
Islamic Relief Malaysia (IR Malaysia) telah melancarkan Kempen Rezeki Qurban 2025 sebagai usaha untuk membolehkan umat Islam di Malaysia melaksanakan ibadah korban sambil membantu golongan yang memerlukan di dalam dan luar negara.
Kempen tahunan bertemakan “Zahirkan Kesyukuran” ini menawarkan peluang penyertaan ibadah korban sebanyak 737 bahagian untuk dilaksanakan di tujuh buah negara -- Malaysia, Mali, Malawi, Somalia, Yaman, Syria dan Palestin (Gaza).
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Siti Fadilah Mohd Hood berkata, antara golongan penerima manfaat yang akan menerima sumbangan daging korban termasuklah ibu tunggal, warga emas, anak yatim, Orang Kurang Upaya (OKU), pelarian, keluarga terjejas bencana, dan keluarga dengan bilangan isi rumah ramai.
“Melalui Kempen Rezeki Qurban, kami ingin mengajak rakyat Malaysia bukan sahaja untuk berkorban, tetapi berkongsi rezeki dan kasih sayang bersama mereka yang serba kekurangan terutama yang berada di kawasan bergolak seperti Gaza.
“Setiap tahun, penyertaan rakyat Malaysia dalam ibadah korban membantu Islamic Relief menyantuni jutaan nyawa di seluruh dunia.
"Tahun ini (2025), kami komited untuk meneruskan usaha ini agar lebih ramai keluarga yang memerlukan dapat menikmati juadah daging yang mungkin hanya dapat dirasai sekali setahun,” katanya dalam satu kenyataan pada 7 April 2025.

Sebuah keluarga di Malawi menerima sumbangan pek daging korban.
Tambah Siti Fadilah, setiap pek agihan daging korban mengandungi kira-kira 2 hingga 4 kilogram daging yang dijangka dapat memberi keringanan kepada keluarga penerima bagi tempoh satu minggu.
“Kebanyakan penerima manfaat ini merupakan mereka yang telah lama bergelut dalam kancah kemiskinan dan peperangan.
"Oleh itu, agihan daging korban ini sedikit sebanyak dapat memberi kebahagiaan dan membantu mereka dalam menyambut Hari Raya Aildiladha," jelasnya.
Pada tahun 2024, Islamic Relief pada peringkat global telah berjaya melaksanakan sebanyak 192,991 penyertaan bahagian ibadah korban di 27 buah negara merentasi benua, dengan agihan 543,006 pek daging korban yang memberi manfaat kepada lebih 3,088,350 individu.
Daripada jumlah tersebut, 816 bahagian korban merupakan sumbangan rakyat Malaysia, yang dilaksanakan di Mali, Malawi, Somalia, Yaman, Syria dan Gaza, Palestin, sekali gus membolehkan lebih 4,773 individu di enam negara tersebut menikmati juadah daging korban yang amat bermakna buat mereka.

Nimco Mohamed Abdi gembira menerima pek daging korban sumbangan Islamic Relief di Somalia pada 2024.
Nimco Mohamed Abdi, salah seorang penerima manfaat dari Kem Abdi Edan, Hargeisa, Somaliland, Somalia menzahirkan rasa syukur apabila terpilih menerima sumbangan pek daging korban pada tahun 2024.
“Suami saya telah meninggal dunia beberapa tahun lalu. Di kem pelarian ini, saya tinggal bersama tiga orang anak manakala empat lagi anak saya menetap bersama saudara terdekat di bandar.
“Sejak haiwan ternakan kami mati akibat kemarau, kami dah lama tak makan daging. Tak sangka, pada Hari Raya Aidiladha, Islamic Relief datang membawa kegembiraan dan senyuman kepada kami dengan memberikan kami daging korban.
“Terima kasih Islamic Relief kerana dengan sumbangan daging ini, kami berpeluang meraikan Aidiladha dengan memasak hidangan kegemaran kami.
“Rasa bimbang dan risau tentang kekurangan zat dan makanan untuk anak-anak, hilang seketika daripada fikiran saya. Sesungguhnya ini adalah satu sumbangan yang sangat bermakna buat kami,” kongsi Nimco.
Melalui Kempen Rezeki Qurban 2025, IR Malaysia menawarkan tujuh pakej penyertaan berserta Sedekah Qurban:

Orang ramai yang ingin menyertai Kempen Rezeki Qurban 2025 boleh mendaftar melalui laman web rasmi IR Malaysia di www.islamic-relief.org.my sehingga 31 Mei 2025 atau menghubungi talian 03-8926 3434 untuk mendapatkan info lanjut. - KitaReporters/Kenyataan Media
Kakitangan Islamic Relief di Gaza mengagihkan tin daging korban kepada penerima manfaat.