah (PJNH), Beranang, Selangor, pada 16 November 2021 lalu.


Mohiadin (kanan) menerangkan keadaan surau PJNH yang baru diubah suai hasil sumbangan dana daripada Sarinawati Juman kepada Hafiz dan Aziz.


Turut hadir pada majlis itu, Ketua Operasi Qudwah Technology Sdn Bhd, Aziz Ramli; Penasihat Syariah Qudwah Technology Sdn Bhd, Hafiz Zainal Abidin; Pengerusi PJNH, Mohiadin Bahado; Pengerusi Persatuan Kebajikan Mahmudah Malaysia, Azman Rasman; dan Penceramah Bebas, Alias Ahmad.

Manakala Hafiz yang juga ikon UstazUstazah,com, ketika berucap pada majlis berkenaan, berkata menerusi kempen itu memikul tanggungjawab yang besar untuk mengagihkan atau menyalurkan pelbagai bantuan barangan supaya selamat diterima mereka yang menjadi sasaran.

Menurutnya, pasukan UstazUstazah.com memikul amanah pelbagai pihak termasuk individu yang menyumbang dana sebagai kerja amal kebajikan untuk membantu mereka yang memerlukan bantuan terutama dalam pandemik COVID-19 sekarang.

“Bagaimanapun mereka yang melakukan tugas sukarela mengurus warga emas tersisih di pusat jagaan adalah suatu pengorbanan amat besar kerana tidak semua orang sanggup melakukan tugas sedemikian,” katanya.


Mohiadin (kanan) memberikan taklimat ringkas mengenai kemudahan bilik terapi kesihatan yang disediakan untuk penghuni di PJNH kepada Hafiz dan Nur Alifah.


Sementara itu Mohiadin berkata, PJNH sentiasa memerlukan bantuan serta sumbangan dana daripada pelbagai pihak bagi menampung kos operasi pusat jagaan itu yang kini mencecah RM25,000 setiap bulan.

“Dalam keadaan pandemik COVID-19, PJNH turut menerima tempias bagi mengumpul dana manakala sebelum ini banyak pihak tidak dapat hadir untuk menghulurkan sumbangan khusus berupa barangan keperluan asas seperti beras, susu, gula, tepung gandum dan sebagainya,” kata beliau.

Kepada pelbagai pihak yang ingin menghulurkan bantuan atau ingin mengadakan program khidmat masyarakat di PJNH boleh menghubungi nombor telefon pejabat 03-87668100 dan sumbangan boleh disalurkan ke dalam akauan CIMB-8002 260491. - KitaReporters

Gimik penyerahan pelbagai barangan sumbangan Kempen Jejak Prihatin yang dilakukan oleh Aziz dan Hafiz kepada Alias sambil diperhatikan Mohiadin dan Azman.

26
10
0
8
0
You will be interested