
Ahli keluarga dan waris memenuhi Dewan Sekolah Kebangsaan RKT Sri Ledang, di Tangkak, Johor untuk mengaminkan doa.
Seribu ahli keluarga dan waris Allahyarham Shukor Abdullah dan Allahyarhamah Kardinah Partisan memeriahkan sambutan Aidilfitri 2025 dengan berkumpul mengadakan Hari Keluarga bertemakan “Eratkan silaturahim dengan kasih sayang” di Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) RKT Sri Ledang, di Tangkak, Johor pada 2 April 2025.
Program itu merupakan sebahagian daripada inisiatif yang dicadangkan oleh ahli keluarga dan waris yang tercatat dalam salasilah keluarga Allahyarham sebagai mengambil peluang pada bulan penuh barakah untuk mengumpul semua saudara masa daripada generasi pertama hingga ketujuh dalam satu program.
Pengerusi hari keluarga berkenaan, Suhaimi Ariffin, berkata kesempatan yang digunakan itu bukanlah suatu yang mudah malah satu ahli jawatankuasa terpaksa dibentuk bagi melancarkan dan menyusun program supaya teratur terutama membabitkan sanak saudara pelbagai peringkat umur.

Suhaimi Ariffin
Menurutnya,
tugas paling mencabar ialah untuk memaklum serta menghubungi ahli keluarga dan
waris brdasarkan salasilah yang dimiliki untuk memastikan tiada siapa yang
tercicir walaupun berada jauh termasuk luar dari Johor bagi mengelak timbul
berasa terpinggir dan sebagainya.
Tambahnya, menerusi kemudahan teknologi media sosial perkara itu rupanya menjadi mudah apabila setiap ahli keluarga dan waris bersama-sama memikul tanggungjawab untuk menguar-uarkan dalam grup WhatsApp, Telegram dan sebagainya ia berjaya dilaksanakan dengan jayanya.
“Boleh dikatakan sebelum seminggu berakhirnya Ramadan hampir semua ahli keluarga dan waris dapat dihubungi serta dimaklumkan mengenai program hari keluarga ini dan ramai memberi kata persetujuan untuk hadir bersama-sama ahli keluarga,” katanya.

Suhaimi menyerahkan sumbangan hari raya kepada salah seorang waris kurang upaya.
Suhaimi
berkata, berikutan jumlah yang hadir begitu besar satu sekretariat jawatankuasa
pelaksana program dibentuk membabitkan tugasan persediaan tempat, teknikal, logistik
dan hiasan dipertanggungjawabkan kepada Faisol Md Nor: protokol dan pendaftaran
(Mustakim Solihan): makanan dan jamuan (Zuriah Basiran): kebersihan dan keselamatan (Mohd Yazid Kasri):
pengerusi majlis (Ustazah Izatul Aina Suhaimi) dan pemimpin bacaan yasin,
tahlil, doa selamat dan marhaban
ditugaskan kepada Ustaz Abdul Ghani.
Menurut beliau, selain menjamu selera dengan pelbagai hidangan menu hari raya serta beramah mesra antara ahli keluarga dan waris yang hadir supaya dapat mengenali antara satu sama lain, pada program itu turut diadakan acara penyampaian sumbangan hari raya dan kebajikan.
Jelasnya, pada program itu juga jemputan khas diberikan kepada ahli keluarga isteri Allahyarham iaitu “Buyut” seramai 40 orang yang diberi layanan istimewa bagi sama-sama meraikan hari keluarga yang bersejarah kerana kali pertama diadakan.

Hambali Parjan menyerahkan sumbangan kebajikan kepada seorang ahli keluarga yang uzur.
Tambahnya, dia berasa amat terharu kerana program
itu berjaya mengumpul semua ahli keluarga dan waris untuk berkenalan dan mengeratkan
tali silaturahim serta berharap supaya ia dapat diteruskan sehingga generasi
akan datang kerana memberi banyak manfaat.
Suhaimi berkata, program itu membolehkan ahli keluarga dan waris berkongsi pengalaman, kehidupan serta kerjaya di samping berjaya memupuk hubungan mesra apabila masing-masing tidak menunjukkan sikap terasing, sukar untuk menyapa atau bertegur.
Terangnya, apabila dapat bertemu dan mengenali antara satu sama lain membolehkan mereka mengetahui perkembangan sedulur atau persaudaraan supaya dapat terus berhubung pada masa akan datang serta tidak mustahil akan berjiran dalam satu taman perumahan.
“Kesempatan ini juga digunakan untuk bermaaf-maafan antara saudara mara terutama mereka yang kali pertama bersua muka kerana selepas berakhir program itu nanti masing-masing membawa ahli keluarga pulang ke destinasi tempat tinggal mencari rezeki yang berada di seluruh negeri.
“Adalah diharapkan program ini dapat memberikan impak yang besar kepada ahli keluarga dan waris mengenai peri penting aspek mengeratkan tali silaturahim dengan kasih sayang dalam kehidupan serta seterusnya menyumbang tahap kualiti disamping kejayaan hidup di dunia dan akhirat,” ujarnya. - KitaReporters

Sebahagian 1,000 ahli keluarga dan waris Allahyarham Shukor serta Allahyarhamah Kardinah merakamkan kenangan selepas menyertai program Hari Keluarga pada 2 April 2025.