Insan & Komuniti 12 Nov, 2025

Galeri Keluarga Pit! Lebih 3000 koleksi barang, dokumen rare, antik dan unik! Warisan 3 generasi!

Share this

Ada yang beranggapan menyimpan koleksi barangan lama dan antik sebagai satu kerja sia-sia apabila perlu menyimpan dan menjaga barangan tersebut berpuluh-puluh tahun lamanya dan memenuhi ruangan di dalam rumah.



Namun bagi, Baharum Ahmad @ Pit, 71, menyimpan lebih 3,000 jenis pelbagai barangan antik yang telah menjadi warisan berusia lebih seabad yang dimiliki daripada tiga generasi pewaris keluarganya adalah satu keistimewaan.

Lebih mencabar lagi apabila barangan antik terbabit didokumentasikan mengikut konsep pengurusan simpanan yang sering diamalkan di perpustakaan atau arkib.

“Sesetengah orang mungkin tidak sanggup mengorbankan sebahagian besar masa dan ruang dalam kediaman sebagai ruangan khas untuk barangan terbabit yang berusia seawal tahun 1800.

“Namun, bagi saya, sebagai seorang bekas pelayar kapal, ia adalah satu perkara yang saya suka lakukan. Saya turut gemar mengkaji semua dokumen dan barangan lama sejak saya berusia belasan tahun sehingga kini. 

“Setiap dokumen dan barangan mempunyai nilai sentimental tersendiri buat diri dan keluarga saya serta sejarah kaum Melayu amnya.

"Dan barangan-barangan ini perlu dijaga sebaik mungkin dan tidak wajar dipinggirkan agar ditelan usia sehingga musnah begitu saja,” katanya ketika di temui di kediamannya di Jementah, Segamat. 



Menurut Baharum, sehingga kini dia mempunyai lebih 3,000 koleksi dokumen dan barangan koleksi waris peribadi keluarga disusun rapi dan dipenuhkan dalam galeri kediamannya yang dinamakan Galeri Keluarga Pit (GKP).

Semua 1,000 jenis barangan antik itu ditempatkan di ruang tamu dan tengah kediaman seperti buku, keris, majalah, kaset, katrij, radio, mesin taip, pemain piring hitam, lesung batu, telefon dan pedang Jepun.

"Selain dokumen, pewaris keluarga saya gemar mengumpul gambar lama dan barangan antik berkaitan kehidupan masyarakat Melayu sebelum kemerdekaan negara selain surat, dokumen dan resit lama yang mempunyai nilai sentimental tersendiri.

“Ada yang sudah seusia saya pun koleksi ini, malah sebahagiannya lebih tua daripada usia saya,” kongsinya lagi.



Ketelitian Baharum terhadap koleksi warisnya membuatkan beliau hanya percaya kepada ketelitian dirinya saja untuk menyusun, membersihkan dan menyimpan bahan itu.

"Majoriti dokumen dan barangan milik generasi keluarga terdahulu, saya berkaitan kepada minat iaitu politik, sejarah kehidupan harian kaum Melayu, pentadbiran dan pendidikan.

“Antara barangan awal yang dikumpul pewarisnya terdahulu adalah lampu gasolin ketika saya masih bersekolah rendah sekitar 1950-an.

“Antara kami mengumpul dan menyimpan bahan berkenaan juga kerana ia mempunyai kaitan rapat dengan amalan kehidupan harian keluarga dan masyarakat setempat.




“Dahulu ketika zaman bersekolah rendah, keluarga orang susah, jadi saya sanggup berlapar untuk mengumpul wang sedikit demi sedikit untuk membeli buku dan bahan berkaitan sejarah.

“Alhamdulillah keluarga saya membuka galeri ini walaupun bukan di sebuah bangunan 'agam' untuk menempatkan koleksi peribadi kami dan secara tidak langsung membuka mata generasi sekarang mengenai kesukaran kehidupan satu ketika dahulu,” ujarnya.

Baharum mengakui apabila perlu bekerja di luar kawasan termasuk luar negara sebagai kelasi di kapal, dia hanya membawa beberapa helai pakaian sekitar tahun 1970-an.



Dia yang masih bujang berkata, dia mewarisi amanat arwah datuknya, Mohd. Salleh Abd.Rani yang meninggal dunia pada tahun 1972 yang juga cukup teliti dalam menyimpan semua barangan.

“Biarpun datuknya tidak berpendidikan tinggi, sejak kecil lagi semua buku, dokumen dan koleksi peribadi keluarga saya, arwah akan simpan dan jaga dengan baik.

“Menerusi pelbagai koleksi ini saya dapat kongsi sejarah hidup penduduk pelbagai kaum terutama kaum Melayu kepada generasi keluarga saya dan penduduk setempat,” katanya.

Tambahnya lagi, dia yakin koleksi itu jika dijual mungkin mencecah ratusan ribu ringgit, tetapi dia bukan seorang yang 'gelap mata' dan tidak bersedia menjualnya. - KitaReporters

13
12
0
14
0
You will be interested