
Insan-insan hebat yang sinonim dengan gelaran 'pixman' atau jurufoto yang pernah mewarnai dunia media tanah air.
Berpeluang bersua muka dan bertanya khabar adalah suatu nikmat indah terutama apabila sudah melewati usia emas. Situasi itu jelas digambarkan pada pertemuan bekas jurufoto Kumpulan New Straits Times Press (NSTP) sempena sambutan Aidilfitri pada Sabtu, 19 April 2025 lalu.
Kira-kira 70 bekas jurufoto yang pernah bertugas di tiga akhbar utama NSTP iaitu New Straits Times (NST), Berita Harian (BH) dan Harian Metro (HM) hadir memeriahkan Majlis Reunion Raya Ex-Photographer NSTP yang diadakan di Hotel Grand Barakah, Ampang, Kuala Lumpur.
Majlis yang berlangsung dalam tempoh empat jam di Cafe Rumbia disajikan dengan pelbagai jenis masakan Melayu dan kuih muih bermula 2 petang itu dimeriahkan lagi dengan kehadiran sebahagian besar isteri dan anak-anak bekas jurufoto berkenaan.

Dari kiri, FK Tham, Zahari Zakaria, Yahya Zain dan Sulaiman Yeop

Raut wajah yang ceria jelas menggambarkan perasaan gembira kerana dapat bersua muka selepas lama berpisah
Majlis dua dalam satu (reunion dan jamuan hari raya) yang julung-julung kali diadakan itu membawa erti mendalam kerana ada antara mereka yang tidak lagi bersua muka dan membawa haluan sendiri selepas 'menggantung' kamera darpada syarikat berkenaan.
Penulis yang turut hadir teruja melihat keakraban dalam kalangan mereka yang masih dapat mengecam antara satu sama lain walau sudah lama tidak bertemu.
Kemesraan, gelak tawa dan gurau senda antara mereka seperti tidak menggambarkan usia sebenar mereka yang sebahagian besarnya sudah melewati angka 60.

Masing-masing mengambil kesempatan bertanya khabar selepas lama tidak bersua muka
Kenangan waktu kerja diputar kembali. Bagi mereka, sudah pasti tidak mudah untuk melupakan kisah-kisah lama yang kini menjadi sebahagian sejarah hidup.
Peluang bersua muka ini secara tidak langsung mengingatkan mereka semula detik waktu ketika 'cover assignment' dan 'lepak' di 'Photo Room' (bilik foto) usai balik daripada tugasan atau menanti waktu untuk pulang.
Suka duka menjalankan tugas, meredah pekat malam, terik mentari, berpanas berhujan, berebut mencari sudut menarik untuk merakam gambar, berlari untuk mendahului 'subjek' semua diharungi bersama.
Hanya untuk sekeping dua gambar yang bakal diterbitkan dalam akhbar.

Bekas jurufoto yang hadir di Majlis Reunion Raya Ex Photographer NSTP yang berlangsung di Grand Barakah Hotel, Ampang, Kuala Lumpur pada 19 April 2025
Rata-rata mereka yang ditemui berterima kasih kepada Pengerusi program, Khalid Redza yang mengambil insiatif 'menyatukan' bekas jurufoto NSTP di majlis pertemuan semula semula sempena Aidilfitri.
Dalam ucapannya, Khalid berkata idea tercetus kerana memikirkan mereka belum pernah mengadakan perjumpaan khas kalangan bekas jurufoto NSTP yang bertugas di merata negeri.
"Idea ini datang daripada saya dan beberapa rakan. Kami sudah lama berpisah selepas bersara atau mengambil keputusan untuk berhenti.
"Terdetik hati untuk bertemu dengan rakan-rakan yang pernah bersama susah senang dalam kerjaya yang sama suatu ketika dahulu," katanya yang banyak membuat tugasan liputan sukan di dalam dan luar negara.

Dari kiri, Yahya Hashim, Azhar Mat Ganti (Marko), Hassan Ismail dan Rosli Ahmad bergambar kenangan di majlis berkenaan.
Yahya Hashim, 62, pula bersyukur dapat bertemu semula dengan rakan setugas terutama mereka yang tinggal di luar Kuala Lumpur.
"Kami jurufoto yang sebumbung di Bangsar kerap bertemu berbanding yang bertugas di negeri lain. Justeru, peluang menghadiri majlis ini adalah suatu yang sangat bererti.
"Ini reunion yang pertama setelah ada yang berhenti, mengambil Skim Pemisahan Sukarela (VSS) dan bersara .. kebetulan masih di bulan syawal, reunion diadakan bersama sambutan Hari Raya Aidilfitri secara tidak langsung menjadikan majlis bertambah meriah," katanya yang menyertai NSTP bermula 1989 hingga 2017.

Antara isteri-isteri bekas jurufoto yang hadir di majls berkenaan.
Shiraz Yasmin Ali, 60, yang bergelar jurufoto selama 22 tahun, berkata usaha mengadakan majlis reunion itu adalah sesuatu yang sangat bererti bagi dirinya.
"Saya rasa seronok, teruja dan gembira dapat bertemu semula dengan kawan-kawan selepas berhenti pada 2017.
"Terima kasih kepada penganjur program yang mengambil inisiatif memgadakan majlis ini yang akan menjadi kenangan indah buat kami semua," katanya yang hadir bersama suami, Amirrul Yousoff Yap, 68.

Zulkepli Osman (duduk kiri) bersama rakan bergambar kenangan di majlis berkenaan
Bagi Zulkepli Osman, 60, yang bertugas sebagai jurufoto NSTP bermula 1992 hingga 2020, perjumpaan semula itu membawa seribu kenangan yang tidak akan dilupakan hingga akhir hayat.
"Kami sudah seperti satu keluarga besar.
Terima kasih diucapkan kepada pihak penganjur yang diketuai saudara Khalid. Dapat bersua muka dan bertanya khabar adalah suatu nikmat indah di usia emas ini," katanya.
Zulkefli adalah Penyelaras Foto NSTP Pahang bermula 2012 sebelum menamatkan perkhidmatan melalui VSS pada 2020 kini mengendalikan bengkel fotografi dalam media.

Nordin Abdullah (kiri) bersama PC Lim
Bagi Nordin Abdullah, 63, pertemuan itu cukup bermakna selepas 'mengundurkan diri' sejak 2009 lagi.
"Terharu pun ada sebab hajat untuk bertemu kawan-kawan hampir tidak kesampaian kerana keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan. Saya batuk, selsema, sakit tekak dan hampir demam.
"Tetapi saya gagahkan untuk hadir kerana ini satu-satunya peluang yang ada untuk bertemu dalam kelompok yang ramai selepas lama tidak bersua muka...hampir 16 tahun," katanya yang kini menetap di Kuantan.

Penulis (kanan) bergambar kenangan bersama Shiraz Yasmin Ali.
Semoga semua bekas jurufoto ini dikurniakan kesihatan yang baik dan dilanjutkan usia untuk melihat 'pewaris' mereka dalam dunia media tanah air terus cemerlang dalam melakar pelbagai peristiwa penting yang berlaku walau di mana sahaja sama ada dalam negara atau pentas antatabangsa.
Al-fatihah juga untuk rakan yang sudah mendahului mereka temui Sang Pencipta. - KitaReporter
