Insan & Komuniti 12 Apr, 2023

MySinggah Ramadan! IR Malaysia rai penduduk Taman Sri Muda! Bersama Kelab Clicq Uniten, PERMAJ UKM!

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: [email protected] atau [email protected]

Share this

Aidel Qayyum Mahmood (dua dari kiri) bersama Mohd Shukor Tahir (dua dari kanan) dan Pengurus, Pejabat KPE IR Malaysia, Muhammad Haris Sharim (kanan) menziarahi salah seorang penduduk Taman Sri Muda dan menyerahkan sumbangan pek makanan Ramadan daripada Kelab Clicq Uniten.


Seramai 100 orang penduduk Taman Sri Muda diraikan dalam program MySinggah Ramadan anjuran Islamic Relief Malaysia (IR Malaysia) yang diadakan di Masjid Al-Falah, Taman Sri Muda, Shah Alam pada 8 April 2023 lalu.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif IR Malaysia, Mohd Shukor Tahir; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif IR Malaysia, Siti Fadilah Mohd Hood; serta Timbalan Pengerusi Masjid Al-Falah, Mohd Noor Awang.

Dalam program tersebut, IR Malaysia berbesar hati dapat bekerjasama dengan Biro Muslimat Masjid Al-Falah serta lebih 60 sukarelawan dari Kelab Clicq Uniten dan Persatuan Mahasiswa Anak Negeri Johor (PERMAJ) UKM yang turut mengendalikan beberapa aktiviti bersama penduduk setempat.

Objektif program tersebut dijalankan adalah bagi memberi kesedaran dan pendedahan kepada para sukarelawan tentang aktiviti kemanusiaan di samping memberi sumbangan dalam bentuk khidmat komuniti dan aktiviti kemasyarakatan kepada penduduk terlibat.


Kakitangan Islamic Relief Malaysia turut bergotong-royong merewang dan memasak


Menurut Penolong Pegawai Bahagian Penjanaan Dana IR Malaysia yang juga merangkap Pengarah Program MySinggah Ramadan, Aidel Qayyum Mahmood, program ini merupakan salah satu aktiviti sukarelawan dalam memberi khidmat komuniti kepada golongan sasar.

“Pada hari ini, IR Malaysia bersama para sukarelawan berkumpul di Masjid Al-Falah untuk menyantuni penduduk Taman Sri Muda yang pernah melalui pengalaman getir dalam episod duka bencana banjir pada penghujung tahun 2021.

“Ini merupakan program susulan buat penduduk sekitar Masjid Al-Falah selepas berapa siri bantuan pascabanjir diadakan pada tahun 2022,” katanya.

Antara aktiviti yang dijalankan pada program tersebut adalah gotong-royong, merewang dan memasak, pertandingan mewarna, tilawah dan hafazan untuk kanak-kanak, ziarah dan agihan pek makanan Ramadan kepada 10 keluarga asnaf sumbangan Kelab Clicq Uniten, iftar perdana serta ceramah Nuzul Quran.

Selain itu, turut diadakan ujian saringan kesihatan yang dikelolakan oleh Kumpulan Megaklinik Zahran yang turut bekerjasama dalam program ini.

“Program hari ini memberi manfaat yang sangat besar kepada semua yang hadir terutamanya para sukarelawan. 

"Selain mendapat pendedahan tentang aktiviti kemanusiaan, mahasiswa terlibat juga dapat mengumpul pengalaman dan mendekati masyarakat serta mendengar luahan hati mereka,” tambah Aidel Qayyum. 


Para peserta pertandingan kanak-kanak bergambar bersama sukarelawan dari PERMAJ UKM Bangi, Siti Fadilah Mohd Hood (belakang, lapan dari kanan) dan Mohd Noor Awang (tujuh dari kanan)


Sementara itu, salah seorang sukarelawan dari Kelab Clicq Uniten, Nazatul Amalia Abu Safian berkata, sebagai seorang pelajar yang aktif, dirinya sentiasa mencari peluang untuk melibatkan diri dalam aktiviti kesukarelawanan.

“Sejujurnya, saya memang mencari apa-apa aktiviti terutama pada bulan Ramadan ini. Jika ada peluang, memang saya berminat nak masuk. 

“Alhamdulillah, hari ini saya dapat peluang terlibat dengan aktiviti MySinggah Ramadan ini. 

"Saya rasa seronok bila tengok pakcik-pakcik dan makcik-makcik di sini sama-sama tolong kami. Seronok dapat bersembang dan mendengar cerita masing-masing. Hubungan penduduk di sini sangat rapat," katanya lagi.

Ketika ditanya tentang minat terhadap kerja-kerja kebajikan, Nazatul berkata perasaan itu timbul sejak habis persekolahan. 

Pengalaman melihat kesusahan yang dialami rakan-rakan ketika itu membuatkan Nazatul tekad menanam niat untuk membantu lebih ramai lagi insan yang memerlukan.

“Saya berharap, suatu hari nanti saya dapat membuat program kemanusiaan dan mencari dana untuk membantu insan-insan di luar sana. 

"Bagi saya, aktiviti sebegini dapat timbulkan kesedaran dan meningkatkan kesyukuran serta merapatkan ukhuwah antara semua yang terlibat,” kata Nazatul. - KitaReporters/Kenyataan Media


Nazatul Amalia Abu Safian  (kanan) bersama rakan-rakan membantu menyediakan bubur lambuk

17
15
0
14
0
You will be interested