Insan & Komuniti 25 Jun, 2025

Mencari sinar kasih! Tak mahu bebankan adik, ibu! Lelaki dibawa KRT Alam Megah ke pusat Mahmudah!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

Md Nasir Husnan (duduk, kanan) mengisi borang maklumat dan pendaftaran masuk untuk Johari Osman (duduk, kiri) ke PJMM.


Dua kali diserang strok hingga menyebabkan hilang keupayaan untuk bertutur dengan normal serta lemah separa badan dan pergerakan yang agak terbatas kerana menggunakan tongkat, seorang bapa tunggal, Johari Osman, 53, terpaksa membuat pilihan menjadi penghuni di pusat jagaan warga emas, Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM) di Semenyih, Selangor.

Langkah itu juga terpaksa dilakukan apabila hilang punca pendapatan serta tidak mahu terus membebankan adik beliau yang juga bapa tunggal kerana terpaksa memilihara dua anak serta ibunya seorang ibu tunggal separa ‘bed ridden’ dan menggunakan kerusi roda untuk bergerak.

Keadaan kesusahan beliau bersama adik dan ibunya itu akhir sampaikan ke pengetahuan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Fasa 1C Alam Megah, Seksyen 28, Shah Alam, Selangor yang berusaha membantu kemasukan dia ke pusat jagaan berkenaan. 

Pengerusi KRT itu, Md Nasir Husnan, berkata sebaik sahaja menerima maklumat mengenai masalah keluarga Johari, dia bersama beberapa ahli jawatankuasa mengadakan kunjungan serta menyantuni mereka bagi melihat keadaan sebenar.

Beliau berkata, selepas diserang strok kali kedua keadaan kesihatan Johari makin terganggu dan dia dinasihatkan supaya tidak memandu kereta Grab kerana faktor keselamatan diri serta penumpang yang menggunakan perkhidmatannya.


Md Nasir (kanan) bersama Ahli Jawatankuasa KRT, Mohd Fakhri Alias dan Jori Che Ibrahim menemani Johari (duduk atas katil) di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia. 


Menurutnya, selepas mendapat persetujuan daripada saudara mara, adik serta ibunya, kami KRT memaklumkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan pihak pengurusan Zakat Daerah Petaling yang memberi sokongan usaha berkenaan serta datang untuk membuat siasatan.

“Selepas semua urusan dengan PJMM dan Lembaga Zakat Selangor selesai dia bersama dua ahli jawatankuasa KRT barulah boleh membuat pendaftaran masuk ke pusat jagaan berkenaan,” ujarnya ketika ditemui di pusat jagaan itu pada 23 Jun 2025. Turut hadir Ahli Jawatankuasa KRT berkenaan, Mohd Fakhri Alias dan Jori Che Ibrahim. 

Nasir berkata, kesediaan PJMM menerima Johari sebagai penghuni baharu secara tidak langsung akan membantu dia untuk menguruskan diri dengan lebih baik serta meneruskan kehidupan dalam suasana ceria bersama warga emas lain yang menghuni pusat berkenaan.

Menurutnya, ketika tinggal bersama adik dan ibunya, dia kelihatan tertekan serta murung mungkin terlalu memikirkan nasib keluarga selain berasakan dirinya membebankan kerana itu memaklumkan kepada KRT supaya mencari tempat untuk dia berlindung.

“Kes Johari ini secara tidak langsung menunjukkan komuniti kejiranan dalam kawasan KRT itu memiliki sikap keprihatinan bagi membantu jiran yang menghadapi masalah disamping peka kepada perkara kebajikan apabila turut memberi sokongan dan kerjasama,” ujarnya.


Mohd Fakhri (kanan) memberi penerangan kepada Muhammad Syafiq (dua dari kiri) dan Azman mengenai keadaan Johari selepas dua kali diserang strok.


Sementara itu, Setiausaha PJMM, Muhammad Syafiq Mohiadin, berkata selepas menerima permohonan yang dihantar KRT berkenaan, dia bersama Pengerusi PJMM, Azman Rasman dan Penasihat PJMM, Mohiadin Bahado menyantuni Johari dan keluarga pada 13 Jun 2025.

Menurutnya, kunjungan itu adalah perkara biasa mengikut prosedur yang ditetapkan terutama bagi mengenalpastikan tahap kesihatan dan keadaan fizikal bakal penghuni bagi disesuaikan dengan kemudahan akan disediakan seperti katil, laluan untuk pergerakan, rakan sebilik dan sebagainya.

Tambahnya, ketika disantuni itu juga kami memberi penerangan mengenai PJMM, aktiviti yang dijalankan, peraturan perlu dipatuhi serta motivasi ringkas supaya seseorang penghuni berasa tidak stres atau memikirkan sesuatu perkara tidak tepat.

“Bagi yang menerima sumbangan dari Lembaga Zakat perlu memaklumkan perkara itu serta membuat permohonan bantuan kerana sudah menjadi penghuni pusat jagaan, manakala dokumen rujukan rawatan kesihatan perlu dibawa bersama kerana akan dipindah ke hospital atau klinik kesihatan berdekatan.

“Kami di PJMM lebih kepada keprihatinan dalam membuat kerja amal kebajikan mengurus serta menjaga warga emas atau individu tersisih serta kepayahan meneruskan kehidupan disebabkan pelbagai perkara dan pihak pengurusan pula terpaksa berusaha mencari dana untuk menampung kos operasi kerana penghuni tidak dikenakan sebarang bayaran,” ujarnya.

Untuk sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut, boleh menghubungi pejabat PJMM 03-87232394 atau 017-3786804 (Syafiq).

Sementara sebarangan sumbangan boleh disalurkan ke Akauan CIMB Islamic nombor 86031 60021 atas nama Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia. - KitaReporters


Johari menunjukkan kepada Muhammad Syafiq mengenai kaki dan tangannya yang gagal berfungsi secara normal selepas dua kali diserang strok.

19
11
0
10
0
You will be interested