Semuanya Percuma! Free Market BBBC - Back To School & Raya Kembali 14 Disember 2025! Datang, Pilih, Bawa Balik!

Pada era air suam pun berharga 50 sen segelas, masih ada insan berhati mulia yang percaya pada konsep memberi tanpa mengharapkan balasan.
Itulah yang cuba dibuktikan oleh Sukarelawan Free Market Bandar Baru Bangi Community (BBBC) melalui penganjuran program komuniti Free Market BBBC - Back To School & Raya pada Ahad, 14 Disember 2025 ini.
Program itu akan berlangsung di kawasan parkir Open University Malaysia (OUM) Bangi Learning Centre, Seksyen 7, bermula jam 8 pagi hingga 11 pagi.
Ia bagi membolehkan orang ramai mengambil barangan keperluan secara percuma, tanpa proses jual beli atau syarat tertentu.

Khansa’ Zulkiflee
Urusetia program, Khansa’ Zulkiflee berkata, Free Market BBBC terbuka kepada semua tanpa mengira latar belakang dan tidak terhad kepada golongan B40, ibu tunggal atau asnaf.
Matlamatnya jelas, ambil apa yang anda perlu, semuanya percuma, tanpa mengira status dan latar belakang.
“Jika kebetulan seseorang komuniti itu datang dengan kereta mewah pun, kalau berkenan dengan pakaian atau barang itu, ambil sahaja. Kita tidak menilai siapa yang layak atau tidak.
"Alhamdulillah, program Ahad ini (14 Disember 2025) mendapat kerjasama Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) Zon 16 serta JPM MPKj," katanya.

Suasana sibuk orang ramai dan komuniti setempat yang hadir untuk memeriahkan Free Market BBBC yang diadakan sebelum ini di parking OUM, Seksyen 7, Bandar Baru Bangi, Selangor.
Free Market kali ini menggunakan konsep "open boot" (but terbuka). Peserta hanya perlu membuka bot kereta dan pamerkan barangan yang ingin didermakan.
BBBC menerima apa sahaja sumbangan tetapi keutamaan ialah barangan keperluan sekolah dan hari raya.
“Tiada sistem drop-off. Semua pemberian diserahkan sendiri penyumbang supaya mereka dapat berinteraksi dengan komuniti dan mengeratkan hubungan setempat,” katanya lagi.
Antara barangan yang lazim disumbangkan termasuk pakaian, kasut, mainan, buku, makanan kering dan barangan rumah yang masih dalam keadaan baik.
Tapi jika mereka mahu menyumbang barangan lain pun, tiada halangan asalkan ia diurus sepenuhnya pemberi.
Penganjuran Free Market bukan sekadar memberi barang percuma, tetapi membawa nilai sosial yang lebih besar. Ia turut menjaga kelestarian alam sekitar dengan mengelak barang yang masih elok dibuang begitu sahaja.

Ibu ini membawa anak-anaknya dan pelbagai mainan untuk diberikan secara percuma sempena Free Market BBBC.
Program ini sekali gus menjimatkan kos untuk mendapatkan barang keperluan sekolah dan raya selain menggalak gaya hidup minimalis serta saling membantu dalam komuniti.
“Kami mahu menggalakkan budaya berkongsi, memupuk empati dan mengurangkan pembaziran. Banyak barangan masih elok akhirnya dibuang, sedangkan ada orang lain yang memerlukan,” katanya.
"Program ini juga membantu keluarga yang ingin membuat persiapan sekolah dan hari raya tanpa membebankan kewangan, terutama pada musim cuti dan perubahan musim persekolahan. Ia menggalak gaya hidup minimalis serta saling membantu dalam komuniti," katanya.

Free Market memberi peluang komuniti dan orang ramai memilih pakaian yang mereka berkenaan dan membawa pulang percuma.
Dalam perkembangan yang sama, BBBC bercadang menjadikan Free Market sebagai program berkala, terutama menjelang musim penting seperti permulaan sekolah atau musim perayaan.
“Keutamaan kami ialah barangan Back To School dan persiapan raya, tetapi kami terbuka menerima apa juga barangan asalkan diuruskan sendiri penyumbang,” katanya.
Beliau berkata pihaknya berharap program ini menjadi inspirasi kepada komuniti lain menjalankan inisiatif yang sama dan memperkukuh budaya saling membantu.
Penduduk Lembah Klang, khususnya sekitar Bandar Baru Bangi, dipelawa memeriahkan program ini di OUM Bangi Learning Centre, Seksyen 7, Bandar Baru Bangi; Ahad, 14 Disember 2025,8.00 pagi – 11.00 pagi. - KitaReporters